Populariti tidak pernah jatuh menjunam - Utusan Malaysia

Populariti tidak pernah jatuh menjunam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIMBUL kerisauan sebaik sahaja saya dimaklumkan oleh pegawai perhubungan awam TV3, Nazmi Mohamed Ali yang Datuk Remy Ishak mungkin terpaksa membatalkan sesi fotografi dan wawancara bersama Pancaindera ekoran masalah kesihatan anaknya, Tuah Alam yang mengalami demam panas sejak beberapa hari lepas.

Namun kerisauan itu sekelip mata terpadam apabila saya selepas itu diberitahu pelakon tersohor tersebut sudi meneruskan sesi tersebut meskipun terpaksa meninggalkan seketika anak yang sedang sakit.

Ternyata Remy seorang yang mengotakan janjinya. Mungkin kerana sikap itulah menjadikan Remy disenangi dan disayangi ramai.

Selasa lalu menyaksikan pertama kali saya dan Remy bertemu empat mata selepas beliau mendirikan rumah tangga.

Perbualan kami berkisar tentang kehidupan dan kerjayanya selepas bergelar suami dan bapa.

Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak bersyukur kerana rezeki berlakon tidak pernah putus, malah semakin mencurah-curah selepas berkahwin.

Hakikatnya, populariti pelakon lelaki idaman Malaya ini tidak pernah suram dan beliau masih menjadi buruan penerbit sampai ke hari ini.

“Ada yang berpandangan populariti seseorang pelakon itu menjunam selepas berkahwin. Tapi saya tidak alami perkara itu. Saya masih terima banyak tawaran berlakon drama dan filem. Permintaan masih ada. Cuma saya tidak menafikan, saya sendiri yang mengambil keputusan untuk memperlahankan sedikit aktiviti lakonan. Selepas berumah tangga, saya ambil tempoh bertenang.

“Dulu, saya terlalu sibuk bekerja. Satu persatu tawaran saya terima. Jadual saya padat dengan kerja. Semua drama, filem dan teater yang ditawarkan saya terima. Boleh kata, saya ini seorang workaholic. Kalau boleh semua tawaran berlakon saya ambil.

“Tapi selepas berkahwin, saya perlahankan sementara. Tetap ambil tawaran berlakon, cuma mungkin dikurangkan sedikit kerana saya mahu seimbangkan masa untuk keluarga.

“Sekarang ini, tak ada apa lagi yang saya kejarkan. Nama sudah dikenali, anugerah juga sudah banyak yang saya pegang, karier pula Alhamdulillah, kukuh. Apa lagi dalam kerjaya lakonan yang saya mahukan? Yang saya intai adalah kelangsungan sahaja. Tumpuan sekarang lebih kepada keluarga,” katanya.

Ada sahaja pelakon yang apabila sudah bergelar suami atau isteri, meletakkan had dalam lakonan mereka, menggariskan pelbagai pantang larang dan limitasi hanya kerana status bekerluarga.

Namun itu bukan Remy Ishak. Katanya, status sebagai suami atau ayah yang dimiliknya kini tidak sedikitpun menghalang untuk beliau terus berkarya. Malah, Remy terus mengintai watak yang lebih mencabar atau sukar.

“Sebagai pelakon, kita tidak boleh meletakkan sebarang limitasi terhadap kebolehan lakonan kita. Kalau wujud banyak sangat kekangan disebabkan kita sudah berkeluarga, lebih baik jangan jadi pelakon. Tak akanlah skrip kena ubah hanya semata-mata untuk sesuaikan dengan kehendak kita.

“Saya pilih bidang ini. Jadi saya sedia teroka pelbagai watak, tak kisahlah saya ini seorang ayah ataupun suami. Kalau banyak sangat kekangan, maksudnya budang ini bukan untuk kita.

“Berlakon ini kerja yang menyeronokkan. Banyak perkara dalam dunia realiti yang kita tak boleh buat, dibolehkan dalam lakonan. Katakanlah saya terima watak ganas, pembunuh atau perogol contohnya, Saya tetap akan buat walaupun saya sudah beristeri dan ada anak.

“Menjadi kerugian buat saya kalau saya bataskan kemampuan lakonan saya. Jadi saya tidak akan berhenti meneroka watak. Dan disinilah pentingnya memiliki isteri yang faham kerja saya,” katanya.

MARINA

Seperti biasa, lakonan pelakon asal Melaka ini terus mendapat pujian. Kali ini, menerusi drama Marina arahan Along Kamaludin yang ditayangkan dalam platform Tonton.

Menerusi drama ini, Remy menjadi Haqiem, seorang lelaki berusia yang boleh dikategorikan sebagai seorang sugar daddy yang berjaya mencuri hati Marina lakonan Sophia Albarakbah.

Remy memuji komitmen Sophia dalam menggalas peranannya, kerana gandingan mereka dalam drama tersebut berawal dengan perasaan janggal disebabkan jurang umur antara mereka.

“Saya tak ambil pusing soal kontroversi yang menghimpit dia sebelum ini. Yang saya tahu, dia boleh berlakon.

“Pada awal, memang agak janggal untuk kami cipta keserasian. Pertama sebab kami pertama kali digandingkan, kedua, kerana jurang usia. Dia terlalu junior.

“Untuk saya bawakan watak lelaki berusia yang bercinta dengan perempuan muda ini sangat mencabar. Berlakon ini kena ada rasa, tapi kalau salah cara, risau pula timbul kontroversi atau gosip yang tak benar.

“Sebab itulah saya minta nasihat isteri saya, Ezza Yusof. Katanya, kalau berlakon, buatlah dengan sebetulnya. Disebabkan itu, kejanggalan saya dengan Sophia hanya berlarutan dua minggu pertama sepanjang proses penggambaran drama ini,” kongsinya.

SIHIR, GANGGUAN RUMAH TANGGA

Pastinya ramai wanita kecewa apabila Remy mengambil keputusan menamatkan zaman bujangnya sekitar dua tahun lalu. Pelakon ini tidak menafikan beliau ada menerima hantaran mesej di media sosial dari peminat yang ‘patah hati’ dengan keputusannya itu.

“Banyak sebenarnya mesej peminat yang saya terima. Tapi lebih teruk lagi, tidak lama sebelum berkahwin, ada yang kecewa sampai sanggup datang ke rumah orang tua saya.

“Peminat taksub seperti ini memang wujud. Bagi kes yang satu ini, dia kecewa kerana saya tidak bersama dengan seorang pelakon wanita yang diminatinya.

“Dan peminat itu juga pernah datang berjumpa saya sempena satu acara yang berlangsung sebelum saya mendirikan rumah tangga. Yang keluar dari mulutnya perkara yang aneh-aneh.

“Disebabkan itu, saya dan isteri memutuskan untuk tidak terlalu menunjukkan kebahagiaan kami di media sosial. Kebahagiaan kami mungkin kesedihan buat orang lain. Saya tahu ada individu yang taksub, sanggup berbuat apa sahaja termasuk tindakan yang bukan-bukan,” kongsinya.

Lebih mengejutkan lagi, Remy tidak menolak dia dan isteri berdepan ancaman sihir yang mengganggu keharmonian rumah tangga mereka. Malah perkara ini dihadapinya bertahun-tahun lamanya, sejak sebelum dia dan Ezza bergelar suami isteri lagi.

“Saya tak nafikan perkara itu berlaku kepada kami. Memang kesannya jelas kami rasakan. Ada ketika, hubungan kami bertukar tegang dan alami perasaan yang tidak menyenangkan. Tidur malam sering diganggu.

“Tapi gangguan-gangguan seperti ini bukan baru semalam kami hadap. Malah berlaku sejak kami mula bersama lagi. Jadi kami lebih bersedia dan tahu apa yang perlu kami buat untuk melindungi diri dan keluarga.

“Adalah cara kami mendinding diri daripada gangguan sebegini. Ada surah dalam Al-Quran yang kami amalkan selepas solat, dan lakukan mandi air garam atau ais untuk rawat sendiri sakit yang kami tanggung.

“Sukar untuk saya kenal pasti punca gangguan yang kami alami. Nak kata untuk merosakkan hubungan kami semata, saya tak berani kata begitu. Saya dan isteri juga tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Yang perlu kami buat adalah betulkan diri kami sendiri. Kami tidak boleh membenarkannya, apatah lagi terlalu memikirkan tentangnya.

“Apa pun saya percaya syaitan itu sentiasa berusaha untuk memutuskan sillaturrahim. Sedangkan kawan baik pun boleh berkelahi kerana gangguannya, inikan pula hubungan suami isteri,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya