Ning Baizura penghibur pop, soul malar segar - Utusan Malaysia

Ning Baizura penghibur pop, soul malar segar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tidak meletak harapan terlalu tinggi melihat Ning Baizura sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11). Bukan kerana dia tidak hebat, namun, Liza Aziz yang konsisten di kedudukan tiga teratas setiap minggu menunjukkan ada orang lain nyata lebih layak menerima pengiktirafan itu.

Bagaimanapun, saya tetap puas hati dan gembira ketika dia diumumkan sebagai Naib Juara. Kejayaan Ning menunjukkan juri profesional masih melihat peranannya sebagai pesaing terdekat Liza, walau di mana pun kedudukan penyanyi Curiga itu selama bertanding di pentas GV.

Di minggu sembilan GV11, pihak produksi sepatutnya sejak awal lagi menggandingkan Ning dengan Liza untuk mencetus satu persembahan duet yang sengit, pada masa sama saling melengkapi walau terpaksa menyanyi lagu sendiri.

Minggu itu juga menyaksikan Ning di tempat pertama menerusi First Love (Utada Hikaru). Tetapi, entah apa percaturan Astro sehingga meletakkan Sheila Abdull duet dengan Liza yang akhirnya berada di kedudukan enam.

Standard pop dan R&B Ning tidak akan dapat diikuti atau disamai oleh sesiapa. Dia menghibur pendengarnya dengan caranya sendiri dan kita semua tahu, bagaimana corak vokalnya kedengaran yang mengukuhkan statusnya sebagai diva pop, berawal album Dekat Padamu dengan hits Curiga dan Dugaanku sejak 1993.

Sebagai guru vokal dan pernah menjuri di minggu 7 GV1 pada 2014, kali ini kita menyaksikan bagaimana pemenang Voice of Asia 1991 itu menurunkan ego dan standardnya untuk dihakimi secara terbuka, di sebalik pengalaman dan pencapaian 33 tahun dalam industri muzik tanah air.

Sesetengah orang mungkin kurang suka cara nyanyiannya dan bagaimana pemenang Anugerah Juara Lagu ke-9 (AJL-9) kategori Balada itu mengalihkan vokalnya ke bahagian paling tinggi.

Hakikatnya, tidak semua lapisan pendengar perlu menerima persembahan penerima Anugerah Ratu Diva Soul itu, kerana masih ada kelompok tertentu yang menghargai dan mahu melihat dia terus menghibur di atas pentas.

Sebenarnya, tanpa GV pun, Ning tetap berdiri sendiri sebagai satu jenama kukuh dalam sejarah pop, R&B dan soul Malaysia dan dia tidak perlu satu anjakan lagi menaikkan semula namanya di persada muzik negara.

Saya ada 12 album studionya. Ning (1994), Teguh (1995), Ke Sayup Bintang (1997), Always (1997), Pujaan Ku (1999), Natural Woman (2001), Selagi Ada… (2003), Erti Pertemuan (2004), East To West (2008), Dewa (2011), Kekal (2013) dan 3 Suara (2011). Saya menyaksikan bagaimana jurang perbezaan dalam vokal dan ilham muziknya berkembang dengan baik sekali.

Tiada penyanyi serba sempurna. Biduanita negara pun kadang-kadang tidak bernyanyi di garis nota muzik sepatutnya. Secubit kesalahan berpentas Ning tidak sepatutnya menutup segala dia pernah curah untuk pembangunan industri muzik tempatan, apatah lagi menjatuhkan kredibilitinya hanya kerana gelinciran biasa sewaktu persembahan di Bobo KL.

Ning, penyanyi serba boleh. Bermula lagu-lagu pop, R&B, soul Melayu dan Inggeris, beralih kepada black metal dan klasik Sayang Disayang, membuktikan dia menerima apa jua cabaran dalam memaknai seni muziknya.

Rangkaian hits seperti Pasti, Kau dan Aku, Penjara Kasih, In Another Life, Teguh, Aku Rindu Padamu, Selagi Ada…(Cinta), Ku Kesali, Awan Yang Terpilu, Erti Pertemuan, Kepulangan Yang Terindah, Bukan Wanita Sempurna, Embunan Bersinar menjadi karya yang akan terus didengar sepanjang zaman sekalipun skala pendengarnya tidak sebesar Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menjadi seorang Ning Baizura itu benar-benar eksklusif kerana jarang mengadakan showcase, konsert atau tampil dengan produk baharu. Atas dasar itu, saya menikmati setiap masa di GV menyaksikan Ning menyanyi dan menghibur.

Selepas ini, Ning sebolehnya menggunakan peluang yang ada secara optimum untuk memanjangkan jaluran muziknya sesuai dengan kehendak pasaran. Sudah terlalu ramai pemenang GV mensia-siakan peluang untuk muncul semula. Apakah Ning mahu menerima nasib sama?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya