Saya menangis ‘mencari’ Tracie Sinidol

Saya menangis ‘mencari’ Tracie Sinidol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ingin dikenali dengan identiti sendiri, namun tidak tahu apa sisi istimewa yang boleh ditonjolkan kepada umum. Itulah halangan yang dihadapi pemilik nama Tracie Sinidol sejak menapak dalam industri seni.

Kata pelakon yang berwajah persis Mira Filzah itu, ada kalanya dia sendiri bingung dengan identiti dirinya bahkan tidak mempunyai jawapan yang jelas untuk membalas persoalan itu.

“Setiap kali orang tanya siapa diri saya, saya sering tiada jawapan untuk soalan itu. Soalan itu yang paling susah untuk saya jawab kerana saya sendiri tidak tahu siapa saya.

“Saya pernah cakap saya masih mencari diri sendiri. Saya juga mencari apa lagi kebolehan yang saya boleh tonjolkan kepada orang melalui bakat dan kemahiran saya. Ada kalanya saya rasa orang lain yang lebih mengenali diri saya.

“Apa yang menghalang itu pada saya ialah mungkin sebab orang sentiasa anggap saya ada persamaan dengan Mira Filzah. Tetapi sebenarnya tiada apa yang menghalang pun kerana saya memang menjadi diri sendiri.

Katanya lagi, dia pernah melalui fasa ‘hilang’ identiti diri kerana terlalu celaru dan hanyut dalam setiap watak yang pernah dijayakan.

Ditanya sama ada dia melakukan sebarang diagnosis pada ketika itu, pelakon yang berusia 24 tahun tersebut mengakui dirinya bebas dari sebarang masalah kesihatan mental.

“Saya sendiri pernah rasa hilang identiti diri kerana terlampau banyak watak yang saya bawa. Sampaikan saya sendiri tanya mana diri saya. Bila bersama keluarga pun saya rasa itu bukan saya.

“Ketika itu saya benar-benar rasa diri ini hilang. Saya berfikir mungkin sebab saya dalam fasa untuk berubah menjadi lebih baik tetapi perasaan ‘lost’ itu tetap ada.

“Saya banyak menangis kerana tidak tahu siapa saya. Sampailah satu tahap saya serahkan diri saya untuk lebih dekat dengan Tuhan. Selepas itu, saya mula jumpa kembali diri saya yang hilang tetapi dalam versi baru,” kongsinya.

Saya Tidak Jual Rupa

Genap tiga tahun bertapak dalam industri seni tanah air, Sumandak Sabah ini mengakui sukar untuk dirinya kekal relevan kerana lambakan pelapis baru.

Menurut Tracie, dia terkejut apabila industri seni kini lebih mudah menerima bakat baru tanpa perlu melalui sebarang ujibakat mahupun pertandingan rasmi.

“Saya rasa perkara yang paling susah sepanjang berada dalam industri ini adalah untuk kekal relevan. Kemunculan pelapis baru itu terlalu ramai. Setiap bulan akan ada sahaja.

“Walaupun tiga tahun dalam industri, sebelum ini untuk bergelar pelakon saya bermula dari ujibakat Dewi Remaja. Tetapi sekarang kalau seseorang itu terkenal di media sosial pun sudah boleh menjadi pelakon.

“Jadi, apa yang buat kita istimewa. Macam saya sendiri saya sentiasa menjaga disiplin supaya orang senang hati untuk bekerja dengan saya,” katanya.

Meskipun tuahnya berada dalam industri kerana menjuarai pertandingan Dewi Remaja Edisi 12 pada tahun 2022, Tracie menafikan dirinya menjual rupa parasnya demi bergelar anak seni.

Jelas Tracie, dia percaya mutu lakonan dan bakat seseorang anak seni itu lebih bernilai berbanding rupa paras yang cantik jelita.

“Saya tidak akan menjual rupa. Saya percaya kalau kita ada rupa sekali pun tetapi tidak boleh sampaikan apa yang produksi mahukan itu tidak menjaminkan apa-apa. Setiap produksi juga perlukan kualiti yang menepati piawaian mereka.

“Saya tidak penat pergi ‘casting’ untuk sesetengah watak. Perkara itu yang buatkan saya perbaiki kelemahan diri saya sekiranya tidak berjaya membawakan watak tersebut. Bagi saya memang bakat itu perlu diutamakan.

“Kebanyakan produksi memang utamakan mutu lakonan berdasarkan ekspektasi mereka. Saya suka kalau sesuatu itu berlaku secara natural. Saya tidak kisah walau diberi watak buruk sekali pun kerana yang saya mahu tonjolkan adalah bakat saya,”

Hampir Hilang Nikmat Penglihatan

Berkongsi mengenai pengalaman pahit sepanjang bergelar anak seni, Tracie terbuka memaklumkan bahawa dirinya kini sedang mengalami masalah penglihatan pada mata kirinya.

Kongsinya, perkara itu berlaku ketika dia sedang bermain badminton kerana terkena bulu tangkis yang menyebabkan penglihatannya terjejas sehingga hari ini.

“Beberapa hari sebelum masuk set penggambaran Antara Dua Syurga, saya hampir hilang penglihatan gara-gara terkena bulu tangkis sewaktu bersukan.

“Ketika itu saya tidak nampak apa-apa kerana bulu tangkis itu terkena tepat pada mata hitam saya. Seluruh mata juga dipenuhi darah beku kerana pendarahan yang teruk.

“Sewaktu insiden itu berlaku, saya hanya tenang dan berserah sahaja pada Tuhan. Andai saja nikmat penglihatan saya hilang sepenuhnya ketika itu, saya pasrah sahaja.

“Mujur selepas mendapatkan rawatan di hospital, pendarahan itu semakin berkurangan. Tetapi kesan sampingannya saya menjadi silau dan ada kalanya pandangan saya kabur sehingga kini,” jelasnya.

Reda dengan takdir yang tertulis, Tracie enggan menjadikan masalah kesihatannya itu sebagai alasan untuk mengganggu masa dan tenaga pihak lain selain mahu kekal optimis menjalankan tanggungjawab.

“Saya tetap teruskan penggambaran meskipun keadaan mata saya belum pulih sepenuhnya. Ada salah satu babak itu, saya perlu menangis.

“Dalam keadaan mata yang sakit, saya tetap jayakan watak tersebut kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

“Saya memang begitu. Saya sendiri tidak tahu kata tidak untuk sesetengah perkara kerana bimbang perkara itu boleh menyusahkan orang lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya