Bungkam: Paten muzik Elyana terperangkap di zamannya - Utusan Malaysia

Bungkam: Paten muzik Elyana terperangkap di zamannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN Elyana sebagai penggerak aliran pop, balada dan pop rock benar-benar diraikan sekitar 2001 hingga 2011, sehingga dia menjadi antara bintang handalan yang terpahat dalam sejarah muzik Malaysia.

Berawal single berjudul Niat ciptaan komposer, Patrick Kamis, disusuli empat album studio Satu (2002); Segalanya (2003); Bicara Mata Ini (2005) dan Jadi Diriku (2007), dia mengukir kejayaan menerusi rangkaian hits Tak Tercapai Akalmu, Diriku Tapak Sulaiman, Missed Call, Pakai Kanta Cinta dan Kalis Rindu.

Sewaktu Dulu-Dulu (2011) ciptaan Aidit Alfian dimuatkan dalam album kompilasi Terbaik Elyana, adalah naskhah akhir dirakam kemudian membuat kemunculan semula menerusi lagu ciptaan Tam Spider, Ikhlas Dalam Resah (2017) – yang bergerak dalam rentak biasa-biasa sahaja.

Mendengar lagu baharunya ibarat menanti matahari terbit dari Barat, kerana tumpuannya tidak lagi terarah kepada pengkomersialan muzik secara serius.

Sejak didiagnos menghidap kanser limfoma tahap empat selama beberapa tahun kemudian disahkan bebas daripada penyakit itu, saya faham mengapa langkah bermuzik Elyana perlahan.

BUNGKAM

Apabila dia baharu melancarkan satu lagi lagu berjudul Bungkam (ciptaan Natasya), saya sudah boleh menarik nafas lega kerana akhirnya, ada sesuatu yang baharu untuk diperdengar walaupun ia bukanlah lagu baharu kerana sudah dirakam empat tahun lalu.

Saya mengamati keseluruhan lagu ini dan sebenarnya, komposisi sebegini masih meletakkan Elyana dalam zon selesa. Dia masih ‘terperangkap’ dalam era muzik 2000-an, yang biasa saya dengar dalam Kau atau Aku (Main Tarik Tali), Kalis Rindu, Molek, Kasih Berkalih Tujuh, Bukannya Satelit dan Syukur Ku Sedar.

Dia kurang beradaptasi dengan bunyi baharu, sekali gus keluar daripada bayangan muzik 20 tahun kebelakang. Bungkam kedengaran semakin ‘berterabur’ dan mengganggu dengan bunyi set dram yang mendominasi keseluruhan persembahannya.

Saya musykil jika ini material yang sesuai dipertanding di pentas AJL atau Anugerah Industri Muzik (AIM). Jika bukan itu matlamat Elyana, maka, tidak hairan mengapa Ikhlas Dalam Resah hanya mampu menjadi karya yang hanya boleh dikenang-kenang dan dilupakan.

Ini bukan lagi zaman-zaman 6ixth Sense atau Spider. Nadeera yang langsung tidak mempunyai album pun sudah bergerak lebih jauh menerusi Bukan Lagi Kita (ciptaan Hael Husaini/Iqie Hugh). Bunyi lebih segar, dramatik dan dinamiknya terlalu besar.

Standard muzik begitu saya mahu Elyana persembah sebagai langkah bermula semula. Tetapi, dalam Bungkam, dia saya kira cukup sekadar menyanyi dan memaknai lagu yang begitu peribadi baginya. Tetapi, saya tidak merasakan yang sama kerana komposisinya masih dalam standard biasa.

Pun begitu, seiring pergerakan usia, saya mengagumi suara Elyana yang kedengaran lebih matang, kukuh dan kawalan suaranya di nada rendah. Ia jelas berbeza dengan rakaman lagu terdahulu, menyaksikan suaranya lebih nyaring dan ringan di fasa remajanya.

Elyana tetap menjadi bintang pop rock sanjungan, kerana lagu-lagu hitsnya berjaya mempengaruhi dan membentuk trend generasi sezamannya. Tetapi kini, amat sukar untuk Elyana terus mandiri dalam pasaran muzik yang sudah berevolusi.

Apa yang tinggal hanyalah momen indah yang sukar untuk diulang semula dan salah satunya ialah attitude berpentasnya yang dapat disaksikan di Anugerah Juara Lagu ke-21 (Tak Tercapai Akalmu) dan AJL ke-23 (Kalis Rindu), walaupun rezeki tidak memihak ketika itu.

Dalam usaha Elyana untuk kekal relevan di persada muzik negara, dia sewajarnya bekerjasama dengan komposer baharu atau lebih ‘established’ supaya muziknya lebih bereksperimentasi dan kekinian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya