DRAMA Cinderella yang dibintangi Ahmad Idham, Haliza Misbun, Zizie Ezette, Aziz M. Osman, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi mencipta fenomena pada tahun 1998.
Sebanyak 24 episod ditayangkan, drama yang ditulis Mohd. Noor Kadir dan diarahkan Din CJ itu meninggalkan impak yang besar terhadap masyarakat.
Drama tersebut jugalah yang melonjakkan lagi nama pelakon, pengarah dan penerbit, Ahmad Idham dalam dunia drama dan per leman. Dalam pertemuan baru baru ini, Ahmad Idham atau nama sebenarnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menceritakan pengalaman beliau berada di kemuncak populariti gara-gara watak Salman yang dilakonkannya menerusi drama tersebut.
“Dulu saya pun tak tahu diri saya popular sebab pada ketika itu saya tak faham pun apa yang dimaksudkan dengan populariti itu.
“Tetapi, apabila sampai tahap ada peminat yang minta artis kegemaran turunkan tanda tangan pada wang RM1 milik mereka, barulah saya faham bagaimana rasanya jadi orang terkenal.
“Saya tak na kan populariti yang dicetuskan drama Cinderella itu sedikit sebanyak menimbulkan kejutan budaya terhadap diri saya.
“Pernah juga sehingga tahap sebuah pusat beli-belah di Labuan tidak ditutup selagi saya tak sampai. Pengalaman seperti itu sebelum itu kebiasaannya dilalui seorang penyanyi,” katanya.
Bercerita lanjut, bapa kepada empat cahaya mata ini juga tidak dapat melupakan pengalaman menerima ribuan surat peminat selepas drama Cinderella mencetuskan fenomena.
“Luar biasa sambutan peminat ketika itu. Selepas drama Cinderella meledak, hampir setiap hari saya terima surat peminat.
“Mohd. Noor pernah panggil saya ke pejabatnya untuk membaca sendiri surat surat berkenaan yang berturut-turut dihantar sepanjang tempoh lima tahun selepas Cinderella ditayangkan. Jumlahnya adalah sekitar 5,000.
“Bermacam-macam jenis surat yang kami terima, termasuklah yang berbau harum dan diletakkan bedak. Itu belum lagi hadiah daripada peminat.“Pengalaman itu sebenarnya saya selitkan dalam lem arahan saya, Tentang Bulan. Yang menonton tentu dapat menangkap babak tersebut,” ceritanya.
Ahmad Idham juga sempat menceritakan pengalaman menjalani penggambaran drama tersebut yang turut dilakukan di New Zealand.
Katanya, dia beruntung kerana berpeluang menyaksikan sendiri keindahan negara berkenaan ketika penggambaran dijalankan.
“Kami berada di New Zealand selama satu bulan sebelum penggambaran dilanjutkan di Malaysia. Jadi, pelakon, pengarah dan beberapa orang kru produksi ketika itu, sambil melakukan penggambaran, sempat meneroka bumi New Zealand.
“Ketika itu tenaga produksi dan pelakon berkampung di rumah penyanyi, Khadijah Ibrahim yang menawarkan kami menginap dan menjalankan penggambaran di sana.
“Yang melucukannya, skrip drama Cinderella belum pun siap sepenuhnya meskipun penggambaran sudah bermula di sana. Jadi, ketika itu, pelakon tak tahu bagaimana pengakhiran ceritanya.
“Tapi apa yang boleh saya katakan banyak kenangan manis kami di sana, kami bagaikan satu keluarga yang berada di bumi asing walaupun ada antara kami yang hanya mula kenal rapat satu sama lain ketika penggambaran di sana,” jelasnya.
KELAB PEMINAT AZMIL MUSTAPHA
AHMAD Idham dibesarkan dalam keluarga sederhana di mana ayahnya berkhidmat sebagai anggota tentera manakala ibunya seorang suri rumah tangga.
Katanya, dia pernah bercita cita untuk mengikut jejak langkah bapanya menjadi anggota tentera kerana membesar dalam persekitaran berkenaan.
“Hidup kami berpindah randah. Disebabkan sering bertukar sekolah, saya tidak ada kawan rapat.
“Saya pernah bercita-cita untuk menjadi anggota tentera, mungkin kerana saya membesar di kem askar.
“Tambah lagi saya mengidolakan bapa saya yang merupakan anak Malaysia pertama yang menerima lencana selepas menamatkan latihan penerbangan di New Zealand,” katanya.
Ahmad Idham memaklumkan karakter dirinya benar-benar terbina ketika beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Tempoh pengajian dalam jurusan perakaunan di UiTM telah membentuk karakter dan jati diri saya. Ketika itu, saya aktif, antaranya dalam Unit Kesatria.
“Keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan perakaunan adalah pilihan sendiri. Tiada mana mana pihak yang pengaruhi saya ketika itu.
“Tapi waktu di universiti, saya belum tahu apa cita-cita saya sebenarnya. Yang saya tahu, saya kena tamatkan pengajian dan miliki ijazah,” kongsinya.
Kata Ahmad Idham lagi, antara rakan artis yang bersahabat lama dengan beliau adalah Riezman Khuzaimi yang dikenalinya sejak remaja lagi. “Dialah rakan sepermainan, selalu bermain bola sepak bersama-sama.
“Kami membesar dalam kejiranan yang sama. Riezman memang berminat dengan bidang seni sejak remaja lagi. Saya masih ingat pernah mengikutinya menyertai kelab peminat Allahyarham Azmil Mustapha satu ketika dahulu.
“Riezman kemudian terjun ke dalam bidang peragaan sebelum masuk ke bidang lakonan. Dialah yang memperkenalkan saya dengan Azhar Sulaiman, yang juga penuntut UiTM pada ketika itu,” kongsinya.
BIDAN TERJUN
PENGLIBATAN Ahmad Idham dalam dunia lakonan bukanlah perkara yang dirancang, malah beliau menganggap perkara itu satu kebetulan.
Katanya, Riezman adalah individu yang memperkenalkan beliau dalam dunia seni, manakala Azhar pula yang mendorong beliau untuk menjadi pelakon.
“Semuanya bermula ketika saya menemani Azhar ke sesi penggambaran filem KLU pada tahun 1995.
“Saya tidak sangka pula waktu itu saya ditawarkan menggantikan seorang pelakon bagi satu watak kecil disebabkan ketiadaan pelakon tersebut.
“Dapatlah saya lakonkan dua tiga babak dengan bayaran RM50 yang nilainya cukup besar ketika itu.
“Dulu, saya tak kir pun minat atau mahu jadi pelakon. Cuma sekadar mahu cari duit poket sahaja,” kongsinya.
CINTA ANTARA BENUA
SEBELUM drama Cinderella, Cinta Antara Benua adalah antara drama terawal memperkenalkan Ahmad Idham di kaca televisyen.
Kata beliau, drama tersebut, yang penggambarannya juga dilakukan di luar negara, hangat diperkatakan dan turut meninggalkan impak yang besar kepada masyarakat.
“Peranan utama drama itu sepatutnya diberikan kepada Azhar Sulaiman. Namun, disebabkan dia perlu tumpukan pada pengajian di Newcastle, United Kingdom, watak utama dia serahkan kepada saya.
“Untuk Cinta Antara Benua, para pelakon, pengarah dan kru diterbangkan ke United Kingdom untuk melakukan penggambaran di tiga buah kawasan iaitu Newcastle, London dan Edinburgh.
“Kami berada di sana hampir tiga bulan. Bayangkan, daripada musim bunga sampai musim sejuk. Drama itu pula panjang, 40 episod kesemuanya.
“Tapi itu juga antara pengalaman manis. Bila sudah berada lama di sana, kami pun ambil peluang melihat keindahan negara orang. Sambil menyelam, minum air,” ujarnya.
“Saya ada beberapa kali kembali ke London dan bertemu beberapa orang pelajar Malaysia di Malaysian Hall.
“Ramai yang memaklumkan drama itu membangkitkan keinginan mereka melanjutkan pelajaran di sana.
“Pengakuan mereka itu mengejutkan saya. Besar juga pengaruh drama tersebut kepada orang muda zaman itu,” kongsinya.