Hiatus Ning Baizura menerusi To Know Me - Utusan Malaysia

Hiatus Ning Baizura menerusi To Know Me

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPURNANYA pakej seorang penyanyi, Ning Baizura kerana dia sudah melalui liku-liku perjalanan sebagai penghibur yang penuh pahit dan manis dalam tempoh tiga dekad ini, berawal isu ‘fantasinya’ yang pernah menggegar negara dahulu. 

Tetapi, kita lupakan sahajalah. Orang ramai sudah beralah dan Ning pula terus bergerak ke hadapan meneruskan jaluran muzik pop dan R&B yang dia gerakkan bermula dengan Curiga, Dugaanku, Kau dan Aku, Pasti, Selagi Ada…(Cinta) dan Awan Yang Terpilu. 

Sebagai penyanyi bersuara soprano dan mahir menyanyi lagu-lagu klasikal Barat, Ning meraih pelbagai kejayaan menerusi 12 album studio yang pernah dihasilkan sejak Dekat Padamu (1993) dan berakhir album kompilasi dan rakaman semula, Kekal (2013). 

Bagaimanapun, dalam pasaran muzik kini, gerakan pop dan R&B Ning tidak lagi kedengaran. Kali terakhir dia merakam Bukan Wanita Sempurna dan Embunan Bersinar yang dimuatkan dalam album Kekal, serta single bahasa Inggeris, Greatest Gift of Love (2017) yang bagi saya ketiga-tiganya cukup sempurna. 

Oh iya, saya sebolehnya mahu melupakan single Cinta-Mu yang Satu (ciptaan Awi Rafael) pada tahun lalu, terhasil dalam cara benar-benar amatur untuk seorang handalan seperti Ning. 

Siapa yang menduga, Ning sekali lagi hadir dengan single baharu berjudul To Know Me, karya menggambarkan perjalanan kerjaya seninya sekali gus mengenali siapa ‘Ning Baizura’ yang sebenar. 

Tetapi, saya tidak kisah sangat apa pun mesej lagunya, kerana saya lebih gemar menumpukan kepada melodi, susunan, kualiti audio, instrumen, lirik dan kreativiti. 

To Know Me menarik pendengaran saya kerana bunyi dinamik yang dihasilkan mengingatkan saya akan lagu A Million Dreams, Rewrite The Stars dan Never Enough dalam drama filem muzik The Greatest Showman. 

Saya sentiasa berasa kagum dengan kawalan suara Ning di nada-nada rendah seperti di rangkap pertama “Ku serahkan segalanya, Jujur ku tempuhi, Dugaan duniaku, Ku manusia insan biasa, Sabar berikanlah petunjukmu.” 

Groovenya terus menarik saya sebaik sahaja Ning bergerak ke rangkap ketiga “I thought that I was brave, I thought that I was strong, I will always give my all to you, Percaya padaku”. 

Cuma, ada kalanya mood pendengaran saya terganggu apabila Ning menggunakan vocal register (head voice) berlebih-lebihan di baris ‘Cause I love you. 

Ia kedengaran sedikit serak, manakala peralihan corak suaranya ke rangkap ‘This I promise you’ tidak licin. Walau pun To Know Me mempunyai sentuhan moden daripada penerbit, Daniel Veerapen, namun, gubahan muzik seperti ini masih jauh daripada yang saya harap kerana kebanyakan hanya  diiringi bunyi piano yang kedengaran ‘kosong’. 

Saya faham, Ning cuba mengambil inspirasi Adele (Easy on Me) dan Bruno Mars (When I Was Your Man) kemudian mencipta karya baharu mengikut acuan sendiri. Tetapi, percayalah, lagu ini cukup sekadar memenuhi permintaan peminat yang sudah lama menanti. 

Ia belum cukup pop dan diniagakan dalam pasaran muzik Malaysia. Lebih-lebih lagi, dengan percampuran dua bahasa membuatkan tumpuan saya untuk agak sukar menginterpretasi lagu ini secara tersurat dan tersirat, malah bercelaru. 

Kata Ning, penggunaan dua bahasa supaya lebih ramai faham, tetapi, ini bukanlah cara bijak ketika kita mahu mendidik rakyat Malaysia berbahasa Melayu dan menulis secara kreatif dengan baik, walaupun dikatakan ‘seni itu luas sifatnya’. 

Dia tidak boleh menganggap To Know Me boleh berdiri sama tinggi dengan Standing in the Eyes of the World nyanyian Ella. 

Pengkarya-pengkarya lagu Ning nyata lebih handal dalam memaknai sesebuah lagu sehingga menjadikannya malar segar seperti Penjara Kasih, Ke Sayup Bintang, Selagi Ada…(Cinta) dan Awan Yang Terpilu. 

Beginilah rentak dan komposisi lagu Ning harus teruskan tetapi tidak semestinya dia kembali bermuzik 20 tahun ke belakang. 

Adakah To Know Me ini karya yang baik? Ya. Baik untuk dihayati setiap makna ditulis Ning sentuhan Daniel. 

Pastinya ia jauh lebih baik dari Cinta Mu Yang Satu. Tetapi, saya musykil jika To Know Me bertahan dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun ini. 

Jika Ning mahu muziknya terus relevan, masih ada ruang dan peluang melakukan lebih baik dengan bekerjasama dengan penggubah dan penulis lagu ternama.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya