Apabila Cik Bunga menerima perkhabaran ini daripada sumber, sebenarnya ia membawa ingatan Cik Bunga kepada satu perbualan bersama pengurus Alif Satar tidak berapa lama sebelum ini.
Menurut pengurus Alif, satu perkara yang dibimbangkan oleh penyanyi itu ialah sekiranya gerakan Geng Subuh Macam Jumaat mula diintai sebagai satu peluang untuk mana-mana pihak tertentu memaksikannya dengan orientasi kewangan.
Ini kerana, bagi Alif, perkara baik seperti itu tidak wajar digerakkan dengan menyelitkan anasir lain yang membuatkan ia tidak ikhlas untuk dilakukan.
Nampaknya, apa yang dikhuatiri Alif, kemudiannya ternyata terjadi. Menerusi apa yang Cik Bunga dengar, memang ada yang sudah menggerakkannya dengan orientasi kewangan hingga menjemput tetamu undangan dan meletakkan bayaran tertentu.
Ada kalangan artis pun hadir kerana dibayar untuk datang. Perkara begini mungkin hanya akan membuatkan orang ramai mula melihat ia dari sisi negatif. Sedangkan, asalnya, ia perkara yang baik dan mulia.
Tak payahlah kita semua nak berbalah mengenai soal nak sembahyang subuh pun kena ada ‘influencer’. Nak berbalah mengenai hal itu tak penting pun. Apa yang utama ialah kebaikannya.
Tetapi kalau artis yang datang dan memeriahkan program pun hadap duit upah, susahlah begini. Tak mencapai misi gerakan asallah kiranya. Baik tolak sajalah tawaran begitu, biarlah ada maruah sikit… – UTUSAN