Umai mahu bersinar dengan identiti sendiri - Utusan Malaysia

Umai mahu bersinar dengan identiti sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pasti membuatkan ramai menyangka perkara itu memberikan tekanan kepada pemilik nama lengkap, Ummi Umairah Abdullah untuk mengekalkan nama baik penyanyi tersohor itu.

Namun, penyanyi yang mesra disapa sebagai Umai menganggap perkara itu sebagai satu cabaran untuk dirinya bersinar dengan identitinya sendiri.

Kata Umai, dia yakin penglibatannya dalam industri seni pada hari ini adalah bukti usaha kerasnya dalam mengejar impian untuk menjadi seorang penghibur kini membuahkan hasil.

“Meskipun ibu saudara saya, Mak Iti sudah dikenali ramai, saya ingin orang tahu bahawa minat ini sudah terpupuk sejak kecil lagi. Saya mempunyai identiti saya sendiri.

“Saya juga berdiri di atas kaki saya sendiri dan tidak mahu menumpang nama baik ibu saudara saya. Bagaimanapun, beliau tetap inspirasi terdekat buat diri saya terutamanya, dari segi perjalanan seninya,” katanya kepada Pancaindera.

Mungkin ada beranggapan, penyanyi berusia 14 tahun ini beruntung kerana tidak perlu berpenat lelah menempa nama dalam industri seni kerana kedudukan ibu saudaranya sudah dipandang tinggi oleh masyarakat.

Namun bagi empunya badan, dia juga pernah mengharungi fasa sukar bahkan hampir berputus asa ketika mahu mendapatkan penerimaan orang ramai dalam industri hiburan tanah air.

“Sejujurnya, saya pernah rasa penat untuk teruskan cita-cita untuk terus berada dalam industri. Pada ketika itu saya kecil lagi dan saya juga ada berlakon satu ketika dahulu.

“Bila sudah meningkat usia, saya sudah semakin faham dan lama kelamaan saya menjadi semakin seronok. Saya tidak mahu sia-siakan peluang ini dan akan buat sehabis baik,” jelasnya.
Selain menjadi inspirasi, Umai sentiasa pegang akan pesanan ibu saudaranya itu agar sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan tidak menjadi hidung tinggi meskipun sudah bersinar suatu hari nanti.

“Dia selalu berpesan agar saya pandai bawa diri dalam industri seni. Paling penting, dia ajar saya untuk hormat semua orang, merendah diri dan tidak sombong.

“Pada saya, walaupun dia sudah bergelar Biduanita Negara, saya kagum dengan sikapnya yang boleh layan semua orang dengan baik dan merendah diri,” katanya.

TIADA YANG CEMBURU, TETAPI TETAP BERHATI-HATI

Tatkala seorang remaja mengharungi zaman mudanya dengan gembira, Umai mengakui perjalanan hidupnya sedikit berbeza berbanding individu yang seusia dengannya.

Mana tidaknya, pada usianya yang masih bersekolah, dia sudah perlu bekerja keras membina nama di persada seni negara demi cita-cita yang diimpikan

Bagaimanapun, anak sulung daripada lima adik beradik itu tetap cekal mengharungi usia remajanya dengan penuh rasa syukur dan bahagia.

“Cabaran itu ada. Walaupun tidak melalui zaman kanak-kanak atau remaja seperti orang lain, saya tetap harungi perjalanan hidup saya seperti biasa tanpa sebarang tekanan.

“Saya tidak berasa rugi pun bila tidak melalui momen yang sama seperti remaja yang lain. Pada saya, perjalanan hidup saya juga sempurna sebab saya berjaya dapat apa yang saya impikan dalam hidup ini,” katanya.

Ditanya sama ada ada rakan yang mula mencemburui kejayaannya, Umai hanya tersenyum tenang dan percaya mereka saling menyokong antara satu sama lain atas setiap pencapaian yang dikecapi.

Tambahnya, dia sendiri tidak mahu berfikiran negatif dengan tanggapan orang sebaliknya memilih jalan untuk berhati-hati.

“Pada saya, tiada yang iri hati dengan kejayaan saya ini kerana saya bersekolah di sekolah seni. Dalam kalangan mereka juga ada anak selebriti, jadi mereka memang saling menyokong antara satu sama lain.

“Saya juga tidak tahu siapa antara mereka yang mahu mengambil kesempatan terhadap saya. Saya juga dibesarkan supaya tidak berfikiran negatif terhadap orang. Tapi saya juga takut sekiranya perkara itu, jadi saya akan tetap berhati-hati,” ujarnya.

TERIMA KASIH SELALU DI BELAKANG SAYA

Mengakui dirinya seorang yang pemalu dan introvert, Umai mengakui dirinya masih belajar menyesuaikan diri untuk berkomunikasi dengan baik lebih-lebih lagi sejak bergelar artis di bawah naungan SN Legacy Sdn. Bhd.

Katanya, dia hanya boleh menonjolkan sisinya yang sebenar setelah selesa mengenali seseorang selain mendapat dorongan daripada ibunya, Siti Sairah.

“Saya sebenarnya seorang yang introvert. Bila sudah selesa dan lama kenal, baru saya dapat berkomunikasi dengan seseorang itu macam biasa.

“Saya boleh dikatakan seorang yang pemalu lebih-lebih lagi apabila ditemu bual. Memang tidak dapat dinafikan ibu sayalah yang banyak membantu saya untuk menjawab dengan betul,” katanya.

Tambah Umai, penglibatannya sebagai artis di bawah naungan syarikat yang dikendalikan oleh Siti Nurhaliza itu merupakan langkah kanan untuk dirinya mencuba membawa imejnya dengan baik dalam industri seni.

“Jika tengok pada persekitaran saya pun, saya dikelilingi oleh orang yang sama sejak penglibatan saya dalam industri seni.

“Contohnya, sebelum ini ibu dan bapa saya yang banyak menguruskan jadual kerjaya saya. Dari segi penampilan dan tatarias saya pula, dibuat oleh Azmier Hisyamuqris dari saya kecil.

“Tetapi bila sudah bertapak dalam syarikat naungan ibu saudara sendiri, sudah tentu perihal kerjaya saya akan diuruskan mereka. Secara tidak langsung, itu membuka peluang untuk saya berkenalan dengan orang baru,” jelasnya.

Di akhir temu bual, Umai sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang sering menjadi tulang belakangnya sejak kecil terutamanya, kedua ibu bapanya yang memberikan restu untuknya menjadi seorang penyanyi.

“Saya tidak akan lupa mereka yang sentiasa berada di belakang saya sejak kecil. Ibu saya selalu pesan, walau setinggi mana pun kejayaan kita suatu hari nanti, jangan pernah lupakan mereka yang sentiasa menyokong dan ada bersama. Mereka pernah berada bersama kita sewaktu susah, takkan semudah itu saya lupakan begitu sahaja.

“Terima kasih sebab sentiasa sokong dan menjadi tulang belakang saya dari awal penglibatan saya dalam industri sehingga ke tahap ini. Saya rasa saya tidak akan kuat jika tiada mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya