KETIKA menonton filem viral We Live in Time (WLIT), saya telah mengeluarkan John Crowley dalam ingatan seketika agar tidak mudah terikut-ikut dengan kekaguman saya semasa menonton Brooklyn.
Ia membuatkan saya lebih jujur menikmati kisah cinta antara Almut (Florence Pugh) dan Tobias (Andrew Garfield). Mereka perlu mencipta segala memori yang ada dalam ketirisan waktu enam bulan setelah Almut disahkan mengidap kanser tahap tiga.
Filem WLIT memilih pendekatan plot secara non linear, dengan beberapa siri jungkir balik yang membuat penonton faham bahawa pertemuan mereka terjadi kerana masing-masing terlibat dalam kemalangan. Ketika itu, Tobis kebetulan baru sahaja mengakhiri perkahwinan pertamanya.
Almut ialah seorang chef. Manakala Tobias pula ialah jejaka yang sangat menghargai hidangan sarapan (melihat kepada adegan bapanya masak makan pagi).
Suatu pagi Almut memecahkan satu per satu telur di dapur dan berjanji untuk memasakkan hidangan paling lazat buat Tobias. Ketika itulah Tobias yakin mahu sehidup semati dengan perempuan itu.
Menarik untuk difikirkan mengapa adegan yang sama iaitu aksi memecahkan telur diulang semula di penghujung filem, kali ini hanya Tobias dan anaknya, Ella di dapur.
Mungkin WLIT ingin memberi harapan agar ada pertemuan semula; entah dengan cara bagaimana antara mereka dan Almut yang sudah pergi terlebih dahulu.
Bila difikirkan, telur selalu memegang falsafah dan simbol tersendiri sejak zaman dahulu. Seperti tamadun Mesir; orang-orang meletakkan telur di atas kubur sebagai simbol kelahiran semula.
Kristian yang menganggap ia sebagai kehidupan abadi dan Hindu yang turut menganggapnya sebagai simbol kitaran kehidupan dan keseimbangan kosmik.
Pendek kata, semuanya berisi harapan agar yang pergi akan kembali lagi kepada orang yang merindukan mereka.
Namun begitu, saya harus berterus terang mengatakan filem ini gagal memancing jiwa dan perasaan saya. Saya merasakan adegan plot semacam mozek-mozek peristiwa dengan teknik jungkir balik tidak dipersembahkan dengan cukup baik.
Contohnya begini, ketika saya baru sahaja ingin tenggelam masuk ke dalam jiwa Almut yang susah payah bertarung kanser, tiba-tiba perasaan itu terputus kerana saya di bawa ke adegan masa lalu yang tidak penting mana.
Saya faham WLIT cuma mengumpulkan momen senyata mungkin tanpa adegan romantis terlalu plastik dan dibuat-buat. Sejujurnya saya menyukai pendekatan itu namun, entah di mana silapnya keserasian Almut dan Tobias tidak dapat saya rasai.
Mungkin kerana terlalu banyak adegan yang dipotong mahupun dikaburkan membuat saya jelak menghabiskan tontonan filem ini.
Apa yang paling menyedihkan ialah, WLIT gagal memberi saya perasaan sayu bahkan selepas adegan kehilangan Almut.
Mungkin filem ini akan terasa sangat mengesankan untuk mereka yang pernah kehilangan anak atau dibesarkan oleh seorang bapa tunggal.
Jika tidak, WLIT hanyalah sekadar filem yang okay-okay sahaja.