‘Saya korbankan usia remaja, demi muzik’ - Utusan Malaysia

‘Saya korbankan usia remaja, demi muzik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mula mencipta nama menerusi pertandingan nyanyian berskala kecil sekitar tahun 90-an, siapa sangka kini pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty sudah bertapak dalam industri muzik hampir tiga dekad.

Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu bukan sahaja memiliki suara yang merdu ketika membawakan lagu-lagu hitsnya yang bergenre R&B, pop dan balada, malah dia juga mempunyai portfolio yang baik sepanjang bergelar anak seni.

Syukur kerjayanya masih kekal dalam industri, Dayang yang sentiasa kelihatan tenang mengakui tidak mudah untuk mengharungi setiap fasa jatuh bangun demi mencipta nama sebagai seorang penyanyi, lebih-lebih lagi untuk kekal relevan.

“Pengalamannya sama seperti orang biasa yang bekerja, namun berlainan bagi setiap penyanyi. Ada fasa naik dan turunnya. Tetapi, saya menganggap setiap pengalaman pahit dan manis yang pernah saya lalui itu adalah pengajaran buat saya untuk menjadi lebih kuat dan dikenali seperti hari ini.

“Apa yang membuatkan saya positif sehingga hari ini juga adalah fokus. Sebagai seorang penyanyi, objektif utama saya adalah memastikan diri saya sentiasa diberi peluang untuk terus berkarya dan berikan yang terbaik buat peminat.

“Fokus itu juga yang membuatkan saya harungi perjalanan seni ini dengan mudah. Walaupun ada kalanya saya agak terganggu sedikit, Alhamdulillah, perjalanan seni saya baik-baik sahaja.

“Saya juga tidak pernah terdetik untuk putus asa kerana fokus itu yang membuatkan saya boleh menepis perasaan negatif yang timbul. Lagipun, saya bukan bekerja untuk diri saya sendiri sahaja. Saya ada ibu bapa yang perlu dijaga dan membanggakan mereka,” katanya kepada Pancaindera.

Menganggap tahun ke-25 ini perjalanan yang bermakna buatnya, Dayang menghargai setiap pengiktirafan kecil mahupun besar yang telah dimilikinya setakat ini.

Tambah penyanyi yang berusia 43 tahun itu, rasa syukur yang diterapkan sejak awal penglibatannya dalam industri muzik membuatkannya tidak mengejar sebarang pengiktirafan sebaliknya, menganggap pencapaian yang dimiliki sebagai rezeki.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang ini. Saya tidak pernah mengharapkan sebarang pengiktirafan yang lain. Kalau ada pun itu adalah rezeki dan saya perlu syukuri. Saya lebih kepada bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini sebagai penyanyi.

“Setiap pencapaian dan penghargaan yang saya sudah capai buat saya berterima kasih walaupun sekecil-kecil pencapaian. Saya akan tetap bersyukur, fokus dan tidak mudah putus asa terutamanya, bila melihat sokongan luar biasa daripada peminat,” katanya.

TERIMA KASIH ABANG D

Kemunculan album pertamanya sekitar tahun 1999 membuatkan Dayang terkenang akan jasa seorang komposer dan maestro hebat iaitu Allahyaham Datuk Adnan Abu Hassan.

Kata penyanyi lagu Cerita Cinta itu, Allahyarham Adnan merupakan figura yang bertanggungjawab mengheretnya ke dunia nyanyian selepas menyedari bakatnya di beberapa pertandingan.

“Abang D banyak memberi semangat kepada saya untuk terus mencuba dan tidak berputus asa. Dari situlah bermula karier saya. Dialah orang pertama yang sedar bakat saya dan kami bekerjasama untuk album pertama saya. Album pertama itu sentiasa dekat dihati saya.

“Sekiranya beliau masih ada, saya ingin berterima kasih kepadanya kerana dia sedar bakat saya dan banyak membimbing saya selepas menyertai pertandingan itu.

“Saya bersyukur beliau mengasah bakat saya dari album pertama saya dan menjadikan saya dikenali dalam industri muzik sehingga hari ini,” katanya.

Ditanya mengenai pengorbanan terbesarnya sepanjang bergelar anak seni, Dayang mengakui dia telah mengorbankan usia remajanya demi mengejar satu-satunya impiannya iaitu menjadi seorang penyanyi.

“Di usia saya masih bersekolah, saya perlu berulang ke Kuala Lumpur untuk menyiapkan rakaman lagu setiap kali musim cuti persekolahan. Mujur sahaja pada ketika itu pihak syarikat rakaman memahami masa dan jadual saya sebagai seorang pelajar ketika itu.

“Jadi, itulah pengorbanan terbesar saya. Di saat orang lain cuti sekolah, saya perlu datang ke sini untuk merakamkan lagu. Saya tiada pengalaman pergi bercuti, lepak dengan kawan-kawan, tetapi saya perlu bekerja.

PENYANYI SERBA BOLEH?

Baru sahaja muncul dengan album ke-11 yang berjudul, Janji, Dayang dilihat semakin terbuka menerima hasil karya pelapis baharu seperti Aisha Retno yang mencipta salah satu lagunya yang bertajuk, Mungkin Ke.

Lirik dan melodinya yang santai bersahaja menerusi lagu tersebut secara tidak langsung menonjolkan sisi berbeza Dayang berbanding lagu-lagu hitsnya sebelum ini yang mempunyai makna-makna tersirat.

Kata Dayang, dia sentiasa memberi ruang kepada pelapis baharu untuk menghasilkan lagunya demi mendapatkan keseimbangan karya daripada komposer lama dan baru dalam album.

“Sebenarnya, dari album sebelum ini saya sudah mula bekerjasama dengan komposer lama dan baru. Saya sukakan keseimbangan itu. Seperti album Janji ini juga mempunyai komposer lama dan baru kerana pada saya perkara itu sangat penting. Saya yakin setiap komposer ada keistimewaan tersendiri.

“Sebab itu jugalah saya terbuka untuk bekerjasama dengan Aisha kerana dia ada seleksi bunyi yang lain daripada lain dan itu juga yang saya mahukan. Sewaktu merakamkan lagu itu juga kami seolah menggabungkan dua perasaan yang berbeza,” katanya.

Muzik dan lagu ibarat sudah sebati dalam diri Dayang, berilah apa sahaja genre lagu pasti dia mampu membawakannya dengan baik.

Kini, lagu irama asli yang dirakam semula oleh Dayang juga mendapat sambutan yang baik sehingga menjadi lagu wajib untuk diputarkan di mana-mana acara rasmi terutamanya, majlis perkahwinan.

Terharu mendengar pujian itu, Dayang dengan rendah diri mengakui dirinya masih belajar lenggok untuk menyampaikan setiap genre lagu dengan caranya tersendiri.

“Sebenarnya, bukan semua genre lagu yang saya boleh bawakan dengan baik, tidak. Saya masih kena belajar sebab setiap genre itu cara nyanyiannya berbeza. Kebanyakan lagu-lagu yang saya perlu bawakan saya akan belajar terlebih dahulu dan bawakan dengan cara saya.

“Saya ada dua album irama asli yang berjudul Belagu dan Belagu 2. Untuk menghasilkan sebuah album itu saya rasa saya kena betul-betul fokus kerana saya banyak menyanyikan semula lagu-lagu lama. Namun, belum tiba masa untuk muncul dengan lagu irama asli sendiri.

“Sewaktu mahu merakamkan semula lagu-lagu itu pun, saya takut juga jika tidak diterima oleh pendengar. Tetapi, saya tidak sangka penerimaan itu sangat baik. Malah, objektif saya juga tercapai kerana mahu hidupkan semula irama asli dalam persada muzik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya