BERCAKAP tentang hobi, kebiasaannya perkara itu hanya dilakukan sekadar suka suka atau minat pada masa lapang.
Namun, tidak pelik juga jika sesetengah aktiviti kegemaran seseorang itu menjadi punca rezeki dan kerjaya mereka.
Seperti empunya nama penuh Sissy Imann Mohammad Kamil, dia tidak sangka hobinya yang sudah mula dipupuk sejak kecil menjadi kerjaya hakikinya sekarang.
Kata Sissy, bapanya, Mohammad Kamil Moustaffa yang menggalakkannya untuk bermain alat muzik seawal usianya lima tahun meskipun pada ketika itu dia tidak minat dengan hobi tersebut.
“Saya tiada hobi lain selain bermain muzik. Sebenarnya, saya tidak minat main muzik. Tetapi, masa umur saya 5 tahun, ayah saya panggil guru muzik untuk ajar main piano.
“Lama kelamaan saya jadi minat sebab memang sudah digalakkan untuk bermain piano,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah penyanyi lagu Mungkin Kamu itu, dia pernah mencuba untuk berhenti daripada bermain muzik satu Alat muzik pertama yang dipelajari Sissy adalah gitar.
ketika dahulu, namun dia dicabar bapanya untuk memainkan lagu Jeritan Batinku nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Setelah berusaha keras selama beberapa tahun, niatnya itu sudah bertukar menjadi minat secara tidak langsung mendorong Sissy untuk mendalami muzik di peringkat pengajian tinggi.
“Saya dipaksa bermain muzik kerana ayah saya beli piano di rumah. Lepas itu, dia rasa membazir sebab tiada yang main piano itu. Jadi, dia panggil guru muzik dan ajar saya.
“Saya ingat lagi, saya punya tidak minat sehinggakan guru muzik saya itu perlu pujuk saya. Kemudian, ayah saya kata kalau hendak berhenti main muzik kena main lagu Jeritan Batinku.
“Saya usaha dan belajar main lagu tersebut sampai mahir sebab hendak berhenti main muzik. Bila sudah boleh main, saya tidak jadi berhenti main. Lagu tersebut sahaja mengambil masa lama untuk berlatih.
“Saya rasa sekitar usia 12 tahun, baru saya betul-betul minat main muzik. Bila sudah minat saya sambung belajar dalam bidang muzik,” kongsinya.
Dalam masa sama, Sissy mengakui seronok apabila hobinya yang disifatkan mempunyai ‘penghubung’ untuk setiap luahan rasa itu kini menjadi kerjayanya.
“Memandangkan hobi saya adalah kerjaya saya, jadi saya tidak perlu bahagikan masa pun untuk hobi dan kerjaya.
“Pada saya, saya selalu ada ‘connection’ dengan muzik. Ada benda manusia tidak boleh faham, tapi muzik boleh faham terutamanya bahasa muzik. Saya rasa macam boleh bercakap bahasa yang sama,” katanya.
Meskipun sudah mahir bermain alat muzik seperti piano dan gitar, Sissy mengakui tidak mudah untuk melakukannya serentak ketika bernyanyi kerana memerlukan fokus yang tajam.
“Sebenarnya, main muzik ini susah. Lebih-lebih lagi bila menyanyi sambil bermain alat muzik. Itu adalah kemahiran yang tidak mudah.
“Jadi, cabarannya untuk praktikkan benda itu sangat susah. Demi minat, saya tetap lakukannya,” katanya lagi.
Kata Sissy, dia juga sangat seronok apabila dapat berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan dan kenalan yang meminati hobi yang sama sepertinya.
“Saya sebenarnya ada band sekarang, kalau hendak borak tentang muzik dan sebagainya sangat mudah.
“Saya pun dikelilingi rakan-rakan yang terlibat dalam bidang muzik jadi saya seronok dapat berborak dengan mereka yang mempunyai minat yang sama,” jelasnya.