Anna And The King: Harith Iskander dapat kereta, pemandu dan pengawal peribadi - Utusan Malaysia

Anna And The King: Harith Iskander dapat kereta, pemandu dan pengawal peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA jarang dipilih sebagai lokasi penggambaran filem dana besar Hollywood dan Kerana itu filem Anna And The King meninggalkan kesan yang besar apabila beberapa negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Langkawi dipilih sebagai lokasi penggambaran filem yang menelan kos pembikinan sebanyak AS$ 92 juta itu.

Syarikat produksi gergasi, Fox 2000 Pictures pada waktu itu menerbangkan sekitar lebih 100 kru ke Malaysia, dan menggajikan puluhan lagi kerja tempatan untuk penggambaran filem itu.

Dua nama besar, Jodie Foster dan Chow Yun Fat, diambil untuk peranan utama selain beberapa pelakon terkenal Asia seperti Bai Ling turut membintangi filem arahan Andy Tennant itu.

Pihak produksi tidak melupakan dan menghargai bakat-bakat tempatan, justeru mengambil barisan pelakon yang terkenal di Malaysia waktu itu seperti Deanna Yusoff, Sean Ghazi, arwah Zaibo, Patrick Teoh, Afdlin Shauki, Dharma Harun Al-Rashid, Ellie Suriati dan ramai lagi untuk berlakon dalam filem berkenaan.

Turut terpilih membintangi Anna And The King adalah pelawak, penerbit dan pengarah terkenal, Harith Iskander yang melakonkan watak pengawal bernama Nikorn.

Harith, dalam wawancara eksklusif baru-baru ini, menyifatkan pembabitan empat bulan bagi pembikinan filem itu sebagai pengalaman yang amat berharga.

“Sebenarnya, dalam satu tahun sebelum itu, tiga kali pengarah uji bakat dari Hollywood berulang alik dari Amerika Syarikat ke Malaysia untuk mencari pelakon tempatan. Saya hadir semua sesi uji bakat dan akhirnya berjaya terpilih untuk watak pengawal diraja.

“Pada saya, pengalaman yang saya lalui ketika penggambaran filem itu mungkin berlaku sekali seumur hidup saya. Anna And The King bukanlah filem pecah panggung, tapi pengalaman yang saya dapat sebagai pelakon adalah mahal. Cara kerja produksi Hollywood amat profesional, layanan pula kelas pertama.

“Bayangkan, produksi menyediakan trak istirehat (sleeper truck) peribadi buat setiap pelakon yang mempunyai dialog dalam filem tersebut. Kami juga diberikan kereta berserta pemandu untuk berulang alik dari hotel ke lokasi penggambaran, pengawal keselamatan dan bilik hotel peribadi selain kos tanggungan makan minum sehari yang bernilai RM500 hingga RM700 untuk satu hari.

“Bayaran juga tidak mengecewakan. Apabila gaji dibayar dalam mata wang dolar Amerika, jumlahnya mencecah sehingga RM30,000 sebulan. Dan semua ini saya nikmati dengan hanya melakonkan watak kecil sahaja,” katanya.

Kata Harith lagi, dia juga bertuah kerana berpeluang berlakon disamping Yun-Fat dan Foster.

Ujarnya, kedua-dua pelakon itu, meskipun terkenal, bersikap rendah diri dan menunjukkan profesionalisme yang tinggi ketika bekerja.

“Foster masa itu sudah pun bergelar penerima dua kali anugerah Oscar. Tetapi dia peramah. Beberapa perkara mengenainya yang saya tidak tahu sebelum itu adalah dia seorang gadis introvert pekat telor texasnya.

“Kami sempat berborak namun tidaklah kerap kerana saya tidak mahu mengganggu tumpuannya kepada filem. Tapi saya dimaklumkan dia sangat sukakan Malaysia dan ketika kedatangannya waktu itu, bebas bersiar-siar di Ipoh Parade kerana tiada siapa tahu dia adalah Jodie Foster. Saya tidak terkejut kerana kalau melihat secara berdepan, orangnya sederhana sahaja, wajahnya pucat, bertubuh genit dan tidak tinggi.

“Berbeza dengan Yun-Fat yang berdepan kesikaran untuk bersiar-siar di kawasan awam ketika itu kerana selalu diserbu peminat. Saya gembira kerana banyak kali dapat bersembang dengan dia,” kongsinya lagi.


PERSEMBAHAN PERTAMA

UMUM kenal Harith sebagai pelakon dan pelawak yang prolifik. Namun tidak semua tahu pertama kali beliau membuat persembahan komediri (stand up) adalah pada tahun 1990 di Subang Airport Hotel.

“Tarikhnya adalah pada 30 Ogos, 1990. Masa itu, buat pertama kali saya berjenaka atas pentas depan ramai orang.

“Individu yang menjadi punca adalah Pengurus Perhubungan Awam hotel itu pada waktu tersebut iaitu Marina Mustafa yang meminta saya ceritakan kepada umum mengenai semua kisah lucu yang saya ceritakan kepadanya sebelum itu.

“Waktu itu, tiada istilah komediri di Malaysia. Saya ingatkan, ia akan menjadi persembahan pertama dan terkahir daripada saya. Tapi saya tak sangka, selepas itu saya terus menerima undangan membuat persembahan jenaka kerana persembahan pada malam itu menjadi buah mulut orang.

“Jadi pelawak bukan cita-cita atau perkara yang saya rancang. Tapi ia satu kebetulan, yang akhirnya bertukar menjadi kerjaya saya sampai sekarang,” katanya.

Kata Harith lagi, dia, bukanlah seorang yang suka berjenaka ketika zaman kanak-kanaknya. Malah seorang yang pendiam dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

“Saya masa kecil seorang yang introvert, memang bukan seorang yang kelakar. Tapi ibu saya pandai berjenaka namun dengan cara Britishnya kerana dia wanita Inggeris. Mungkin saya mewarisi bakat berjenaka ini dari dia.

“Awal dulu, saya mengidolakan Eddie Murphy dan banyak kali menonton video persembahan komedirinya.

“Selepas itu minat saya terhadap pentas komedi, menjadi-jadi dan mula membuat kajian mengenainya,” jelasnya.

YASMIN AHMAD

WALAUPUN Harith memaklumkan saya dia boleh berlakon tapi bukan pelakon, saya tetap berpandangan dia sangat pandai berlakon.

Jika tidak, tak mungkin sutradara tersohor, arwah Yasmin Ahmad, memilihnya berlakon dalam tiga filem arahannya iaitu Sepet, Gubra dan Talentime.

Kata Harith, bekerja dengan Yasmin ibarat bekerja dengan keluarga sendiri. Kerana itu, Harith juga menganggap pengalaman bekerja dengan arwah sebagai antara momen istimewa dalam hidupnya.

“Yasmin mewujudkan suasana kekeluargaan di set penggambaran. Macam kerja dengan keluarga sendiri, meskipun dia amat tegas mengenai latihan sebelum penggambaran.

“Banyak kenangan manis bersama arwah. Hari ini, orang masih datang kepada saya dan bercerita tentang filem Sepet walaupun filem itu sudah berusia 24 tahun,” kongsinya.

Bercerita mengenai Sepet, Harith memaklumkan dia tidan diminta untuk uji bakat bagi watak Abah yang dilakonkannya dalam filem itu.

“Memang agak melucukan kalau saya ceritakan bagaimana saya dapat watak itu. Ada satu ketika ketika menaiki eskalator di KLCC, saya terserempak dengan Yasmin yang sedang turun. Kami hanya menyapa satu sama lain kerana saya tidaklah kenal rapat dengan arwah waktu itu.

“Namun saya terkejut, apabila dia sampai di bawah, dia menjerit nama saya dan bertanyakan adakah saya mahu berlakon dalam filemnya. Selepas itu, semua menjadi sejarah.

“Seperkara mengenai Yasmin, dia tidak mencari pelakon yang hebat, tapi dia cari pelakon yang sesuai dan boleh menghidupkan watak dalam filem arahannya. Katanya, dia nampak saya sebagai Abah dalam filem Sepet.

“Dan sebenarnya, watak Abah dan emak (Ida Nerina) dalam filem Sepet diinspirasikan karakter sebenar ibu bapa arwah. Jika penonton masih ingat mengenai babak kain sarong tertanggal dalam filem itu, babak itu adalah situasi benar yang berlaku antara ibu bapa Yasmin,” jelasnya.

DFP PUNCHLINE: HARITH ISKANDER

Harith memaklumkan dia akan mementaskan pengalaman 35 tahunnya dalam dunia seni menerusi persembahan komediri yang bakal berlangsung 25 Januari tahun depan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Katanya, persembahan itu akan berbeza dan istimewa kerana penonton, buat pertama kalinya bakal disajikan dengan cerita-cerita benar yang berlaku sepanjang lebih tiga dekad pembabitan Harith dalam dunia komedi tanah air.

“Ini pertama kali saya membuat persembahan di DFP, tapi saya tidaklah gemuruh kerana sudah 35 tahun saya membuat persembahan jenaka depan penonton yang ramai.

“Bezanya kali ini, orang akan melihat saya bercerita mengenai semua pengalaman saya sebelum ini, termasuklah kisah perceraian saya baru-baru ini,” kongsinya.

Persembahan yang bertemakan 35 Years of Laughter itu berlangsung selama satu jam setengah. Pembelian tiket yang berharga antara RM129 hingga RM329 boleh dibuat menerusi talian 03-23317007 atau menerusi emel [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya