SEMUANYA bermula dengan satu video klip bertajuk Lelaki Gila nyanyian Naim Daniel yang dibintangi pengacara sensasi, Azwan Ali. Azwan yang menjenamakan dirinya dengan panggilan Diva AA di media sosial kembali diperkatakan kerana menyelitkan foto penyanyi, Ziana Zain dalam klip tersebut.
Buat peminat generasi kini yang hanya mengenali pengacara itu dengan peribadi lantang di media sosial, rata-rata terkejut kerana tidak menyangka lelaki tersebut pernah patah hati kerana gagal menerima cinta daripada penyanyi Madah Berhelah itu.
Baru-baru ini Pancaindera berkesempatan bertemu empat mata dengan Diva AA. Rupanya ada sebab mengapa pengacara berusia 60 tahun itu memilih hidup bujang sehingga kini. Betulkah masih tidak boleh melupakan Ziana Zain? Jawablah Azwan!
J: Diva AA (Azwan minta wartawan memanggilnya dengan gelaran ini) betulkah cerita patah hati dengan Ziana Zain itu? Atau sekadar wayang?
AA: Memang waktu dulu saya minat Ziana Zain. Ketika itu dia belum nampak ‘bergetah’ macam hari ini. Sekarang Ziana makin tua makin cantik. Cerita itu pun sebenarnya sudah basi, tapi iyalah mungkin kisah ini kembali diperkatakan sebab video klip Lelaki Gila itu tular. Saya cuma simpan dia dalam hati saya. Anggap sahaja memori indah yang tidak kesampaian.
Terima kasihlah kepada berbilion yang ‘like’ dan ‘share’ sampaikan pasukan Datuk Seri Siti Nurhaliza pun puji video itu. Kau ada?
J: Betulkah Diva pernah digelar lelaki gila kerana masih menunggu Ziana Zain? Penerimaan Diva bila orang beri gelaran itu bagaimana pula?
AA: Betul. Saya tidak kisah dicop Lelaki Gila. Saya okay sahaja. Sebab bagi saya, siapa pun orang yang pernah saya minat adalah sebahagian daripada sejarah hidup. Apa yang mereka mahu katakan, terpulanglah.
Sudah terlalu lama saya mengenali Ziana, terlalu banyak cerita kami. Dia seorang wanita yang akan cakap apa sahaja yang dirasakan betul. Saya tidak rasa Ziana akan melantun apabila cerita ini ditimbulkan semula. Saya tahu dia orang yang bagaimana.
J: Adakah kerana cinta yang kuat kepada Ziana membuatkan Diva memilih membujang sampai ke hari ini?
AA: Kalau anda dengar mesej yang disampaikan Lelaki Gila, ia bercakap tentang kesetiaan. Hari ini ramai artis yang kahwin sekadar wayang. Bila sudah dapat seorang anak hancur semua, hari-hari ke mahkamah (cerai). Saya tidak mahu itu.
Lebih baik jadi seperti saya yang nekad tidak berkahwin. Sebenarnya orang seperti saya ini ramai. Saya tidak mahu main rembat sahaja sesiapa untuk kahwin. Ini kerana masih ada lagi ingatan kepada yang lama.
Saya tidak mahu bercinta kerana memang saya gilakan Ziana dan pernah mengharapkan segala yang baik untuk kami. Tapi Tuhan aturkan untuk tidak lagi bersama. Kita terpaksa redha.
J: Adakah Diva rasa zaman kegemilangan Azwan Ali sudah berakhir?
AA: Sekarang giliran para pelapis kita yang perlu menyambung nyawa industri seni di Malaysia. Penggiat seni yang lama-lama tolonglah sedar diri untuk ucap selamat tinggal. Anda tidak akan di atas selamanya. Saya juga kena terima hakikat zaman Azwan Ali yang terkena sudah berlalu.
Sebab itu saya tukar nama Diva AA, itupun bertahun-tahun saya dikecam sampailah akhirnya orang boleh terima.
J: Soalan terakhir, adakah Diva akan kekalkan imej lancang dan lahar di media sosial?
AA: Saya ada 80,000 pengikut di aplikasi X. Semua orang saya ‘sembur’ termasuklah artis tidak kiralah Siti Nurhaliza atau Neelofa. Ahli politik pun saya kecam termasuk Azmin Ali, kau kenal tak?
Tidak dinafikan ada artis yang melantun dan sembur saya balik. Tapi saya tidak pernah berniat mahu menjatuhkan sesiapa.