Arwah datuk akhirnya restui saya menyanyi - Utusan Malaysia

Arwah datuk akhirnya restui saya menyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEHINGGA ke tahun ini, belum ada penyanyi yang berjaya merampas gelaran Ratu Irama Malaysia daripada penyanyi, Noraniza Idris.

Malah, penyanyi berusia 57 tahun ini terus dimasyhurkan dengan gelaran tersebut selepas menyanyikan lagu-lagu pop tradisional bermula dengan album Noraniza Idris yang diterbitkan sekitar tahun 1992.

Perjalanan Noraniza yang mesra disapa Kak Ani dalam dunia muzik tanah air hampir memasuki empat dekad lamanya.

Ketika bertemu serampang dua mata dengan penyanyi bertaraf legenda ini baru-baru ini, saya mengajak beliau mengimbau kisah menarik, bermula zaman remaja sehinggalah kemuncak populariti sebagai penyanyi.

Kongsi Noraniza, beliau mewarisi bakat nyanyian daripada kedua ibu bapanya yang masing-masing juga berdarah seni.

“Abah saya merupakan anggota tentera yang secara sambilan menyertai kumpulan boria di Pulau Pinang manakala ibu pula qariah Al-Quran. Boleh dikatakan, bakat seni itu saya warisi daripada mereka.

“Mereka tidak menghalang saya menyanyi. Tapi, datuk saya pada awalnya tidak merestui pembabitan saya dalam dunia nyanyian.

“Namun, arwah akhirnya merestui sebelum saya berpindah ke Kuala Lumpur (KL) untuk menyertai Bintang RTM pada tahun 1983.

“Banyak faktor kenapa saya memutuskan untuk menyertai Bintang RTM di KL. Antaranya, saya mahu bantu keluarga kerana kami bukan orang senang, adik beradik pula ramai. Ayah juga tidak menghalang malah menasihatkan saya agar kejar impian.

“Namun hati saya juga berbelah bahagi, ketika itu masih berkeinginan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Tapi nasihat ayah, eloklah saya ke KL untuk cari peluang menyanyi,” kongsinya.

Pada usia yang sangat muda, 18 tahun tepatnya, Noraniza pindah ke ibu kota dan tinggal bersama abangnya.

Katanya, dia beruntung kerana sentiasa dijaga abang ke mana sahaja hala tujunya ketika tinggal di KL.

“Abang jaga saya dengan baik, tidak membiarkan saya bebas sesuka hati.

“Dialah yang selalu menemani saya ketika saya memenuhi undangan menyanyi atau hadir ke sesi rakaman di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Sebagai anak perantau, meskipun tinggal bersama abang, hidup kami tidaklah senang. Waktu itu tak berkemampuan naik teksi, jadi saya dan abang redah panas dan hujan dengan menaiki motosikal pergi membuat persembahan atau sesi rakaman di RTM,” kongsinya.

SEDEKAD MENCARI TAPAK

Pengurus artis Life Records, Hamidi Rashid antara individu terawal yang mengenal pasti bakat Noraniza dan tertarik dengan kelunakan suaranya.

Hamidi menawarkan Noraniza menjadi artis syarikat rakamannya meskipun pertandingan Bintang RTM belum selesai. Bapa Noraniza bagaimanapun bersetuju menerima pelawaan tersebut bagi pihak Noraniza.

Noraniza kecundang Pada peringkat separuh akhir Bintang RTM 1985, mengulangi kegagalannya pada pertandingan sama yang disertainya dua tahun sebelumnya.

Namun, pembabitannya dalam dunia seni pada ketika itu boleh dikatakan agak kukuh kerana bernaung di bawah Life Records.

Penyanyi ini berpeluang merakamkan beberapa buah album di bawah syarikat rakaman tersebut antaranya 10 Pujaan Malindo pada tahun 1986, 10 Pujaan Malindo Volume 2 dan Mengemis Rindu (1987), Inginku Sandarkan Harapan (1988), Masihkah Dirimu Menyayangiku (1990).

“Satu dekad saya mencari identiti, genre apa yang sesuai dengan saya. Ketika itu, saya turuti sahaja perancangan syarikat rakaman walaupun ada pihak yang menasihatkan supaya saya tidak terlalu mengikut telunjuk orang.

“Tapi saya percaya, peluang bernaung di bawah Life Records juga satu rezeki kerana bukan mudah untuk tarik kepercayaan syarikat rakaman pada ketika itu.

“Dulu peluang untuk terkenal juga tidak seluas sekarang. Hanya ada RTM, surat khabar. Kalau muka keluar majalah sudah dikira popular ketika zaman itu.

“Tapi saya bersyukur kerana nama saya mula dikenali menerusi album Mengemis Rindu,” kongsinya.

ALA DONDANG

Nama Noraniza semakin meledak menerusi album pop tradisional, Ala Dondang yang diterbitkan sekitar tahun 1997, empat tahun selepas album berjudul Noraniza Idris diterbitkan.

Katanya kecenderungan ke arah muzik pop tradisional adalah berdasarkan permintaan ramai yang mahukan dia menyanyikan lagu-lagu berentak itu.

“Kalau ada jemputan persembahan, pasti ada permintaan untuk saya nyanyi lagu tradisional. Dan rezeki saya apabila syarikat rakaman SRC menawarkan untuk bernaung di bawah mereka.

“Terhasillah album Ala Dondang, hasil kerjasama sulung dengan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

“Dan buat pertama kalinya saya menerima royalti apabila album tersebut terjual sebanyak 50,000 unit. Bagi saya itu antara pencapaian paling manis selepas 10 tahun sebelumnya mencari tapak dalam industri seni,” ujarnya.

SIHIR, PERKARA MISTIK

Dunia seni tidak sepi dengan pengalaman artis berdepan gangguan sihir dan mistik. Berkongsi cerita, kata Noraniza pengalaman sebegini pernah menghantui ketika beliau rancak mengikuti sebuah pertandingan muzik satu masa lalu.

“Gangguan sihir ini selalu berlaku ketika pertandingan. Ia membuatkan saya jatuh sakit dan menjejaskan persembahan.

“Yang paling saya ingat adalah ketika mengikuti sebuah pertandingan nyanyian yang tidak perlu saya sebutkan namanya. Sepanjang berdepan gangguan itu, saya asyik terjumpa bangkai burung yang ditemukan dalam bilik rehat saya.

“Selain itu, saya pernah terasa seperti bahu ditepuk sesuatu dan air menitis pada tubuh saya walhal baju saya tidak basah ketika itu. Dan selepas itu, sebaik sahaja naik ke pentas untuk membuat persembahan, fikiran menjadi kosong dan sekelip mata saya lupa lirik lagu yang akan saya nyanyikan.

“Dan selama 40 hari saya menanggung rasa sedih dan mudah menangis walhal tiada apa yang menyedihkan saya. Fasa itu berlarutan lebih satu bulan namun saya pulih dengan sendirinya.

Kata Noraniza lagi, pengalaman sedemikian mengajar beliau untuk menjadi lebih bersedia. Beliau bersyukur kerana suaminya banyak mengajar asas agama yang membantu menguatkan kerohaniannya.

“Saya ini kosong, suamilah yang banyak menolong dan mendoakan. Dia ajarkan saya surah al-Quran untuk saya hafal dan jadikan amalan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya