Luah pergelutan diri dalam lagu - Farid Affa - Utusan Malaysia

Luah pergelutan diri dalam lagu – Farid Affa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN karier penyanyi, Farid Affa, 23, tidak terhenti walaupun bakatnya pernah diragui rakan dan ahli keluarga sendiri.

Farid mengakui, terkilan apabila minatnya itu tidak menerima sokongan daripada orang sekeliling, namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan dalam dunia seni suara.

“Tipulah kalau tidak sedih, lebih lagi apabila sering dibandingkan dengan pencapaian ahli keluarga dan saudara-mara lain.

“Tetapi, saya pilih untuk melihat ujian ini dari sudut positif. Saya akan buktikan pandangan mereka itu salah.

“Ada yang memberitahu, suara saya biasa sahaja dan tidak perlu berangan untuk menjadi penyanyi kerana tidak boleh pergi jauh.

“Tetapi, kini saya sudah buktikan apa yang saya lakukan selama ini mula membuahkan hasil,” kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

Setakat ini, Farid telah melancarkan single seperti Buta Mata (2010), Rancang (2019), Akan Aku (2020), Stay Safe (2020), AdaMu (2021), Feelings (2021), Emosi (2022), Can’t Lie (2022) dan Leave/Die feat RAFF (2022).

Menurutnya, lagu AdaMu yang bergenre pop dan R&B itu paling mendapat sambutan setakat ini dengan jumlah tontonan memberangsangkan di laman YouTube.

Saat bergelut dengan diri, Farid membuat keputusan untuk meluahkan segala isi hati menerusi AdaMu.

“Saya bergelut dengan diri sendiri, beberapa tahun lalu. Apa yang saya lalui semuanya diceritakan dalam lagu ini sebagai rujukan untuk dihayati orang ramai.

“Lagu ini memberi peringatan, apa yang kita buat sebenarnya kena berpaling semula kepada Yang Maha Esa untuk mendapat keberkatan,” katanya.

BUAT LAGU SEKADAR MINAT

Selain menyanyi, Farid juga merupakan seorang guru dan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris serta Sukan.

Minatnya dalam bidang nyanyian mula timbul ketika zaman sekolah apabila kerap menyertai persembahan nyanyian secara solo dan nasyid.

“Apa yang bermula sebagai mencuba nasib, akhirnya menjadi minat yang mendalam.

“Saya bersyukur kepada ummi yang banyak memberikan dorongan dan galakkan untuk meneruskan minat ini.

“Saya pernah cuba buang minat ini, tetapi jiwa rasa kosong. Hampir dua tahun saya senyap dalam bidang nyanyian, tetapi perasaan untuk kembali sangat kuat,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Farid A a akan terus mengutamakan kerjayanya sebagai guru sambil meneruskan minat dalam bidang nyanyian.

Menurut Farid, mempunyai minat berbeza dengan cita-cita juga boleh bantu menambah sumber rezeki.

“Kalau ada rezeki dalam bidang nyanyian, adalah. Jika tiada, tidak mengapa, saya teruskan hidup macam biasa kerana bagi saya, jika kita buat sesuatu kerana minat, perkara yang sukar boleh menjadi mudah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya