Cik Bunga amat menghormati pelakon senior, Faizal Hussein. Rasanya tak pernah sekali pun kedengaran gosip merepek membabitkan dirinya di era baharu ini.
Kalau ada pun suatu ketika dahulu, sebelum wujudnya gelombang baharu media sosial, itu Cik Bunga tak tahulah. Kita pun belum menceburi bidang seni lagi pada waktu itu.
Justeru, jangan salahkan Cik Bunga apabila kita terkejut mendapat tahu yang selama wujudnya aplikasi Whatsapp sejak 15 tahun ini, pelakon ini dikatakan tidak pernah memuat naik platform komunikasi tersebut di dalam telefon bimbitnya.
Kalau semua orang boleh dikatakan pasti ada aplikasi tersebut di dalam telefon, namun tidak rupa-rupanya bagi Faizal. Jadi bagaimana cara Faizal berkomunikasi secara teks dengan semua pihak selain menerusi panggilan telefon?
Iyalah, penggunaan aplikasi itu pun untuk kemudahan kerja juga, untuk sesiapa pun. Bila tak ada, rasa pelik juga Cik Bunga.
Jadi, ada rakan industri seni maklumkan pada Cik Bunga, Faizal lebih senang menggunakan e-mel dan aplikasi i-message jika ada yang nak hubungi dirinya. Kalau di set penggambaran pula, dia akan sediakan walkie-talkie untuk kru dan terutamanya kepada pembantu pengarah untuk memanggilnya bila tiba waktu untuk dia masuk ‘scene’.
Selebihnya, dia tidak akan mundar mandir ke sana ke mari atau berlenggang tidak buat apa-apa di set melainkan cuma duduk di dalam kereta sahaja. Itu juga satu daripada cara Faizal untuk tidak terjebak mudah dengan sebarang gosip di set, apalagi jika ada yang cuba-cuba hendak ‘menggatal’ dengannya. Cik Bunga cuma beri contoh sahaja.
Kata teman industri Cik Bunga ini lagi, kalau waktu bersiar-siar atau keluar dengan keluarga pun, Faizal biasanya akan memperuntukan masa satu jam sahaja berada di luar menemani mereka. Selebihnya, masih menemani, masih bersama keluarga.
Cuma dia akan menunggu di dalam kereta sementara isteri dan anak-anak pergi membeli-belah dan sebagainya. Semuanya kerana dia masih berpegang pada nasihat Allahyarham bapanya Hussein Abu Hassan yang juga merupakan seorang seniman tanah air.
Makna kata, susah nak jumpa atau tengok Faizal ini bersidai di pusat membeli-belah atau di mana-mana tanpa arah tujuan. Ini baru betul menjaga eksklusiviti.
Lain benar cara orang lama bukan? Cik Bunga memang tabik hormat. Sebegitu dedikasi Faizal dalam menjaga nama baik dan eksklusiviti dirinya.