Sejak kebelakangan ini, isu budaya buli di lokasi penggambaran hangat diperkatakan dalam kalangan penggiat seni tanah air selepas seorang pelakon baharu mendedahkan wujudnya politik ‘senior junior’ di antara mereka.
Malah, perkara yang sebelum ini tidak pernah diketahui umum itu juga sedikit sebanyak menggoyahkan imej industri seni selepas sisi gelap tersebut ‘dilondehkan’ oleh pelakon terbabit.
Bukan itu sahaja, pendedahan itu sedikit sebanyak membuatkan ramai penggiat seni yang sudah lama bertapak dalam industri terpanggil untuk mengulasnya termasuklah pelakon yang baharu sahaja dinobatkan sebagai Aktor TV Popular, Hun Haqeem.
Kata orang, pengalaman pahit itu sebenarnya merupakan pengajaran terindah untuk seseorang individu itu menjadi lebih kental dan berdaya tahan dalam apa saja cabaran.
Jadi, Hun jawablah!
J: Sejak kebelakangan ini, isu buli di lokasi penggambaran hangat diperkatakan. Pernah tak Hun mengalami situasi sama sepanjang bergelar pelakon?
H: Sejujurnya, saya pernah melalui fasa itu ketika mula-mula melibatkan diri dalam bidang lakonan. Ketika itu mereka memanggil saya dengan panggilan yang kurang enak iaitu ‘Hun jing’ (anjing) sepanjang penggambaran dilakukan. Dalam empat bulan juga saya perlu hadap gelaran itu.
Saya rasa, budaya itu adalah normal suatu ketika dahulu. Tetapi, sekarang ini saya rasa Alhamdulillah, perkembangan dia sangat bagus. Saya pun sudah tidak dengar orang caci maki ataupun pengarah baling-baling barang seperti zaman sebelumnya.
Saya rasa mereka lebih memahami proses itu dan cuba memahami pelapis baharu akan datang. Pada saya, pelakon baharu juga perlu bekerja keras sebab mereka muncul di zaman sekarang. Saya rasa kalau dulu, mungkin mereka akan berhenti berlakon.
J: Anggap pelakon baharu bertuah kerana lebih mudah dikenali, adakah kelebihan mereka itu satu kelemahan juga kerana tidak kental hadapi situasi sukar sedemikian?
H: Saya setuju dengan pendapat itu sebab saya sendiri ada ramai kawan yang sudah lama bergiat dalam industri. Contoh seperti Fimie Don, saya selalu bertukar pengalaman dan pendapat dengan dia. Saya rasa pelakon baharu perlu bergaul dengan orang lama dan buka hati untuk cuba belajar.
Kadang-kadang, ada generasi baharu ini ada egonya dan rasa mereka lebih bagus dari generasi sebelumnya. Tapi, saya percaya dengan kata-kata ‘aku makan garam dulu daripada engkau’. Saya rasa kalau kita boleh bergaul secara sihat dalam industri ini, situasi itu akan jadi lebih bagus.
J: Adakah pendedahan sisi gelap dalam industri seni tanah air itu boleh mencalarkan imej seorang pelakon?
H: Pada saya, perkara itu tidak mencalarkan imej mereka sebab itu masalah peribadi. Saya percaya perkara itu tidak perlu diuar-uarkan kepada umum sebab setiap pelakon akan melalui proses itu. Saya percaya, setiap caci maki itu hanyalah untuk menjadikan mereka seorang pelakon yang terbaik.
Saya selalu di set penggambaran, tapi saya rasa tiada sebab lain mereka marah kerana mereka mahu kita buat yang jayakan watak dengan baik. Kalau pelakon-pelakon sekarang boleh ubah mentaliti itu, mereka akan bersyukur dengan caci maki yang mereka terima itu.
Kalau mereka tidak boleh terimanya dengan terbuka, mereka tidak akan sedar di mana mereka perlu usaha sebab itulah tugas seorang pelakon. Kalau tidak, kenapa pelakon-pelakon lama hebat? Benda itu yang kita selalu tanya pada diri kita. Terima sahaja dengan hati yang terbuka.
J: Pada Hun, adakah itu juga salah satu kerugian untuk seseorang pelakon itu apabila tidak boleh terima pengalaman sebegitu berlaku dalam industri?
H: Sangat rugi. Kalau seorang pelakon itu tidak mampu untuk menerima kritikan. Sebagai pelakon, kerjaya kami adalah untuk dikritik. Jadi, kita sendiri kena ambil kritikan itu dan tengok kenapa kita dikritik sedemikian. Saya sentiasa boleh perbaikinya di masa akan datang bila dapat tawaran baharu. Dengan peluang itu, kita mampu menjadi pelakon yang lebih baik di masa akan datang.
Dengan itu juga kita boleh tingkatkan kredibiliti kita sebagai seorang pelakon. Jadi, kalau apa pun jadi kita masih diperlukan sebab kita seorang yang mudah dibentuk dan diajar. Kita adalah kanvas putih untuk mereka ekspreskan diri mereka terhadap diri kita. Jadi, kalau tidak boleh diajar susahlah dan sangat rugi.
J: Hun nampak lebih matang dalam mengulas isu semasa seperti ini, adakah disebabkan gelaran Aktor TV Popular itu membuatkan Hun lebih yakin?
H: Tidaklah, gelaran Aktor TV Popular itu hanyalah sebuah pengiktirafan dan saya hargai sangat momen bermakna itu. Tapi penghargaan itu tidak membuka jalan saya untuk mengatakan perkara sedemikian.
Mungkin disebabkan orang-orang yang saya pernah bekerjasama seperti Datuk Yusry Abdul Halim, Umi Salwana Omar dan ramai lagi nama besar yang saya perlu berterima kasih kerana menjadikan diri saya seperti ini sekarang.
Disebabkan mereka jugalah saya boleh bercakap seperti ini sebab mereka lebih mengetahui. Saya juga belajar daripada mereka yang berjaya. Jadi, saya hanya mengambil kata-kata mereka yang berjaya itu.