Memenangi tempat kedua dalam pertandingan Muzikal Lawak Supertars 2024 (MLS2024) bersama Namie dan Fad di bawah kumpulan Padie, mungkin ramai menyangka Are Toy akan tersenyum lebar lantaran mendapat tiket mudah untuk mengembangkan lagi cabang kerjaya dalam bidang seni.
Maklumlah bak kata orang,dunia seni hiburan ini menjanjikan glamor, populariti dan jika benar pada percaturan, dapat pula meraih lubuk emas. Boleh buat duit orang kata.
Kalau ramai orang mungkin menyimpan impian untuk jadi orang glamor, nak jadi artis, Cik Bunga rasa nampaknya Are Toy tidak begitu. Dalam nada jujur Are Toy memberitahu pengikutnya di media sosial, yang dia tidak mahu meneruskan perjalanan sebagai seorang pelawak atau pelakon dalam dunia seni arus perdana.
Walaupun ramai kalangan peminat mahu tengok Are Toy terbabit serius dalam dunia seni, tetapi baginya, itu bukan keutamaan. Semata-mata nak masuk tv kata Are Toy, dia tak akan buat. Dia memang tak mahu katanya.
Kata Are Toy, dia mahu meletakkan fokusnya pada bisnes yang dia sudah usahakan lama. Pun begitu, itu tidak bermakna Are Toy berkeras menolak bidang seni.
Kata pelawak ini, jika ada tawaran sesekali, mungkin dia akan ambil. Bermakna, untuk menjadikannya sebagai punca pendapatan utama, tidak, sekadar sampingan sahaja.
Bagi Cik Bunga, Are Toy ada sebab tersendiri dalam menentukan keputusan itu walaupun tahu ramai mahu tengok dia serius menceburi bidang seni ini. Kadangkala benda begini tak boleh dipaksa.
Kerja seni ini kena datang dari hati yang ikhlas selain minat. Kalau tidak, ia tidak menjadi. Lagipun, ingat senangkah nak buat lawak, betul tak?