Cross: ketika musuh sebenar kita bukan manusia - Utusan Malaysia

Cross: ketika musuh sebenar kita bukan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Ben Watkins memilih menjelmakan buku karangan penulis prolifik, James Patterson ke layar, dia sememang tahu bahawa karya ini wajib menjadi sebuah siri ikonik. Selepas episod pertama dimainkan, saya tidak menyangka bahawa sentuhan Ben untuk siri Cross tayangan Prime Video, boleh tahan candunya.

Di awal penceritaan, saya hanya menyangka Cross tidak kurang lebih hanya mengusung satu tema sahaja iaitu pertembungan moral dan stereotaip bangsa kulit hitam untuk dicerakinkan dan dibincangkan dalam lapan episod tayangan.

Namun begitu, selalu ada percaturan dan konflik baharu yang timbul membuatkan saya merasa Cross tidak boleh ditonton dengan sambil lewa – seperti sambil lipat kain contohnya.

Cross dibuka dengan cerita kepayahan seorang detektif yang juga merupakan pemegang sijil doktor falsafah dalam psikologi yang kematian isteri. Sebuah kisah yang sangat tragik untuk seorang lelaki yang begitu mencintai seorang wanita seumur hidupnya.

Namun, tiada tanda-tiada Cross menjalani terapi, mungkin kerana dengan kelulusan yang dia ada, Cross tahu cara mengendali kesedihannya.

Tanggungjawab Cross tidak mudah, dia harus menyelesaikan sebuah kes pembunuhan berprofil tinggi dan inilah yang saya maksud, siri ini tidak boleh ditonton sambil lewa.

Jika anda terleka, anda terlepas membaca tanda-tanda dalam menghurai konflik yang ada. Semakin lama episod berjalan, semakin rencam watak yang datang.

Namun begitu, saya melihat karakter antagonis dalam Cross sangat menarik kerana bukan hanya manusia semata-mata. Memanglah antagonis utamanya ialah ‘lelaki tersakiti’ bernama Ed Ramsey yang membuat saya mengucap berkali-kali melihat kesialannya.

Namun ada antagonis lebih besar yang dibincangkan dalam Cross iaitu bayang-bayang dari masa silam yang mengekori baik Cross mahupun Ed Ramsey.

Ada sebuah dialog yang sangat menangkap dalam siri ini di episod akhir, katanya lebih kurang begini ‘Ada orang yang melalui hidup begitu perit dan sakit.

Kerana terlalu perit menanggung kesakitan itu, maka dia mahu orang lain juga merasainya’
Cross dan Ed Ramsey melalui masa silap dan zaman kanak-kanak yang begitu tragis, namun bagaimana kedua-dua watak ini begitu berbeza menerima masa silamnya.

Bagaimanapun, karakter Ed Ramsey yang dibentuk sebagai pembunuh bersiri dan ‘fan boy’ sangat menarik. Tapi entahlah, saya seperti tidak puas melihatnya di layar. Seperti lebih banyak ruang dan pengolahan adegan sepatutnya diberikan kepadanya.

Saya mahu melihat sisinya yang lebih terngadah, lebih membawa emosi yang terseret.

Oleh kerana Cross sudah membina momentum laju dan dramatik sedari awal, episod pertengahannya terasa sedikit perlahan namun mujur berjaya mengembalikan momentum asalnya memasuki tiga episod akhir.

Apapun, saya merasakan Cross adalah cerita menarik untuk ditonton. Saya beritahu awal-awal bahawa ia membawa persoalan yang kompleks, namun di sebalik ketegangan itu, ada sentuhan kasih sayang yang mahu dibicarakan lebih mustahak dalam siri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya