KUMPULAN Rabbani pernah dihujani kritikan dan menerima serangan paling dahsyat sepanjang 28 tahun penubuhan mereka.
Kumpulan ini berdepan tentangan hanya disebabkan pembaharuan yang mereka bawakan menerusi lagu yang mencipta fenomena, Pergi Tak Kembali yang dihasilkan kumpulan KRU.
Ramai peminat muzik nasyid pada ketika itu tidak menerima kelainan yang disuntik dalam lagu tersebut.
Keberanian Rabbani pada ketika itu diuji dengan persepsi negatif yang dilemparkan sehinggakan ada yang mengumpamakan tindakan mereka menyuntik pembaharuan dalam lagu nasyid sebagai melacurkan muzik tersebut.
“Ketika itu ramai yang mendengar lagu ini terkejut kerana ia lain daripada kebanyakan lagu nasyid yang dihasilkan sebelumnya. Sebelum itu belum wujud mana-mana lagu nasyid yang muziknya seperti Pergi Tak Kembali.
“Disebabkan lagu itu berbeza, ramai agamawan yang memandang negatif sehingga menuduh Rabbani melacurkan muzik nasyid.
“Rabbani pada menghadapi serangan-serangan itu dengan tenang sebab kami tahu apa matlamat dan tujuan kami tampil dengan sebuah lagu nasyid yang sebegitu.
“Walaupun menerima kecaman, kami gembira kerana matlamat untuk menarik minat pendengar muda kepada lagu nasyid tercapai menerusi lagu tersebut,” kata Azadan yang ditemui sempena majlis berbuka puasa dan sidang media Starvendors Mega Raya Fest 2025 di Ruang Rama, baru-baru ini.
Menariknya mengenai lagu ini adalah apabila ia antara naskhah eksperimentasi kumpulan KRU yang pada kata itu nampak potensi lagu nasyid itu dikembangkan dari sudut kreativiti dan penyampaiannya.
“Sebelum KRU hasilkan Pergi Tak Kembali, mereka lebih dahulu rujuk lagu kami iaitu Muhammad Ya Habibi. Mereka juga tak sangka lagu nasyid boleh dihasilkan sebegitu rupa.
“Jadi, KRU terus buat tiga buah demo untuk Pergi Tak Kembali, yang mana setiap darinya dihasilkan muzik yang berlainan.
“Kami ada juga lakukan penambahbaikan dan minta pandangan ustaz-ustaz kami mengenainya. Alhamdulillah, kami tidak sangka ia boleh menjadi fenomena,” kongsinya.
NADAMURNI
RAMAI generasi sekarang yang menyangka kumpulan Rabbani ditubuhkan pada 2001 dan album pertama mereka adalah Intifada. Hakikatnya kumpulan ini sudah wujud bertahun-tahun sebelum itu.
Rabbani secara rasmi ditubuhkan pada tahun 1997, sebelum itu mereka adalah sebahagian kumpulan NadaMurni yang juga dianggotai kumpulan Hijjaz.
“Dulu, pemilihan kami sebagai anggota NadaMurni adalah berdasarkan beberapa kebolehan antaranya boleh melaungkan azan dan bermain alat perkusi sambil menyanyi.
“Kami, yang jumlahnya sangat ramai, bergerak di bawah satu nama, pergi membuat persembahan bersama-sama,” kata Azadan.
NadaMurni menemui titik pengakhiran pada 1996. Titik penamat itu membawa kepada kemunculan kumpulan Rabbani dan Hijjaz.
“Selepas NadaMurni dibubarkan arwah ustaz Mohd. Asri Ibrahim mengajak mana-mana bekas ahli yang mahu terus berjuang bersamanya untuk berjumpa dia pada hari Khamis malam Jumaat.
“Yang hadir, 13 bekas ahli NadaMurni itulah anggota Rabbani. Selebihnya yang tidak datang adalah anggota Hijjaz.
“Fasa itu mencabar bagi Rabbani kerana ahli kumpulan ramai namun pendapatan yang kami terima selepas membuat persembahan tidak banyak. Bayangkan berapa setiap ahli terima kalau pendapatan RM1500 dibahagi untuk 13 orang?
“Masa itu arwah ustaz Asri katakan kepada kami, kalau sanggup bersusah payah, dia mengalu-alikam kami sertainya. Alhamdulillah perjuangan itu kami pegang sampai sekarang,” katanya.
Disoal tentang Rabbani, Azadan menceritakan nama tersebut dipilih selepas beberapa nama lain yang dicadangkan.
“Antara nama yang dicadangkan adalah Safwan. Tapi selepas membuat pemilihan, akhirnya kami muktamadkan Rabbani sebagai nama kumpulan.
“Nama itu dipilih kerana salah satu maksudnya iaitu berilmu dan beramal,” jelasnya.
INTIFADA
Pelbagai kejayaan diraih kumpulan bertaraf legenda ini sepanjang lebih dua dekad perjuangan nasyid mereka.
Antara yang paling manis adalah yang diraih menerusi penghasilan album Intifada.
Intifada bukan sahaja diangkat sebagai Album Nasyid Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album, malah diiktiraf sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-9.
Setiap ahli kumpulan Rabbani tidak pernah menyangka sebegitu besar kejayaan mereka raih menerusi album berkenaan.
“Sebenarnya, rezeki Rabbani kerana dapat karya-karya yang bagus, berkualiti dan diterima baik pendengar.
“Sejak dulu kami memang dilatih untuk memberikan komitmen penuh, baik dari sudut persembahan vokal dan kualiti muzik,” kongsi Azadan.
Ditanya bagaimana lagu Intifada boleh bertukar fenomena, Azadan berpandangan selain percaya ia sebagai rezeki ditentukan Tuhan, lagu itu juga muncul pada waktu yang tepat.
“Saya ingat lagi kami rakam lagu Intifada dalam bulan Ramadan selepas bersahur.
“Dan ia diterbitkan ketika isu Palestin hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat ketika itu.
“Bagi saya, lagu itu muncul pada waktu yang tepat, ikut kesesuaian semasa.
“Lagu itu juga mencipta magis kerana ciri-cirinya yang menggabungkan muzik tradisional dan moden selain mesejnya yang mengupas mengenai isu kemanusiaan,” katanya.