Khabar mengenai penyanyi, Aufahanie ini baru sahaja sampai ke telinga Cik Bunga beberapa hari lepas. Ketika itu, Cik Bunga sedang menghirup secawan kopi di sebuah kafe bersama rakan industri sementara menunggu hujan lebat berhenti membasahi bumi.
Kebetulan, rakan Cik Bunga itu baharu sahaja pulang daripada sebuah destinasi domestik dengan menaiki pesawat.
Katanya, semasa dalam penerbangan, dia ternampak salah seorang pramugari dalam pesawat memiliki wajah persis Aufahanie, penyanyi yang sebelum ini pernah meraih simpati ramai dengan kisah pemergian Allahyarham abangnya, Nidza Afham.
Mulanya, dia sangkakan mungkin pelanduk dua serupa, tetapi bila diteliti berkali-kali, sahih itu memang Aufahanie.
Cuma, timbul rasa hairan di hati kawan Cik Bunga itu, mengapa penyanyi itu kini sudah tidak lagi berhijab. Malah, menjadi seorang pramugari syarikat penerbangan itu juga mewajibkan penyanyi ini perlu memakai skirt sebagai uniformnya.
Terkejut juga Cik Bunga sebab sebelum ini Aufahanie memang sopan dengan imej muslimahnya meskipun bergelar seorang penyanyi. Nampak manis sahaja. Terdetik di hati Cik Bunga, agaknya mengapa Aufahanie memilih jalan untuk beralih bidang sehingga drastik pula mengubah imej.
Cik Bunga cuba husnuzon, mungkin atas keterdesakan hidup maka Aufahanie terpaksa bekerja di awanan. Lagi pula, dah lama juga Cik Bunga tak nampak sebarang projek single daripadanya. Mungkin juga tiada sebarang tawaran nyanyian atau persembahan membuatkan Aufahanie terpaksa pilih jalan ini.
Kalau nak kata apa yang dilakukannya ini berpunca daripada rasa terkilan atau kekecewaan atas apa yang terjadi sebelum ini, kita pun tidak pasti. Jawapannya hanya ada pada Aufahanie sendiri.
Namun, ada khabar yang Cik Bunga terima, imej tidak bertudung itu hanya digayakan Aufahanie ketika bekerja sahaja. Di luar kerja, dia masih memakai tudung. Kononnya begitulah.
Tetapi Cik Bunga percaya, tindakan Aufahanie ini mesti atas dasar keterdesakan demi kelangsungan hidup. Iyalah, mahu atau tidak, setiap individu perlu berusaha mencari pendapatan sendiri.
Kalau tiada ‘job’ menyanyi, tak akan mahu duduk menganga sahaja tanpa buat apa-apa ya tidak?
Tak apalah, kalau ada rezeki terjumpa Aufahanie, Cik Bunga tanyakan sendiri.