Amy Mastura trauma tunggang kuda

Amy Mastura trauma tunggang kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTERI Impian adalah filem pertama yang saya tonton di pawagam. Naskhah arahan sutradara Aziz M. Osman itu menjadi fenomena sekali gus menjulang lagi nama Amy Mastura yang pada era itu sudah pun terkenal.

Jalan ceritanya, pada era tersebut, segar dan tidak klise. Puteri Impian juga sarat elemen komedi romantik, membuatkan penonton tidak kering gusi.

Antara babak yang ‘menggeletek’ hati penonton adalah ketika watak Puteri Nora yang dilakonkan Amy melakukan aktiviti berkuda untuk rakaman program realiti Memburu Impian.

Dalam pertemuan baru-baru ini, Amy bercerita mengenai babak itu. Kongsinya, individu yang menaiki kuda dalam babak tersebut bukanlah dia, sebaliknya pelakon ganti.

“Saya pernah terjatuh ketika melakonkan babak berkuda dalam filem KLU pada tahun 1999. Ketika itu kuda yang saya naiki tiba-tiba menggila dan memecut laju.

“Pengalaman itu membuatkan saya trauma dan kalau boleh enggan lagi menaiki kuda.

“Kebetulan, dalam filem Puteri Impian juga ada babak berkuda. Tapi, saya tidak sanggup melakukannya. Jadi, yang naik kuda itu bukan saya, tapi orang lain.

“Saya terpaksa tunggang orang Untuk menampakkan saya seakan-akan menunggang kuda,” katanya tertawa.

Kata Amy, Puteri Impian adalah filem istimewa untuknya kerana dapat bekerjasama dengan Aziz.

“Dia antara pengarah yang saya impikan untuk bekerjasama. Kebetulan, kami serasi dan satu kepala.

“Besar impak Puteri Impian terhadap kerjaya lakonan saya. Banyak ilmu yang saya pelajari, contoh cara ubah perasaan ikut karakter yang dilakonkan,” ujarnya.

GLENN FREDLY, TOMMY PAGE

Ibu dua cahaya mata ini, ketika zaman kegemilangannya sering menjadi pilihan untuk merakamkan lagu duet dengan penyanyi luar negara.

Antara kolaborasi yang berjaya adalah menerusi lagu Dengarkanlah yang dinyanyikan bersama mendiang Glenn Fredly.

Mengenang Glenn, Amy menyifatkan mendiang sebagai penyanyi yang berilmu tinggi dan sentiasa merendah diri.

“Saya terbang ke Jakarta untuk rakam lagu tersebut. Saya tidak sangka, dalam kawasan penempatan yang sempit dan padat, dibina studio rakaman di mana kami rakamkan lagu itu.

“Mendiang Glenn pada saya penyanyi yang tinggi ilmunya. Saya rasa diri saya kerdil jika dibandingkan dengan dia. Buat pertama kalinya saya melihat penyanyi rakam lagu sambil merujuk skor muzik yang diletakkan di hadapannya.

“Pada saya, mediang adalah insan seni yang hebat dan baik hati,” katanya.

Amy juga sempat mengenang momen bekerjasama dengan penyanyi Amerika Syarikat, mendiang Tommy Page menerusi lagu The Best Part yang menjadi kenangan berharga buat penyanyi ini.

“Lagu tersebut dirakam secara berasingan. Namun kami berjumpa ketika mempromosikannya.

“Mendiang, sebelum meninggal dunia sempat datang ke Malaysia dan berjumpa saya. Malah kami sempat membuat persembahan terakhir bersa­ma,” ceritanya.

ASIA BAGUS

Amy Mastura dikenali selepas menyertai pertandingan Asia Bagus pada tahun 1993.

“Saya sebenarnya kecundang pada peringkat separuh akhir. Namun saya dipanggil semula sebagai peserta ke-10 untuk ke peringkat akhir yang berlangsung di Jepun.

“Pada awalnya, saya tolak tawaran itu kerana merasakan pemilihan saya hanya untuk mencukupkan kuota. Namun selepas dipujuk pihak syarikat rakaman Ponycanyon, saya ubah fikiran.

“Ketika itu saya masih bekerja sebagai pramugari dan perlu memohon cuti untuk ke Jepun. Nasib menyebelahi apabila permohonan saya diluluskan,” kongsinya.

Kehidupan Amy berubah sekelip mata selepas menjuarai pertandingan berkenaan.

Daripada seorang gadis yang tidak dikenali, Amy menjadi popular dalam sekelip mata.

“Saya ke Jepun bersama dua peserta lain dari Malaysia. Kami tidak ditemani sesiapa, tiada pengurus atau pun pembantu untuk menemani kami ke sana.

“Namun selepas menjuarai Asia Bagus, dunia saya berubah dalam sekelip mata. Semakin ramai yang mengenali saya, jadual seni padat dengan tawaran membuat persembahan.

“Namun ketika itu saya enggan melepaskan kerjaya di awan biru. Jadi, bayangkan, selama satu tahun, saya menyanyi dan bekerja sebagai pramugari,” kongsinya.

Lama kelamaan, Amy memutuskan untuk meninggalkan dunia penerbangan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya seninya.

“Susah untuk saya buat kerja, kerana ketika bertugas, ada sahaja peminat yang mengajak saya untuk bergambar dengan mereka.

“Jadi,saya putuskan untuk tinggalkan dunia pramugari. Keputusan itu pun diambil selepas saya ditawarkan untuk membintangi tiga filem dalam satu tahun, dibayar gaji bulanan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya