GEGAR VAGANZA musim ke-11 memasuki pusingan keduanya dan tiada penyingkiran pada minggu ketujuh, sekaligus menyelamatkan Fairuz Selamat walaupun sudah tiba masa dia berhenti bernyanyi dan kembali ke jabatan kerajaan.
Selepas Astro menyingkirkan dua penyanyi sekali gus pada minggu sebelumnya, Illa Sabry dan Reshmonu, ia satu kerugian kerana Illa layak meneruskan perjuangan dengan sedikit lagi peluang. Sekurang-kurangnya dia bertahan hingga suku atau separuh akhir GV11.
Nama dilihat lebih dominan, Liza Aziz, benar-benar membuktikan yang dikatakan ramai pihak sebagai juara musim ini mungkin menjadi kenyataan berdasarkan kedudukannya tidak pernah tersungkur di bawah kedudukan tiga, malah lima kali di tangga pertama.
Meskipun dianggap penyanyi underdog, tetapi, kebolehan Liza membalut hampir kesemua genre bermula pop, R&B, jazz, lagu barat hinggalah Melayu klasik dalam persembahan pentas menjadikannya seorang penyanyi versatil.
Ini menyukarkan saya menafikan segala keupayaannya bermuzik. Meskipun tidak selalu muncul di kaca televisyen atau di media massa, namun, Liza terus relevan di gelanggangnya sendiri tanpa perlu perhatian seluruh Malaysia.
Tidak hairan, mengapa setiap undangan persembahannya adalah kalangan keturunan diraja dan korporat tanpa menuntut lagu atau album baharu sebagai taruhan.
Walaupun portfolio Liza (dikatakan bakal juara) bersih tanpa cakap-cakap kurang manis, demi menyahut matlamat GV, saya musykil apakah dia akan menggunakan peluang sama jika dinobat juara? Mampukah dia tembus pasaran muzik arus perdana?
Sejak 10 tahun lalu, Astro memberi ruang kepada penyanyi lama membuat kemunculan dan aktif semula. Astro melahirkan 10 juara GV bermula Ayai (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Datuk Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu dan Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9 dan GV All Stars).
Namun, pihak produksi hanya benar-benar mencapai matlamat dan pelaburannya di GV2 dengan Siti Nordiana sebagai produk showbiz paling laris selepas membeliakkan mata penonton menerusi Madah Berhelah (Ziana Zain). Sejak itu, bermulalah populariti kali kedua sejak 1999.
Hanya Siti Nordiana menggunakan peluang keemasan dengan mengembangkan diskografi yang hampir semuanya hits bermula Terus Mencintai sehingga Memori Mungkin Berulang. Jaclyn juga begitu walau tidak setanding sahabatnya.
Menjadi seorang seperti Siti Nordiana itu bukan untuk semua orang dan dia bertuah kerana fanbasenya amat besar sejak dua dekad lalu. Untuk Liza, walaupun berbekalkan dua album solo, Liza (1992) dan Hati Ini (1995), namun diskografinya amat kecil untuk sentiasa menjadi tatapan awam.
Garis masa 10 tahun GV sudah membuktikan yang ‘sembilan orang itu’ kurang bijak merangka kerjaya seni mereka. Single gagal, album terperam, malah ada terpalit kontroversi curang dan najis dadah sekali gus mencemar reputasi GV.
Selepas menjuarai GV, mereka ini sebenarnya mempunyai tanggungjawab sosial mendidik dan menghibur masyarakat melalui seni muzik, tetapi akhirnya memilih ‘sedap’.
Lantas, juara bagaimana lagi kita mahu supaya tiada yang mensia-sia peluang itu ketika nama menjadi sebutan? Sampai bila Astro melahirkan juara GV yang akhirnya sendu semula?
Liza tidak boleh berasa selesa. Untuk menang, dia harus memastikan Ning Baziura, Sheila Abdull dan Dadali Dyrga di bawah atau tersingkir.