“Dia manja. Bahaya kalau lelaki yang kurang beriman, akan tergugat.”
Begitulah ungkapan seorang Hero Malaya, Datuk Remy Ishak yang bersetuju dengan sikap manja yang dimiliki oleh aktres jelita, Sophia Albarakbah.
Mujur sahaja kenyataan spontan itu tidak membangkitkan sebarang kontroversi kerana sikap profesional mereka ketika bekerjasama menerusi drama yang berjudul, Marina.
Memang tidak dinafikan, pesona yang dimiliki oleh Sophia Albarakbah mampu membuat wanita lain tidak senang duduk dek kecantikan dan sifatnya yang lemah lembut itu.
Namun, ada juga yang menganggap kelembutannya itu dibuat-buat kerana mahu memikat hati hero gandingannya. Betul atau tidak? Sophia, jawablah!
J: Baru-baru ini, Datuk Remy Ishak menyatakan pendapatnya bahawa Sophia seorang wanita yang manja. Apa reaksi Sophia terhadap kenyataan itu?
S : Reaksi? Biasa sahaja sebab saya sekadar menjadi diri sendiri, dengan sesiapa pun saya begini. Mungkin dari segi percakapan, carta intonasi saya menyebabkan ada yang anggap saya manja. Terpulang kepada penilaian dan persepsi orang. Saya tidak mahu berpura-pura jadi bukan diri saya.
Tetapi bila bercakap soal lakonan, sudah semestinya saya mengikut kehendak skrip dan karakter itu juga. Kalau ada yang minta cakap lembut, maka lembutlah intonasi saya. Kalau kena garang, memang ‘melenting’ lah suara saya.
J: Remy juga ada cakap sifat manja Sophia mampu menggugat lelaki yang kurang imannya. Apa reaksi dan respons Sophia selepas mendengar kenyataan itu?
S: Berbalik kepada jawapan tadi, persepsi dan penerimaan masing-masing. Saya tak boleh kawal bagaimana orang melihat dan menilai. Ada yang melihat itu sebagai satu cara saya menghormati rakan pelakon. Takkan hendak cakap dengan suara marah kan?
Dengan lelaki atau perempuan pun, begitulah saya. Saya juga dididik untuk menghormati orang, ada kesopanan dan kesusilaan yang harus dijaga.
J: Memandangkan Remy Ishak sifatkan Sophia seorang yang manja, apa pula pendapat Sophia mengenai peribadi aktor itu selepas bekerjasama dengannya?
S: Saya senang bekerja dengan mana-mana pelakon tak kira lelaki ke perempuan. Saya menganggap dia pelakon senior yang saya boleh belajar banyak ilmu lakonan.
Remy juga tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dgn saya, itu membuatkan dia seorang yang mudah untuk berkerjasama terutama jika hendak berbincang tentang watak atau babak lakonan.
J: Takut tak kalau perempuan lain kurang senang dengan sifat semula jadi itu?
S: Saya sudah banyak bekerjasama dengan pelakon atau artis lelaki, rasanya tak jadi satu isu. Apa pun persepsi sama ada buruk atau baik, bergantung kepada diri sendiri. Saya hanya menjalankan tugas sebagai pelakon, memenuhi kehendak skrip.
Hanya yang pernah bekerjasama dengan saya dan yang mengenali saya saja kenal saya macam mana. Saya tidak mahu bermusuh atau mencari kontroversi dengan cara melaga-lagakan orang. Saya mahu fokus kerjaya sendiri. Itu lebih mustahak
J: Kontroversi lalu menjadikan Sophia seorang yang lebih matang atau mungkin lebih berhati-hati terutamanya bila digandingkan dengan suami orang. Jadi, apa yang Sophia mahu katakan agar orang ramai ‘move on’ dari perkara itu?
S: Saya sendiri pun sudah move on dan meraikan kerjaya seni saya sekarang. Alhamdulillah.