BAHAGIAN paling penting dalam lembaran kedua siri popular Squid Game 2 (SG2) menurut saya ada pada episod pertamanya, Bread and Lottery.
Penonton seperti menaiki sebuah kereta api dan episod pertama semacam taklimat, peringatan kembali tentang premis, dan mengapa naskhah ini ditulis sebelum melanjutkan penggambaran.
Ada sebuah adegan penting di mana Gong Yoo iaitu The Recruiter menyuguhkan dua pilihan kepada para gelandangan. Mereka boleh memilih antara dua sama ada roti (pasti kenyang) atau loteri (belum pasti menang).
Kebanyakan mereka memilih loteri – sebuah hal yang tidak pasti, peratusan kecil untuk menang tapi mereka mahu percaya kepada fantasi bahawa sebuah nasib baik akan mengusir kesialan.
Mungkin sahaja, bagi orang yang sudah lama hidup dalam kesempitan, serba terdesak dan sering berasa kalah. Mereka merindukan ilusi perasaan menang dan bangga.
Apa jenis ‘peluang’ yang selalu datang (walau dengan ketidakpastian) adalah sebuah rahmat. Perasaan itulah yang diusung para peserta SG2 setiap kali melihat duit emas terkumpul di patung babi. Mereka rela bertaruh nyawa sekali lagi.
Squid Game dicipta untuk memanipulasi perasaan itu. Ia sebuah permainan yang membahaskan jauh lebih dalam daripada nasib, untung, rugi atau LGBT. Ia bercakap tentang sebuah manipulasi, sebuah sistem yang memberikan kepuasan melihat orang bertaruh, berharap dan ranap.
Menariknya, hero selalu sahaja di nombor paling terakhir iaitu, 456 dan musuhnya berada di nombor satu.
Begitu jauh untuk disentuh. Walaupun ketika bermain mereka nampak setara, bezanya, 001 tetap dilindungi sistem. Duduk tidak sama rendah, berdiri tidak sama tinggi.
Kemiskinan daripada rahim pengalaman
Saya berpendapat apa yang membuatkan naskhah SG2 bersifat transnasional – menembus sempadan bangsa adalah kerana kehalusan penulisnya, Hwang Dong-hyuk membahaskan peritnya jurang kemiskinan. Mungkin kerana Hwang menulis ini daripada nadi pengalaman.
Ketika menghasilkan skrip ini yang siap pada 2009, Hwang sangat susah bahkan sampai tahap terpaksa menjual komputer ribanya sendiri untuk bertahan hidup. Mungkin Hwang melihat bagaimana hebatnya impak krisis ekonomi 2008 memukul warga.
Kejatuhan sektor kewangan global memberi kesan kepada harga saham dan permintaan eksport. Walau jauh daripada kemelesetan, Korea Selatan ketika itu bertumbuh perlahan tapi tingkat pengangguran meningkat, begitu juga jurang pendapatan sehinggalah keadaan semakin membaik suku pertama 2009.
Saya melihat SG2 cuba membina konflik lain dengan melibatkan lebih banyak isu seperti penjualan organ, perseteruan antara pengawal untuk memastikan penonton terus melekat.
Namun kunci kepuasan tetap terletak kepada setiap babak permainan. Kita semua bertukar menjadi tukang sorak, seperti menyaksikan Olimpik, kita mahukan peserta yang kita sayang terselamat. Adegan itu sedikit di musim kedua menjadikan ia terasa kurang dramatik.
Selesai menonton SG2 dengan penutup yang begitu memicu amarah, saya mematikan komputer riba. Berjalan ke dapur meneguk segelas air kemudian terfikir. Apakah benar, saya sedang dimanipulasi dan ada candu berbeza setiap kali melihat orang bertaruh, berharap dan ranap?