Ini pula perihal seorang penyanyi rap yang boleh dikatakan agak popular juga di era baharu ini. Tak perlu Cik Bunga sebut namalah nanti bikin dia mau pula.
Adalah seorang hamba Allah ini mengadu pada Cik Bunga, dakwanya si penyanyi dan komposer ini ada meminjam sejumlah wang dengannya.
Sudah agak lama, tetapi macam biasa ‘dongeng’ yang selalu kita dengar, orang yang bagi pinjam mesti tidak semena-mena ‘terpegang’ watak pengemis di kemudian hari.
Dalam erti kata lain, si pemiutang bukan main liat lagi nak bayar hutang sampaikan yang beri pinjam itu pula kena tagih duit sendiri daripada orang yang berhutang dengannya itu.
Mungkin jumlah duit yang dipinjam itu tidaklah cecah puluhan ribu ringgit tetapi kalau sudah namanya berhutang, sudah janji mahu bayar, maka sepatutnya lunaskanlah.
Sudahnya si pemberi pinjam wang tadi jadi sakit hati bila setiap kali menagih hutang, akan ada sahaja alasannya.
Bagi Cik Bunga, tak payah hendak berdalih terlalu banyak, nanti pusing-pusing bertemu juga dalam industri seni hiburan kita yang tak besar mana ini. Nanti boleh jadi malu sendiri. Kan jadi tak seronok begitu?