Dilaa Asri bangga diintai komposer Indonesia - Utusan Malaysia

Dilaa Asri bangga diintai komposer Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih terlalu hijau dalam industri seni muzik tempatan, tetapi siapa sangka, bakat yang ada pada penyanyi Dilaa Asri, sudah awal-awal diintai oleh komposer dari tanah seberang.

Sudah tentu ia merupakan sesuatu yang membanggakan kerana bukan mudah untuk penyanyi baharu yang belum menempa nama besar dalam bidang seni suara, kemudiannya dengan mudah mampu meraih perhatian pengkarya luar.

Tuah mungkin menyebelahi Dilaa dan menerusi single berjudul Sia-Sia, penyanyi berusia 21 tahun ini mengakui, naskhah tersebut seakan membuka peluang baharu buat dirinya untuk menerokai dunia muzik di Indonesia.

Baginya, berkolaborasi dengan komposer Indonesia menjadi titik penting dalam karier seninya.

“Sebelum ini saya banyak nyanyikan lagu saduran (cover) dan kongsikannya di media sosial. Daripada situ, komposer Ilham Baso dari Indonesia lihat bakat saya dan mula ‘menyunting’ saya untuk menyanyikan lagu ciptaannya Sia-Sia ini.

“Sudah tentu saya tiada alasan untuk tidak menerimanya, ia satu peluang yang baik dan besar. Bukan setakat dapat kembangkan bakat di Malaysia, tetapi saya yakin menerusi single ini peluang untuk ke Indonesia juga ada.

“Tak salah bercita-cita tinggi bukan?”katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai pengalaman bekerja dengan komposer luar buat pertama kalinya, kongsi Dilaa, dia benar-benar menikmati setiap proses rakaman lagu tersebut yang dilakukan di Indonesia.

Baginya, ia merupakan satu pengalaman yang berharga dan akan dikenang sampai bila-bila terutama dalam memahami cara kerja dan perspektif muzik di sana.

“Pengalaman di Indonesia sangat menarik. Walaupun rakaman hanya mengambil masa beberapa hari, saya belajar banyak tentang budaya kerja mereka.

“Kerjasama ini membuatkan saya rasa berbesar hati dan bangga. Tak ada banyak beza pun dengan cara rakaman di sini, tetapi bekerja dengan Ilham, dia banyak memberi tunjuk ajar bagaimana menjiwai sesebuah lagu itu dengan lebih mendalam.

“Saya kagum dengan Ilham sebab tak lokek berkongsi ilmu dengan orang baharu macam saya ini,”katanya.
Tambah Dilaa, ketika pelawaan untuk menyanyikan lagu Sia-Sia itu tiba, keluarga terutama bapanya adalah individu paling teruja.

“Ayah saya adalah orang yang paling gembira ketika mendapat tahu saya bakal berkolaborasi dengan komposer Indonesia.

“Sejak daripada dulu, keluarga sentiasa memberi sokongan kepada saya dalam bidang nyanyian ini. Tanpa mereka, boleh dikatakan saya tak akan mampu sampai ke tahap sekarang meskipun saya tahu, masih jauh lagi perjalanan saya dalam bidang seni ini,”katanya.

Dalam pada itu, meskipun sibuk dengan kerjaya seni, Dilaa tidak melupakan perjalanannya dalam bidang pendidikan.

Merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Muzik (Major dalam Vokal) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dilaa nekad mahu menamatkan pengajiannya dengan cemerlang demi meraih segulung ijazah tanpa sia-sia.

“Bagi saya, menjadi penghibur adalah impian utama. Namun, saya juga mahu membuktikan bahawa pendidikan dan kerjaya seni boleh berjalan seiring.

“Apa sahaja yang kita usahakan dengan sungguh-sungguh pasti akan membawa hasil,” katanya.

Kata Dilaa, sebolehnya dia mahu menjadi seorang penyanyi yang mampu menjadi inspirasi buat generasi muda pada masa akan datang.

“Saya mahu buktikan, kalau pun hidup kita ini pernah menemui kegagalan, tetapi kegagalan bukan pengakhiran.

“Sebaliknya, bagi saya ia adalah batu loncatan untuk kita mencapai kejayaan. Kalau gagal sekarang, itu tidak bermakna kita akan gagal selamanya. Dengan ilmu yang ada kita boleh bangkit memperbaiki kelemahan diri dan bergerak lebih maju, ”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya