Ulasan Nightbitch: tidak semua ibu mahu menggonggong - Utusan Malaysia

Ulasan Nightbitch: tidak semua ibu mahu menggonggong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG penulis prolifik dalam karya kontemporari sastera Turki, Elif Shafak, pernah menulis tentang dilema seorang perempuan dalam bukunya Black Milk On Motherhood and Writing. Ketika fasanya menjadi seorangi ibu, dia seperti kehilangan dirinya sendiri.

Dia sedaya upaya tidak menangis walau kepenatan dan keliru dalam tempoh beradaptasi kerana kata orang lama di negara itu, jika seorang ibu yang baru melahirkan hidup bergelumang air mata, susu yang keluar daripadanya akan bertukar hitam. Jadi dia menelan perasaan sendiri, diam dan dalam.

Buku tersebut menjadi pembuka buat yang saya masih dara memahami lebih dekat perjuangan seorang ibu kerana hal-hal begini sangat taboo jika disuarakan di media sosial.

Anda akan dilabel tidak bersyukur, atau ada ustaz jadian yang mengingatkan anda betapa mahal harga syurga atau itu sudah lumrah seorang wanita seperti perdebatan tolol tapi hangat minggu lalu di aplikasi X (yang saya harap anda tidak terlibat).

Saya bersyukur kerana Nightbitch yang diadaptasi daripada novel Rachel Yoder mula ditayangkan di aplikasi penstriman Disney minggu ini. Setidaknya ia cuba memberi gambaran lebih dekat mengenai dilema ibu menerusi visual dengan sentuhan sutradara Marielle Heller (Can You Ever Forgive Me?).

Sebenarnya dari awal filem ini, watak ibu lakonan Amy Adams dengan enam pencalonan Anugerah Oscar tidak diperkenalkan namanya. Sebagai penonton, kita hanya tahu dia bekas (berusaha menjadi ‘masih’) pelukis yang kritis tapi sejak menjadi ibu, kita lupa identitinya.

Awal filem ini bagi saya amat mustahak di mana ada dua jenis ibu, pertama ibu lakonan Amy yang tidak pernah memaki atau memarahi anaknya. Dia memendam. Kedua, ibu lain yang menunjukkan amarahnya di depan anak.

Kita mungkin fikir semua ibu harus menjadi ibu versi Amy Adams, namun kerana terlalu memendam, suaminya pula asyik bekerja di luar kawasan membuatkan mentalnya terganggu sehingga membunuh kucing kesayangannya sendiri.

Akibat terlalu penat, tidak cukup tidur membuatkan sang ibu membayangkan dirinya adalah anjing yang bebas melampiaskan kemarahan, menggonggong dan berlari sejauhnya.

Perempuan, anjing dan dewi mitos Yunani

Sebenarnya ketika filem ini memasukkan unsur realisme magis- perempuan berubah menjadi anjing, saya terfikir adakah ia metafora yang wajar? Atau apakah anjing ada hubung kait dengan mitos perempuan yang tidak saya ketahui, kerana ia adegan yang kelakar sudah tentu, namun agak tiba-tiba. Kerana tidak semua ibu mahu menggongong bukan?

Saya merasakan mungkin Nightbitch mengambil rujukan daripada mitos Yunani tentang dewi Hecate yang dikelilingi anjing-anjingnya, dianggap pelindung wanita daripada roh jahat ketika melahirkan. Namun sayangnya, hubung kait itu seperti tidak ‘cair’ di dalam plot sedangkan alur ceritanya sudah cantik.

Saya khuatir jika Nightbitch akan menjadi filem yang berceramah atau sekadar memaparkan keluhan perempuan. Namun saya lihat, ia membawa wacana untuk dibincang dengan menyeimbangkan keindahan dan cabaran seorang ibu bersanding sama banyak di layar.

Ia juga filem yang bagus menunjukkan kita boleh bersikap kritis membawa isu seorang perempuan tanpa perlu menjatuhkan seorang lelaki. Cuma kadangkala lelaki tidak faham ‘perang’ apa dalam kepada seorang ibu.

Nightbitch tetap filem pembuka tentang falsafah keibuan yang bagus untuk menghadirkan rasa empati. Kerana kata Elif Shafak, seorang lelaki yang menulis dilihat seorang penulis di mata masyarakat. Tapi seorang perempuan yang menulis dilihat sebagai seorang ibu, barulah kemudian dianggap sebagai penulis di mata masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya