Cuma sekelumit sabar yang tinggal untuk saya berpaut - Ira Kazar - Utusan Malaysia

Cuma sekelumit sabar yang tinggal untuk saya berpaut – Ira Kazar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika, begitu dahsyat gelombang penghinaan dan nista datang menghentam diri Faghirah Fatini Kazaruddin atau Ira Kazar. Puncanya cuma satu, cinta.

Tiada yang salah dengan cinta. Tetapi, jalan cerita dan hidup wanita berusia 29 tahun ini sejak kurang lebih lima tahun lalu telah membawanya bertemu dengan lelaki berstatus suami orang, popular dan ada kedudukan tersendiri dalam industri seni perfileman tanah air.

Sempat membina mahligai perkahwinan selama satu setengah tahun, ramai menyangkakan pernikahan kedua Syamsul Yusof itu mampu bertahan lama.

Maka, apabila perceraian diumumkan sekitar September lalu, Ira sedar, tentu sahaja seantero dunia begitu galak bertepuk tangan. Apalah daya yang dia miliki kecuali ketika itu terpaksa sahaja merelakan dirinya menjadi bahan ketawa orang.

Bertubi-tubi sindiran dan kata cela yang diterimanya saban waktu. Dialah si penjahat, dialah si penyondol, dialah wanita perosak rumah tangga orang, semua itu ditelan bulat-bulat oleh Ira tanpa sedikit pun mulutnya terbuka membicarakan apa sahaja perihal dalam kelambu.

Sehinggalah, baru-baru ini, anak kepada pelakon Kazar Saisi ini dilihat nekad membina hidup baharu dengan mengambil langkah berani, terjun ke dunia nyanyian menerusi hasratnya melahirkan sebuah single sulung berjudul Tak Kisah, duet bersama Alan D.

Mengapa tiba-tiba? Tanya penulis ringkas. Kalau dikatakan ia sebagai kerja gila, iya, memang satu kerja gila. Apa yang sedang Ira cuba buktikan?

“Tiada istilah mahu membuktikan apa-apa. Sebenarnya, orang tak pernah tahu, sebelum saya berkahwin, hasrat untuk menceburi bidang nyanyian itu sudah lama wujud. Saya pernah hasilkan single (bukan bersama Alan D) tetapi tak jadi nak lancarkan.

“Terkandas kerana adanya isu-isu yang tak dapat dielakkan. Kemudian, saya berkahwin. Bila kahwin, apa pun tak buat. Sekarang saya atur langkah baharu sebab iyalah, apa pun, hidup perlu diteruskan.

“Jadi saya buat apa sahaja yang boleh dilakukan. Saya dulu, tak berapa yakin sama ada benar diri ini boleh menyanyi, dalam diri ini ada terlalu banyak keraguan. Namun orang sekeliling banyak beri sokongan, banyak beri aura positif sehinggakan merekalah yang membuka mata dan hati saya untuk berdiri atas bakat yang dimiliki,”katanya.

Mengambil kesempatan atas segala kontroversi yang terjadi? Begitu pertanyaan diajukan kepada Ira namun wanita ini tetap tenang menjawab dalam santun kata.

“Kalau betul saya nak ambil kesempatan, sudah lama. Macam saya katakan tadi, niat nak buat single sudah lama terkandas. Mungkin masanya belum sampai. Mungkin Allah belum izin dan baharu sekarang semuanya berjalan dengan lancar,”katanya.

Meskipun dilihat sangat optimis, Ira mengakui, sebagai manusia biasa, tentu sahaja wujud perasaan bimbang dalam diri seandainya hasrat ini tidak menjadi apatah lagi dalam berdepan dunia seni yang tentunya tidak semua mampu menerima baik keputusan Ira untuk bergelar penyanyi.

Pun begitu, Ira tetap santai dan berkata, selama ini, sudah terlalu lama dia menahan diri sehingga terperangkap dalam perasaan serba salah, ketakutan, kebimbangan yang membungkam menjadi satu ‘penyakit’ dalam diri.

“Tak boleh lari daripada perasaan risay, tetapi pada saat ini, tidak. Saya katakan pada diri, ‘aku boleh buat’.Orang lain boleh nampak, kenapa saya tak boleh nampak dan serlahkan bakat yang ada? Lama juga saya berfikir untuk buat keputusan ini sebab terus-terang, saya bagaikan sedang berperang dengan diri sendiri.

“Walhal, sebenarnya, ada ramai sahaja orang-orang yang positif dan baik dalam industri seni ini, bila jumpa mereka, baru saya tahu rupanya banyak lagi peluang yang boleh diterokai. Malah, saya juga sedar, tak semua orang menolak diri saya.

“Saya juga sedar, untuk semua orang mampu menerima kita itu cukup mustahil. Semuanya adalah proses. Sekarang ini, ramai dah berakal dan boleh fikir. Lagipun selama ini saya hanya mendiamkan diri, tak buka cerita apa-apa,”katanya.

Penyesalan

Dengan segala apa yang telah berlaku, mustahil jua tiada langsung penyesalan timbul dalam diri wanita bertubuh kecil molek ini. Hebatnya tsunami celaan diterima, tidak siapa yang mungkin mampu bertahan.

Pun begitu, anehnya, semua peluru ‘kejahatan’ itu ditangkis dengan lembut oleh Ira, meski dirinya sendiri sudah begitu banyak terluka parah.

“Menyesal? Saya tak menyesal dengan segala yang terjadi. Sebab, banyak sangat yang saya belajar terutama sepanjang kesempatan sementara dipinjamkan seorang suami dalam hidup. Saya belajar jadi isteri, belajar memasak, belajar jaga suami, layan suami, buat apa pun dapat pahala.

“Sedikit pun tak menyesal buat semua itu sebab ia tanggungjawab sebagai isteri. Itu nikmat yang Allah pinjamkan untuk saya ketika itu.

“Cuma ada rasa terkilan sebab mungkin saya fikir, keadaan jadi lebih baik. Pun begitu, saya tetap jua lihat dari sisi positif di sebalik semua ujian yang tak pernah saya lalui sebegitu sebelum itu,”katanya.

Maaf

Ada salah yang harus diakui, tetapi kongsi Ira, sebagai seorang manusia biasa, bukanlah hak dan urusannya untuk memohon keampunan daripada semua orang andai bercakap mengenai kata maaf.

Menurut Ira, segala masalah, segala salah, itu adalah tentang dirinya meskipun secara halus memberi gambaran bahawa sebelum ini dirinya sudah berusaha memohon maaf daripada pihak-pihak yang terlibat dalam kontroversi hidupnya.

“I don’t owe anyone an apologize. Masalah saya adalah urusan saya. Bagi saya, diri ini hanya perlu minta maaf dengan orang-orang yang pernah terlibat sahaja. Tak perlu pun saya minta maaf kepada semua orang. Untuk apa? Mereka siapa?

“Kalau tiada dalam cerita saya, tak payah. Tak perlu saya jelaskan kepada semua orang apa sebenarnya yang berlaku semata-mata mahu orang fahami saya. Begitupun, belum tentu orang akan faham.

“Saya sudah minta maaf, atau belum, orang-orang terbabit sahaja yang tahu. Fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada saya, terpulanglah kepada siapa yang menyampaikan kerana dalam kebenaran yang disampaikan, ada penipuan sehingga orang ramai jadi keliru.

“Satu tahap, saya hingga terfikir tak nak hidup. Saya cakap, baik bunuh sajalah aku. Sudah tiada perasaan. Bukan nak jadi dramatik, tetapi saya sudah benar-benar penat dengan segala fitnah yang dilemparkan, hinggakan saya terpaksa bertemu pakar akibat mengalami depresi,”luahnya.

Sabar

Bagaimana pula dengan sabar? Luar biasanya sabar seorang Ira Kazar itu harus dipuji kerana meski hidup sedang berantakan hebat, dirinya tetap dengan pendirian untuk berdiam, enggan meledakkan ‘bom’ amarah.

“Dalam keadaan apa pun, ujian apa pun, memang kita sebagai manusia ini kena sabar. Kalau nak tahu, sebelum ini, saya ini tak adalah seorang yang penyabar sangat. Masa muda cepat melenting, tak kisah. Tetapi apabila menjadi isteri, say belajar.

“Terus-terang, apabila kita diperangkap dengan perasan ‘akulah punca, aku yang salah’ oleh orang lain pada setiap kalinya, apa yang ada lagi dalam diri kita? Saya hanya ada kesabaran, itu sahaja yang tinggal dalam diri untuk saya berpaut menahan segala-galanya.

“Keyakinan diri, kesihatan mental, segala-galanya sudah tiada kecuali sabar. Itulah yang menjadikan saya kuat untuk mencuba meneruskan hidup ini,”ujarnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya