Ulasan Reversi: kesialan hujan dan kekeliruan - Utusan Malaysia

Ulasan Reversi: kesialan hujan dan kekeliruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH filem yang mengangkat konsep perjalanan waktu boleh dianggap langka di Malaysia, namun masih tetap menggoda. Sebelum menutup 2024, setidaknya Reversi memberikan warna baru dalam deretan filem seram dan aksi negara.

Ia membawa persoalan dan andaian; sekiranya masa boleh diulang, bolehkah kita menyelamatkan orang yang disayang? Sekiranya kita boleh menepis tangan yang menggenggam takdir, adakah semuanya tidak berakhir?

Selepas menghasilkan beberapa filem aksi box office, sutradara, Adrian Teh melencong dari kebiasaan membikin naskhah sains fiksyen dramatik.

Ini percubaan Adrian untuk membuktikan dirinya bukan hanya teraju utama, tetapi seorang tukang cerita.

Ketika Reversi, dalam langgam ceritanya menyuguhkan dialog – jangan menyesal di masa lalu dan hiduplah di masa sekarang yang diulang-ulang.

Saya memandang Reversi membawakan konteks yang lebih besar, iaitu bagaimana seorang lelaki dan bapa berhadapan dengan kehilangan.

Ada dua takdir berselisih dalam naskhah ini iaitu Aziz lakonan Hasnul Rahmat juga Akid lakonan gila mantap Beto Kusyairy. Kedua-duanya seorang bapa yang melalui episod kehilangan.

Lelaki dalam piawaian kejantanan di belahan dunia manapun tetap merasakan kesedihan tidak boleh ditunjukkan. Seorang lelaki harus kuat, melindungi dan menangis adalah tanda kelemahan.

Aziz dan Akid dalam Reversi menelan luka, kelat perjalanan hidup diam-diam. Dia perlu mencari cara agar nampak kuat dan bahagia di hadapan isteri yang terluka.

Mereka seolah membenarkan kata Janssen dalam jurnal Understanding the Way Men Grieve membuktikan lelaki mempunyai cara berbeza menghadapi kehilangan berbanding perempuan dengan memilih keterasingan.

Ketika hidup Akid dibadai ujian, dia pulang ke rumah melepaskan kemarahan sendiri walaupun dia boleh sahaja meluah dengan rakan sepasukannya iaitu Luqman.

Reversi menunjukkan bahawa kesedihan seorang bapa terhadap kehilangan anak, tidak wajar diletakkan berkasta daripada kesedihan seorang ibu.

Sebuah metafora dan kekeliruan

Namun begitu, selepas menonton Reversi, entah kenapa saya merasakan ia seperti memiliki blok. Setiap blok pula dibikin oleh tangan yang lain.

Ini kerana ada bahagian yang mutunya sangat biasa-biasa, termasuk skrip, permainan warna dan duduk letak frame.

Ketika saya hampir mengalah bangun dari kerusi penonton, tiba-tiba Reversi bertukar menjadi sebuah filem yang sangat menarik, rencam, dialog mengena, suntingan cemerlang yang jauh berbeza kualitinya daripada produk ala drama pukul tujuh di awal cerita.

Sebagai seorang yang suka melihat bagaimana sebuah penutup cerita menjawab adegan pembuka naskhah, saya merasakan Reversi kurang menjawab metafora hujan atau mengapa Akid membenci hujan seperti dialog pembukanya di layar.

Sedangkan ada sahaja episod hidupnya bahagia ketika hujan turut seperti lamarannya cintanya diterima.

Walaupun menurut saya Reversi kurang membekas, namun ia masih naskhah yang sangat menarik untuk ditonton hujung minggu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya