Lumba kereta cabar jiwa lasak Reen Rahim - Utusan Malaysia

Lumba kereta cabar jiwa lasak Reen Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lumba kereta kebiasaannya menjadi aktiviti kegemaran kaum lelaki. Namun, melihat perubahan zaman kini, ada sesetengah wanita sudah mula berani melakukan aktiviti yang sama demi mencabar tahap adrenalin dan kemampuan mereka.

Seperti pemilik nama lengkap Noreen Ashikin Abdul Rahim, dia mengakui jiwa lasaknya membuatkan dirinya sentiasa terbuka untuk cuba melakukan pelbagai aktiviti yang mencabar limitasi kewanitaannya terutamanya ketika lumba kereta.

“Saya sebenarnya dari kecil sampai sekarang saya suka buat aktiviti lasak. Dulu saya suka hiking tapi sudah lama tidak lakukannya.

“Namun, sejak saya terlibat dalam satu pertandingan lumba kereta di litar Sepang pada tahun lepas, saya jadi suka buat aktiviti tersebut kerana dapat mencabar limitasi kewanitaan saya,” katanya kepada Pancaindera.

Meskipun pada awalnya tidak berani untuk memandu kereta secara laju, Reen mengakui aktiviti kegemarannya itu mendapat dorongan dan sokongan daripada suaminya, Hazim Zainal.

Dalam masa sama, pelakon yang berusia 36 tahun itu mendedahkan suaminya merupakan seorang pelagak ngeri dan secara tidak langsung mereka berkongsi minat yang sama.

“Sejujurnya, saya tidak berani memandu kereta dengan laju. Namun, penglibatan dalam pertandingan itu mengajar saya untuk menjadi lebih fokus, berani dan mampu mengawal perasaan gemuruh dengan baik.

“Saya selalu tawakal sahaja bila memandu kereta dengan laju kerana aktiviti itu berbahaya. Lagipun suami saya seorang pelagak ngeri atau ‘stunt performer’, secara tidak langsung minat itu sama.

“Ketika di litar, saya perlu berlumba kereta dengan beberapa rakan artis. Kini, saya banyak melakukan aktiviti tersebut bersama suami. Macam baru-baru ini, saya dan suami pergi bermain go kart bersama,” jelasnya.

Setiap aktiviti lasak pasti ada cabaran dan risikonya, namun pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu bersyukur dia tidak pernah berdepan dengan sebarang kemalangan yang memudaratkan dirinya.

Kata Reen, apa yang penting baginya adalah restu dan reda ibu bapa serta doa agar dilindungi dari segala bahaya sebelum membuat aktiviti lasak terutamanya, lumba kereta.

“Alhamdulillah, sejak kecil saya ini seorang yang lasak dan tidak tahu duduk diam. Saya selalu buat aktiviti yang berbahaya. Tetapi saya selalu baca doa terlebih dahulu.

“Lebih penting, saya akan meminta izin kedua ibu bapa saya kerana restu mereka penting. Reda mereka sangat saya perlukan. Saya juga tidak mahu mereka bimbang. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah cedera atau berdepan dengan kemalangan yang memudaratkan.

“Sekarang saya mempunyai seorang suami yang berjiwa lasak, saya rasa sekarang lebih menyeronokkan. Suami sayalah antara individu yang banyak memberi galakkan untuk buat pelbagai aktiviti mencabar,” jelasnya.

Ditanyakan mengenai kos perbelanjaan yang sudah dilaburkan untuk hobinya, Reen bagaimanapun enggan mendedahkan namun mengakui tidak berkira untuk perkara yang membuatnya gembira.

“Hobi saya adalah hobi yang tidak berbayar. Tapi bukanlah saya tidak berbelanja langsung. Saya tidak ada masalah untuk berbelanja demi membuat aktiviti yang buat saya gembira. Tapi, saya jarang berbelanja secara berlebihan untuk hobi saya,” katanya.

Bagaimanapun, Reen mengakui adakalanya sukar mencari masa untuk melakukan hobinya kerana dirinya kini lebih fokus berniaga produk penjagaan kebersihan dan kesihatan dalaman, RR Hygiene Wash.

“Tidak dinafikan lumba kereta adalah aktiviti yang menyeronokkan. Tetapi, saya tidaklah terlalu kerap melakukannya kerana kini saya lebih fokus berniaga selain mempunyai jadual kerja yang agak sibuk,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya