BMW E36 kereta pilihan Tracie Sinidol - Utusan Malaysia

BMW E36 kereta pilihan Tracie Sinidol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perwatakan lemah lembut seseorang wanita itu tidak semestinya mempengaruhi minat mereka dalam sesuatu perkara. Ada sahaja wanita yang suka melakukan aktiviti yang digemari kaum lelaki.

Malah, pada era kini ramai juga kaum wanita yang dilihat semakin berani mencuba perkara yang menguji jiwa kewanitaan mereka dengan melakukan aktiviti yang mencabar.

Seperti pelakon kelahiran Sabah, Tracie Sinidol, dia memberitahu bahawa dia suka melihat koleksi kereta klasik yang kebiasaannya menjadi kegemaran kaum lelaki.

Kata Tracie, sikap lemah lembut dan keayuannya itu sama sekali tidak mencerminkan perwatakan sebenarnya yang lebih menyukai sesuatu aktiviti yang ekstrem.

“Saya suka kereta klasik. Orang tengok saya seorang yang ayu dan mungkin ada yang fikir saya suka bersolek dan sebagainya. Tetapi tidak, saya minat benda-benda yang lelaki minat seperti kereta dan motor. Saya suka melakukan aktiviti yang mencabar.

“Sebelum ini, saya minat motorsikal. Tetapi selepas terlibat dalam kemalangan, saya trauma. Jadi, sejak itu saya takut untuk membawa motor,” katanya kepada Pancaindera.

Tracie yang kini berusia 24 tahun berkata, dia sering menganggap wanita yang mahir memandu kereta itu mempunyai aura yang luar biasa apatah lagi jika mereka memandu kereta sukan.

Tambahnya, minatnya itu secara tidak langsung membuatkan dirinya tertarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kelebihan kereta klasik.

“Sebenarnya saya rasa seorang wanita yang memandu itu seorang yang hebat lebih-lebih lagi kalau dia bawa kereta sukan. Saya sangat kagum dengan mereka.

“Pada saya, tidak ramai perempuan yang suka kereta. Mungkin mereka suka tetapi tidak terlalu mendalam. Jadi, saya rasa itu adalah peluang yang terbaik untuk saya cuba,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Gadis Masa tersebut turut mendedahkan bahawa dia memiliki sebuah kereta klasik iaitu BMW E36.

Malah, dia juga turut menubuhkan sebuah komuniti khas untuk peminat kereta tersebut di samping mahu membuat kenalan baharu dengan mereka yang mempunyai minat yang sama.

“Saya suka pergi ke kafe yang ada pameran kereta. Saya juga suka kereta klasik seperti kereta BMW E36. Ada masa saya akan konvoi bersama pemandu kereta yang lain untuk ke Genting Highlands atau ke mana sahaja yang dirancang.

“Saya juga ada sebuah komuniti yang dinamakan Soul Driving dan saya ada buka ‘Broadcast Channel’ di Instagram. Di situ saya banyak membuat kenalan baru dan berkongsi minat terhadap kereta dengan komuniti yang sama,” kongsinya.

Dalam masa sama, Tracie juga mengakui salah satu impiannya adalah mahu menceburi pertandingan lumba kereta dan melakukan beberapa aksi ketika di litar.

“Saya teringin untuk memandu di Litar Sepang dan membuat aksi ‘drift’, itu impian saya. Saya juga teringin mahu masuk Toyata Gazoo Racing.

“Saya mahu rasa nikmat dapat memandu dan berlumba di litar tersebut sambil mendengar teriakan orang ramai dan pengulas sukan.

Tidak mendedahkan perbelanjaannya untuk kereta klasik yang dimilikinya, Tracie mengakui dia sering membuat persediaan awal untuk mengumpul duit demi menampung kos penyelenggaraan.

“Sejujurnya, bila melibatkan kereta ini kita memang perlu menyediakan sejumlah wang ringgit terutamanya untuk kos penyelenggaraannya. Jadi, bagi saya perkara itu normal walaupun agak mahal bagi saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya