Lebaran selebriti tanah seberang - Utusan Malaysia

Lebaran selebriti tanah seberang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja dirai umat Islan di Malaysia, tetapi juga disambut penuh ragam oleh masyarakat Islam di seluruh dunia, termasuk selebriti terkenal dari pelbagai negara.

Lebaran kali ini, Pancaindera kongsikan beberapa selebriti luar negara berkongsi detik istimewa mereka menyambut Syawal, menampilkan keunikan budaya masing-masing namun tetap bersatu dalam semangat persaudaraan sesama Islam.

Lebih menarik, ada juga yang memilih untuk meraikannya bersama rakan-rakan dari negara serumpun, membuktikan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol perpaduan dan kasih sayang merentasi sempadan.

Krisdayanti

Teruja menyambut lebaran pada tahun ini, penyanyi terkemuka Indonesia,Krisdayanti, menyifatkan saban tahun Aidilfitri menyuntik makna tersendiri buat dirinya dan keluarga.

Peluang untuk berkumpul bersama keluarga lada hari yang mulia ini menjadikan Krisdayanti begitu menghargai pengertian lebaran dalam semangat kekeluargaan.

“Seperti lazimnya sambutan hari raya Aidilftri, selepas solat hari raya, kami semua akan melakukan tradisi sungkeman iaitu rutin bersalam-salaman dan memohon maaf antara ahli keluarga.

“Itu hal yang wajib dilakukan apalagi kami keluarga dari Jawa. Tradisi lain mungkin sama sahaja dengan warga di Malaysia, contohnya makan ketupat, rendang. Tetapi kami di Indonesia suka menyediakan juadah Opor Ayam di hari raya,”katanya.

Kongsi penyanyi berusia 51 tahun ini, lebaran juga menampilkan keunikan dalam keluarganya kerana momen sambutan biasanya diabadikan dalam foto dengan seluruh ahli keluarga berpakaian seragam.

“Setiap hari lebaran itu bagi kami harus dinikmati kebersamaannya. Sebagai ibu dan isteri, sudah pasti saya biasanya akan pening memikirkan warna apa yang mahu dijadikan tema raya saban tahun.

“Tetapi saya akan berbincang dahulu dengan suami. Jangan kita ketepikan pandangan suami hanya kerana kita punya banyak keinginan,”ujarnya.

Selain itu, kongsi Krisdayanti, dalam kemeriahan hari raya, dia benar-benar berharap setiap umat Islam dapat memahami makna Aidilfitri itu sendiri.

“Tentunya kita harus kembali kepada fitrah yang mana kita ini kembali di titik nol (kosong). Insya-Allah kita sama-sama membuka lembaran baharu tanpa dosa, tanpa noda.

“Kita jadikan hari raya itu untuk bersama-sama bersilaturahim. Semoga kita semua dapat memperbaiki kelemahan diri kerana ya saya tahu, sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

“Seharusnya kita cuba ubah ke arah kebaikan dan menjadi makhluk Allah yang lebih baik lagi dari hari ke hari,”katanya.

Rossa

Meski tanpa kehadiran lelaki bergelar suami di sisi, penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, juga mengakui dia tidak pernah gagal menjadikan sambutan hari raya begitu bermakna saban tahun.

Tidak kisah andai sudah bersuami atau tidak, Rossa mengakui Aidilfitri sangat bermakna apabila berpeluang berkumpul bersama keluarga tersayang.

Tidak pernah lupa untuk pulang ke kampung halamannya di Sumedang, Indonesia, Rossa berkata, sambutan hari raya pada tahun ini berjalan sebagaimana rutin yang dijalaninya.

“Biasanya, tiga hari sebelum hari raya, saya akan berangkat pulang ke kampung untuk berhari raya di rumah ibu. Tahun ini tak dapat bercuti lama kerana saya perlu persiapkan diri untuk konsert berskala besar selepas raya nanti.

“Bagaimanapun, kemeriahan hari raya itu tetap ada. Saya paling ternanti-nanti untuk memakai busana raya sedondon bersama keluarga, berkumpul dan makan masakan yang khasnya satu tahun sekali pasti ada.

“Acara di malam raya juga menarik kerana apabila ramai berkumpul di rumah, rata-rata saudara atau sahabat yang datang cukup gemar menikmati juadah nasi goreng bawany putih masakan saya,”katanya.

Ditanya sama ada menjadi kebiasaan buat dirinya untuk mengadakan rumah terbuka pada hari raya, penyanyi lagu Pudar dan Aku Bukan Untukmu ini mengakui asa menganjurkannya.

Cuma, apa yang membuatkannya hairan ialah bagaimana pemahaman rumah terbuka itu dirasakan berbeza antara di Indonesia dan Malaysia.

“Ya saya ada buat juga rumah terbuka tetapi ia biasanya khusus untuk sahabat atau saudara terdekat sahaja. Tidak ramai-ramai.

“Jadi apabila saya dapat tahu di Malaysia pun ada rumah terbuka, saya terkejut kerana rupanya ramai yang akan datang bila ada yang anjurkan rumah terbuka!

“Malah, ada yang sampai berhari-hari ya buat? Tak pasti, tetapi bagi saya ia berlainan dengan cara kami di Indonesia.

“Kami paling tidak pun berhari raya selama seminggu dan kemudiannya mulai bekerja macam biasa,”katanya.
Dalam pada itu, sambutan Aidilfitri di kampungnya juga menarik kata Rossa berikutan mereka gemar mengadakan permainan buat saudara-mara dan sahabat yang datang ke rumah.

“Memang saya akan sediakan duit raya khususnya buat anak-anak kecil yang datang. Tak banyak pun, tetapi ada. Kalau setiap kali hari raya, pasti di rumah kami meriah kerana saya suka buat ‘games’.

“Contohnya aktiviti sawer di mana saya akan baling duit raya dan akan direbut anak-anak kecil yang dikumpul sekali. Ada juga games lain dan itu yang menyeronokkan,”katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai berapa banyak busana raya yang ditempah, kata Rossa, dia bersyukur kerana ramai kalangan sahabat pereka fesyen sudi menghadiahkannya baju raya saban tahun.

Davina Karamoy

Muncul popular menerusi filem sensasi berjudul Ipar Adalah Maut, pelakon dari tanah seberang, Davina Karamoy, juga teruja menyambut hari raya Aidilfitri.

Sebagai seorang mualaf, Davina mengakui Ramadan dan Aidilfitri adalah yang paling dinantikan kerana memahami pengertiannya.

Paling dinantikan adalah momen untuk berkumpul bersama adik-beradiknya sementelah masing-masing sebelum lebaran menjelma cukup sibuk dengan kerjaya.

“Sebelum hari raya, masing-masing antara kami memang sangat sibuk sehingga tidak ada masa untuk berkumpul sama. Jadi, bagi saya, apabila berpeluang bertemu dan berkumpul di rumah terutama di hari raya, itu sangat bermakna.

“Kalau ditanya mengenai makanan pula, saya tidak mempunyai juadah khusus yang disukai. Cuma saya suka makan ketupat.

“Tentang baju raya pula, saya mungkin ada empat pasang baju. Bolehlah diganti-ganti bukan?”katanya sambil berseloroh.

Bagaimanapun, kata Davina, jarang sekali dia memilih untuk mengenakan busana warna garang kerana lebih menyukai warna-warna yang cenderung bersifat tona alam.

Dalam pada itu, Davina juga mengakui gembira kerana sejak popular dengan filem tersebut, peminatnya juga semakin bertambah terutama dari Malaysia selain Indonesia.

Katanya, Aidilfitri pada tahun ini juga menyuntik kemeriahan dan makna tersendiri buatnya kerana ramai kalangan peminat di Malaysia tidak lupa untuk menitip ucapan hari raya kepadanya meski secara maya.

Adi 6ixth Sense

Walau sudah menetap lama dan berkeluarga di Malaysia, namun vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo Sambodo, 41, tidak boleh melupakan kenangan masa kecil sewaktu menyambut lebaran di kampung halaman yang terletak di Jember, Surabaya, Indonesia.

Jelas Adi, sambutan Aidilfitri hanya bermakna ketika arwah ibunya masih hidup. Ketika itu, ibu dan adik-beradiknya yang lain akan berusaha untuk berkumpul bersama-sama setiap tahun.

Oleh itu setiap kali menjelang hari raya, mereka akan ‘cabut undi’ untuk memilih rumah siapakah yang bakal menjadi lokasi mereka berkumpul setiap kali hari raya.

“Adik-beradik mak akan mula buat undian. Bila sudah pilih tuan rumah, sesiapa yang bekerja jauh-jauh mesti akan pulang ke sana. Apabila sudah berkumpul memang meriah dan masak pelbagai hidangan.

“Cuma, di tempat saya hidangan hari raya tidak jauh berbeza dengan di Malaysia. Kami akan masak lontong da soto. Kedua-dua hidangan itu juga boleh didapati di Malaysia,” jelasnya.

Bagaimanapun, sejak ibunya meninggal dunia, Adi mengakui jarang pulang ke kampung. Adik-beradiknya sahaja yang masih meneruskan tradisi berkumpul dari rumah ke rumah seperti selalu.

“Bila emak sudah tiada, saya tidak pulang lagi. Sebab tiada siapa yang mahu saya kunjungi lagipula saya akan jadi lebih rindukan emak. Selalunya saya dan adik-beradik hanya buat panggilan video sahaja kerana masing-masing tinggal berjauhan.

“Lagipula sekarang saya sudah berkeluarga, untuk pulang ke Jember banyak yang perlu difikirkan.

“Perjalanan pula akan ambil masa sangat lama. Sampai sahaja di Surabaya, saya perlu menempuh empat jam perjalanan untuk tiba di kampung halaman,” jelasnya yang lebih selesa menyambut Aidilfitri di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya