‘Saya bermula dari bawah, belajar berlakon tanpa skrip’ - Utusan Malaysia

‘Saya bermula dari bawah, belajar berlakon tanpa skrip’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMULAKAN karier seninya sebagai pelagak ngeri atau ‘stuntman’, pelakon, Trisha Ooi mengakui dirinya tidak lari daripada melalui fasa ‘sepak terajang’ dalam industri seni bahkan harus bekerja keras demi memastikan bakatnya dikenali. 

Selesa mencipta populariti secara organik, pelakon yang sebenarnya sudah memulakan kerjaya seninya sekitar enam tahun lalu itu kekal mahu menonjolkan sisi lasaknya meskipun kini namanya lebih sinonim dengan drama air mata. 

Kata pemilik nama lengkap Reyshqa Aqiera Mohd. Nasron Ooi, stesen televisyen TV3 merupakan platform pertama yang membuka pintu rezekinya dan mengangkat bakatnya sebagai seorang pelakon utama menerusi beberapa naskhah sejak tahun 2020. 

“Mencipta nama atau bagi orang sedar akan kehadiran saya dalam industri itu agak susah sebab saya mulakan kerjaya saya sebagai pelagak ngeri. Forte saya lasak. Saya memilih jalan yang sukar untuk kekal dalam industri seni walaupun tidak terus meletup. Saya hanya jadi diri sendiri saja kerana itu lebih penting untuk saya kenalkan diri saya pada orang lain. 

“Sebelum ini, saya tidak pernah ter kir pun untuk menjadi seorang pelakon yang bawa watak berat kerana itu lebih mencabar. Masa awal penglibatan saya di dalam dunia lakonan, saya juga tidak kir tentang populariti. Tapi sebagai seorang selebriti, saya rasa itu penting untuk membantu karier saya. 

“Sepanjang enam tahun menjadi stuntman, saya bekerja keras untuk berlakon walaupun tanpa skrip. Tapi itulah proses saya belajar menjadi seorang pelakon,” katanya kepada Pancaindera. 

Kata bintang drama bersiri Tentang Hati Dia itu, dia mahu dirinya dikenali sebagai pelakon yang ‘versatile’ meskipun tidak pernah mempunyai ilmu yang mendalam mengenai seni lakonan pada awal penglibatannya dalam industri. 

“Saya tidak pergi mana-mana kelas, tapi saya belajar daripada orang sekeliling yang pernah kita bekerjasama. Tetapi ada beberapa nama yang saya kagumi dan ingin belajar dengan mereka seperti Datuk Fauziah Nawi, Farah Ahmad dan Fauziah Ahmad Daud. 

“Lama-lama saya sedar itulah minat saya. Dari situ saya rasa saya mahu jadi pelakon yang versatile dan tidak tertumpu kepada satu genre sahaja. Saya mahukan kelestarian dalam kerjaya . Saya mahu orang kenali bakat saya dalam jangka masa yang lama. 

“Kalau ada rezeki untuk melebarkan sayap di luar, kita keluarlah. Tapi harapan saya, saya mahu orang ramai terima baik kedatangan saya dalam industri ini terutamanya pelakon senior yang saya kagumi. 

“Alhamdulillah, setakat ini pun saya tidak pernah disisihkan dan sebagainya,” jelasnya.

SAYA BUKAN CINA

SEJAK penglibatannya dalam industri seni tanah air, pelakon drama Menanti Senja itu mengakui ramai yang ber kir dia seorang berbangsa Cina yang fasih berbahasa Melayu. 

Tercuit hati mengenangkan perkara itu, Trisha sempat berkongsi latar belakang keluarganya dan memberitahu panggilan Ooi itu merupakan nama keluarga arwah bapanya, Mohd. Nasron Ooi yang merupakan seorang mualaf. 

Kata Trisha, disebabkan itu juga dia enggan mencetuskan sebarang kontroversi yang boleh mencemarkan nama baik keluarganya.

“Ramai orang ingat saya kaum cina. Tetapi sebenarnya, arwah bapa saya seorang Cina Muslim dan ibu saya orang Melayu. Saya gunakan Ooi itu sebagai nama keluarga. Masa awal kemunculan saya sebagai pelakon, saya ada tukar nama saya beberapa kali untuk sesuaikan dengan kita dan selesa untuk orang sekeliling panggil kita. 

“Tapi saya rasa Trisha Ooi itu lebih komersial. Sesetengah orang berpendapat kalau saya bawa surname itu tidak sesuai dalam industri kita. Tapi saya cuba saja sebab itu nama keluarga saya. Alhamdulillah, nama ini bawa rezeki kepada saya. Nama Trisha itu pula singkatan untuk nama penuh saya, Reyshqa Aqiera.

“Sebab itu juga saya memang jaga diri daripada sebarang gosip. Saya bawa nama keluarga. Saya mahu orang kenal saya dari bakat saya. Kontroversi sekarang ini normal. Tapi saya cuba untuk tidak terpalit dengan kontroversi. 

“Saya bekerja sangat keras dalam industri untuk orang nampak bakat dan kenal saya. Bukanlah saya tidak pernah terpalit dengan kontroversi, pernah. Tetapi, tidaklah isu yang besar. Saya bagi 100 peratus dalam hasil kerja saya. Jadi, saya tidak mahu perkara itu menjatuhkan kerjaya saya,” katanya. 

Tambah pelakon yang berusia 25 tahun itu, ibu bapanya agak berat hati untuk membenarkan anak bongsu mereka itu menceburi bidang lakonan terutamanya sebagai pelakon pelagak ngeri yang sememangnya didominasikan oleh kaum lelaki. 

“Sebenarnya, arwah ayah saya tidak suka saya jadi pelakon. Dia nak saya jadi peguam sebab belajar dalam bidang guaman. Tapi ibu saya bagi sokongan untuk masuk dalam industri walaupun dia suruh saya buktikannya. Masa saya nak jadi pelagak ngeri itu pun, ibu saya tidak suka sebab benda itu berbahaya. 

“Itu adalah industri yang didominasikan oleh lelaki dan ada yang berpendapat perempuan tidak boleh buat aksi ngeri. Walaupun tak boleh buktikan dekat orang, saya boleh buktikan kepada ibu saya. Saya percaya restu ibu bapa itu membantu untuk permudahkan karier saya,” katanya.

SISI FEMININ

KINI, nama Trisha Ooi semakin hangat menjadi sebutan selepas dirinya muncul dengan penampilan terbarunya berambut ‘blonde’ dan seksi menerusi drama bersiri, Senyawa. 

Meskipun tidak biasa tampil dengan pemakaian yang terlalu terdedah, pelakon itu menyahut cabaran tersebut demi memenuhi keperluan watak. 

“Paling mencabar sekali apabila saya kena ubah diri saya dari seorang yang kasar kepada feminin. Sebenarnya, untuk tampil dengan penampilan dan perwatakan begitu buat saya sedikit gugup.

“Saya perlu ubah 100 peratus diri saya demi memenuhi keperluan watak itu. Saya tidak pandai berpakaian seperti wanita yang ditonjolkan dalam drama itu. Watak Zabrina itu memang bertentangan dengan diri saya. Tapi saya sukakan cabarannya walaupun kedengaran seram,” katanya. 

Mengulas mengenai drama, pelakon itu mengakui karakter yang dipamerkan menerusi naskhah tersebut sangat berbeza daripada watak yang pernah dijayakan sebelum ini. Katanya, mujur sahaja ada pengarah, Ira Rahman yang berjaya mencungkil sisi berbezanya itu selepas melalui beberapa perbincangan dan tunjuk ajar. 

“Watak Zabrina ini sangat berbeza dengan watak yang pernah saya bawakan  sebelum ini. Ira Rahman ini seorang yang sangat teliti dan pentingkan imej dan segala galanya untuk karakter itu. 

“Dari Zabrina, pengarah berjaya kupas sisi lain saya. Dia minta saya potong dan warnakan rambut. Ketika itu saya terus buat seperti apa yang diminta. Sampai satu hari itu saya bangun saya rasa itu bukan diri saya. Itu adalah Zabrina,” katanya. 

Ditanya sama ada dirinya bersedia berdepan dengan risiko menjayakan watak kontroversi yang mengetengahkan isu ibu tumpang, Trisha berharap penonton dapat menilai daripada segi mesej yang ingin disampaikan. 

“Pada pandangan saya, setiap naskhah yang dipersembahkan ada pengajaran dan mesej yang ingin disampaikan. Walaupun Senyawa ini tentang isu ibu tumpang ini salah di sisi agama, saya percaya ada mesej yang ingin disampaikan. 

“Saya harap orang tidak pandang ini isu tabu sebaliknya mereka dapat mesej yang ingin disampaikan. Saya harap penonton dapat sesuatu daripada itu. Kecaman itu normal tapi untuk drama ini Alhamdulillah mendapat mesej yang baik sedikit sebanyak beri kepuasan untuk diri saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya