AZURA Aziz ketika meniti populariti sekitar era 90-an menempuh suka duka dan rencam dunia seni tanah air.
Ketik era itu juga penyanyi bersuara gemersik ini berdepan ujian paling getir sepanjang perjalanan karier seninya susulan konflik dalaman ketika lima tahun bernaung dibawah sebuah syarikat rakaman tempatan terkenal.
Azura sempat berkongsi pengalaman itu ketika saya menemuinya dalam majlis rebiu buffet Ramadan bersama kumpulan Rabbani, baru-baru ini.
Azura menganggap ‘fasa gelap’ yang dilaluinya itu sebagai pengalaman mematangkan yang lebih menguatkan dirinya.
“Memang agak terkilan ketika itu apabila seorang penerbit ini menuduh saya enggan merakam album walhal hakikatnya peruntukan yang sepatutnya dilaburkan untuk album saya itu telah digunakan untuk penyanyi lain.
“Disebabkan salah faham itu, penerbit berkenaan bertindak menyaman saya sehingga mencecah puluhan ribu. Namun Alhamdulillah, kemenangan waktu itu berpihak kepada saya.
“Tapi disebabkan saya masih terikat dibawah label berkenaan,saya terpaksa akur bernaung dibawah mereka meskipun keadaan sudah tidak manis selepas kes saman tersebut.
“Bayangkan dalam lima tahun itu, saya hanya berpeluang merakam sebuah album bersama label itu. Kemudian saya digantung tidak bertali tanpa penghasilan album lain. Mujur waktu itu Tuhan berikan banyak rezeki untuk saya membuat persembahan, dapat juga saya survive ketika itu,” kongsinya.
Kata Azura, kejadian yang puluhan tahun berlalu itu tidak disimpan dalam hati, cukup sekadar menjadi pengalaman yang mematangkan.
“Penerbit itu sudah meninggal dunia. Saya pun tidaklah simpan dendam atau marah kepadanya.
“Saya move on selepas apa yang berlaku. Rezeki saya tidak pernah putus dan kejadian yang menimpa saya itu tidak pernah menghalang karier seni saya,” ujarnya.
Azura Aziz merupakan penyanyi yang dilahirkan dalam keluarga seni sementelah bapanya juga merupakan seorang penyanyi dan pemuzik.
HIJRAH KE KL PADA USIA 18 TAHUN
Menceritakan mengenai latar belakang, kata Azura, minatnya dalam bidang seni suara mendapat sokongan keluarga dan tidak pernah berdepan halangan.
“Ayah dan mak saya memang beri dorongan, lebih-lebih lagi ayah saya yang sangat menggalakkan saya menyanyi.
“Sebab itu saya selalu ikut pertandingan menyanyi sewaktu kecil sampailah dewasa. Semua itu hasil galakkan orang tua saya,” kongsinya.
Katanya, keinginan menjadi penyanyi yang menebal juga membuahkan keberanian untuk dia berhijrah ke Kuala Lumpur bersama saudaranya pada tahun 1992.
“Pada usia 18 tahun saya sertai Pertandingan Bintang Warga Kota 1992 di Kuala Lumpur, jadi saya perlu berada di ibu kota, tinggal bersama saudara saya di sini.
“Alhamdulillah, saya telah dinobatkan juara bagi kategori senior dan pada masa yang sama, dilamarkan arwah A. Ali untuk bernaung bersama SRC,” jelasnya.
TOLAK PINANGAN KERABAT
Sempat saya bertanyakan mengenai kisah lamaran kerabat diraja yang dikaitkan dengan Azura seperti dilaporkan media pada tahun 2000.
Azura pada ketika itu dikatakan menolak tuah kerana menolak pinangan golongan kerabat yang mungkin pada pandangan ramai, menjanjikan kesenangan.
Azura yang menjelaskan penolakan itu menganggap perkara tersebut bukan jodohnya. Malah dia bersyukur kerana memilih keputusan tepat untuk kebaikannya sekarang.
“Saya bukan wanita yang kejar materialistik, sebaliknya saya mahukan cinta dan kasih sayang sebenar. Yang penting saya mahukan jodoh berkekalan.
“Saya anggap penolakan lamaran itu sebagai tiada jodoh. Dan saya mahukan hidup yang sederhana, bukan terikat dengan protokol dan sebagainya.
“Alhamdulillah Tuhan kurniakan saya suami dalam kalangan orang biasa, yang cukup sifat saya mahukan, yang beriman, bukan kaki perempuan, tidak merokok dan sebagainya, saya bersyukur,” kongsinya.
MENCARI PEMINAT YANG TELAH HILANG
Azura amat bersyukur kerana dihadirkan peminat yang baik-baik sepanjang bergelar penyanyi. Tiada kerenah yang aneh-aneh, Azura memaklumkan peminatnya kebanyakannya berhati mulia yang diibaratkan sebagai keluarga sendiri.
“Saya masih ingat kehadiran satu keluarga ini yang meminati saya. Suami isteri dan anak-anak semua minat saya, anggap saya macam sebahagian keluarga mereka.
“Saya ingat lagi dahulu di mana sahaja saya berada membuat persembahan, mereka sekeluarga akan datang menonton. Bahkan mereka selalu berkongsi rakaman yang mereka ambil ketika saya membuat persembahan.
“Saya terharu juga apabila mereka sering memberikan saya hadiah, termasuklah sebuah televisyen satu masa yang lalu.
“Namun kami terputus hubungan sebelum saya meninggalkan Malaysia untuk berhijrah ke Mesir pada tahun 2006. Saya benar-benar berharap dapat dipertemukan semula dengan peminat ini,” kongsinya.
RINDU NYANYIAN
“Ya saya amat rindukan dunia nyanyian, dan memang merancang untuk kembali demi peminat.”
Demikian luahan Azura yang keinginannya menebal untuk kembali aktif.
Kata Azura, selepas hilang sekejap kerana berhijrah ke Mesir, dia yang kini sudah kembali ke Malaysia sedang merancang untuk kembali menyanyi.
“Kawan-kawan satu industri juga menyokong saya kembali menyanyi. Dan ingin saya maklumkan bahawa saya dan suami sedamg dalam proses menyiapkan album EP berkonsepkan Timur Tengah yang mungkin akan diterbitkan tahun ini.
“Sebanyak enam lagu dihasilkan oleh saya dan suami, Cheb Ali Masrawi. Buat masa ini empat lagu telah disiapkan, menunggu lagi dua lagu untuk disiapkan.
“Saya pilih konsep gabungan Timur Tengah dan Melayu kerana ia relevan dengan saya dan suami. Memang saya minat dengan irama padang pasir sejak dahulu.
“Saya gunakan wang sendiri untuk hasilkan album ini. Bahkan proses mixingnya pun saya hantar ke Dubai. Album ini sentimental untuk saya, doakan saya sempat siapkannya selepas Hari Raya Aidilfitri,” kongsinya.