Biarpun bermula dengan skala kecil, Konsert Rock Kapak yang dianjurkan pada Oktober tahun lalu dilihat berjaya mencapai matlamat penganjur apabila mampu menghimpunkan peminat rock tanah air yang sekian lama mengimpikan kemunculan semula band-band rock otai yang pernah menggegarkan industri muzik tempatan satu ketika dahulu.
Mempertaruhkan kumpulan Junction, Meditasi dan Desire sebagai pembuka lembaran merupakan percaturan berbaloi, malah penganjur utama, Boss Production dan Attah Music, menjadikan pentas tersebut sebagai penanda aras untuk terus aktif dalam siri konsert berikutnya.
Menerusi momen tersebut, Attah Music sekali lagi memenuhi selera peminat apabila kembali membuka pentas Konsert Rock Kapak 2 dengan membariskan kumpulan legenda rock tanah air iaitu Gamma, Gravity, Rock Kapak Band serta penampilan khas Amir SYJ/Sofea dan Joe Rockers yang bakal berlangsung di Panggung Asia Kuala Lumpur pada 28 Disember ini.
Barisan artis yang mengambil bahagian dalam konsert kali ini diibaratkan sebagai pentas menggamit nostalgia apabila umum mengetahui setiap karya mereka masih kekal evergreen dan menjadi pilihan di setiap stesen radio tanah air sehingga kini.
Kumpulan Gravity dan Gamma misalnya, bukanlah nama asing bagi peminat muzik rock tempatan. Pernah mewarnai industri dan membina legasi di penghujung era 80-an melalui karya-karya malar segar, sekaligus berjaya memahatkan nama mereka sebaris dengan penghibur yang berada di puncak ketika itu.
Kumpulan Gravity yang terkenal dengan lagu-lagu rock ballad seperti Kau Salju Cintaku, Sinambungan Cinta dan Kasih Dirundung Mega menjadi pilihan penganjur kerana dilihat berpotensi untuk menarik penonton, bahkan lagu-lagu mereka masih kekal hits dan menjadi siulan peminat sehingga kini.
Menurut penyanyinya, Isa Hamzah, 60, kemunculan semula Gravity pada konsert kali ini ibarat sesi reunion di samping mengubat rindu peminat yang sekian lama menantikan kemunculan mereka beraksi semula di pentas.
Menurutnya lagi, walaupun sebelum ini kerap melakukan persembahan secara solo, namun muncul bersama kumpulan adalah sesuatu yang berbeza.
“Hampir belasan tahun juga kami tidak bersama di pentas, namun konsert kali ini berjaya menyatukan semula Gravity, harapan saya agar peminat datang beramai-ramai untuk menyaksikan persembahan kami sekaligus mengimbau nostalgia kegemilangan muzik rock ketika era 80-90-an dahulu.
“Seperti yang dirancang, kami akan membawakan lagu-lagu terbaik dari koleksi kumpulan Gravity yang pernah menjadi siulan satu ketika dahulu,” ujarnya ketika ditemui pada Sidang Media Konsert Rock Kapak 2 yang bertempat di Jazz House Ampang, baru-baru ini.
Penyanyi Kumpulan Gamma, Rosli Mohd Sharif, 69, atau lebih dikenali sebagai Blank, berkata, penganjuran konsert seumpama ini adalah medium terbaik buat sesebuah kumpulan rock yang ingin membuat kemunculan semula setelah sekian lama menyepi sebelum ini.
“Sama seperti penyanyi kumpulan rock lain, sebelum ini saya lebih banyak muncul secara solo, mungkin atas faktor kekangan bajet daripada pihak penganjur. Namun kali ini situasinya berbeza apabila kami diberi peluang muncul berkumpulan.
“Pada awalnya memang agak sulit untuk berkumpul kembali, namun setelah berjumpa dengan semua anggota dan berbincang, lantas kami bersetuju untuk muncul bersama di pentas dengan membariskan semua anggota asal kecuali pemain drum daripada kumpulan Lela.
“Kami akan pastikan peminat yang hadir pada malam itu akan enjoy dengan koleksi lagu-lagu hits Gamma serta cover song dari kumpulan Scorpions dan Iron Maiden yang bakal kami bawakan,” ujarnya.
Menurut penganjur konsert, Hatta Junction, matlamat utama penganjuran ini adalah bertujuan untuk memberi peluang serta menaikkan semula populariti band-band rock tempatan di samping menjana ekonomi mereka.
Katanya, ramai menjadikan muzik sebagai sumber pendapatan sehinggakan ada segelintir daripada mereka yang terpaksa ‘turun’ busking di jalanan, walaupun satu ketika dahulu nama mereka cukup gah dalam industri.
Oleh itu peluang sebegini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka kembali aktif dan dikenali generasi baharu.
Selain daripada mencari penghibur yang mampu menarik penonton, Hatta turut berkongsi cabaran terutamanya dari sudut penajaan dan wang ringgit untuk menjayakan konsert sebegini.
“Untuk konsert ini saya terpaksa gunakan dana sendiri, namun bersyukur kerana ramai rakan-rakan yang membantu. Jadi sedaya upaya saya akan buat yang terbaik.
“Selain itu sebagai generasi pemula muzik rock di Malaysia, saya tidak lupa mengucapkan terima kasih buat generasi baharu hari ini yang terus menyokong dan mengikuti lagu-lagu kami, terutamanya melalui media sosial sekarang ini,” katanya.
Pada konsert ini juga Hatta akan muncul sekali lagi di pentas menghiburkan peminat melalui sebuah band projek dikenali sebagai Kumpulan Rock Kapak, yang dibarisi oleh Zam SYJ/Sofea (gitar), Rezoy Anugerah (gitar), Mie FTG (bass) dan Rosdi Desire (drum).
Menurutnya lagi, lagu-lagu yang bakal didendangkan adalah rilisan daripada kumpulan Junction, Desire, SYJ dan FTG.
Selain itu Konsert Rock Kapak 2 akan menampilkan dua ikon rock tanah air yang tidak asing lagi iaitu, Amir SYJ/Sofea dan Joe Rockers yang sekaligus mampu membangkitkan nostalgia serta bahang rock yang pernah melanda negara di era 80 dan 90-an dahulu.
Penonton yang hadir pada malam itu juga turut turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan seperti, wang tunai, sijil penghargaan serta cenderahati eksklusif yang ditaja oleh penaja dan rakan strategik antaranya, 72 Guitar Hunters, Scorpions Bikers, Mentari Merah Entertainment, Rockstage Entertainment dan AR Travel & Tours.
Acara yang dijadualkan berlangsung dari jam 8.00 hingga 12 malam itu pastinya akan menjanjikan momen terbaik buat seluruh peminat rock tanah air terutamanya bagi mereka yang pernah melalui zaman tersebut.
Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Rock Kapak 2, boleh didapati melalui wakil jualan antaranya, Chip Malaya, Mentari Merah dan Linda Hatta, atau hubungi talian, 019-2407994.