“ADA spekulasi yang mendakwa perceraian itu berlaku kerana Datuk tidak lagi menyukai perempuan. Ada komen mengenai ini?,” soalan dibuka ketika kami duduk bertentang mata.
Pemilik nama sebenar selebriti dan chef, Datuk Fazley Yaakob, 46, tertawa kecil. Nampak tenang, tidak sedikit pun melatah atau menunjuk reaksi salah tingkah.
Pelbagai andaian muncul semenjak berita perceraian dengan bekas isteri, Azrene Soraya, dikongsikan kepada umum seminggu lalu. Peminat mungkin sukar menerima hakikat pasangan selebriti idola mereka yang sering menunjukkan kasih sayang di media sosial boleh berakhir dengan perpisahan.
Terbitlah persoalan satu per satu, baik mengenai punca hubungan berakhir atau drama pergolakan yang mungkin berlaku. Oleh sebab mereka gagal mendapatkan jawapan, pelbagai spekulasi pun mula diciptakan.
Pancaindera mendapatkan Fazley untuk memberi ruang menjernihkan yang keruh, menjelaskan segala tuduh.
“Apabila muncul perkataan cerai atau bercerai, entah kenapa masyarakat mahu cari siapa yang salah. Sedangkan perpisahan saya dan bekas isteri, berlaku sangat damai tanpa bergaduh atau membuka aib. Kami menjalani hidup seperti biasa kerana anak-anak.
“Berkenaan dakwaan itu, adakah artis yang tidak pernah menerima tohmahan yang menyakitkan hati? Bezanya, saya sudah berada dalam industri hiburan 30 tahun. Tuduhan, makian daripada netizen sudah alah bisa tegal biasa.
“Minggu lalu saya terima juga soalan adakah kerana kelelakian saya tidak berfungsi menyebabkan perceraian? Sedangkan saya duta klinik dan mengajar kesihatan lelaki. Bekas isteri saya mengandung 13 kali namun gugur dan kami ada empat orang anak.
“Saya fikir, tidak perlulah kita beri reaksi terhadap andaian yang menyakitkan hati. Orang nak kata apa, kita senyum. Lagipula saya mempunyai latar belakang keluarga politik. Dunia itu lebih rakus jika hendak dibandingkan dengan tohmahan dunia seni. Hati kena kuat,” tambahnya.
Mungkin jarang yang mahu melakukan perubahan besar pada usia menghampiri 50-an. Apalagi jika ia melibatkan hal peribadi seperti memilih jalan perceraian dengan seorang wanita yang 18 tahun menemani jatuh bangun.
“Enam tahun lalu Datuk pernah buat majlis persandingan semula. Bila selak kembali foto itu, memang tiada apa-apa perasaan yang tersisakah?” saya cuba memancing sisi rapuh yang disembunyikan. Fazley masih kekal tenang menjawab semua soalan.
“Memang itu kali pertama kami bersanding dan ia penuh kesedihan. Sebenarnya saya mahu tunjuk kepada anak-anak inilah ibu bapa mereka.
“Sudah tentu apabila berlaku perpisahan, semua itu menjadi memori indah. Tidak bermakna ia terhapus. Anak-anak juga faham dan akur dengan keputusan ini,” jelasnya.
Kembali digelar ‘Abang Asmara’
Bercerita mengenai kehidupan kembali solo, calon Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 2004 itu tidak menyangka mendapat gelaran ‘Abang Asmara’ daripada pengikut di media sosial.
Bukan itu sahaja, Fazley turut mendedahkan sering mendapat mesej mengajaknya berkahwin selain sering dikenenkan mengenali wanita di sekelilingnya.
“Baru-baru ini saya ada pergi ke sebuah pusat beli-belah. Tiba-tiba ada seorang mak cik tegur dan kata mahu kenalkan saya dengan anaknya yang masih solo.
“Ada juga situasi lain di mana seorang mak cik tawarkan diri sendiri untuk berkahwin dengan saya sebab suaminya sudah meninggal. Saya mudah terhibur dan anggap ia sebagai jenaka.
“Di Instagram pula saya kembali dipanggil ‘Abang Asmara’, sebenarnya gelaran itu pernah diberikan dulu ketika lagu saya bertajuk Asmara Ini meledak. Dahulu, saya juga terima banyak ajakan berkahwin sebegini. Tak sangka berlaku sekali lagi,” tambahnya.
Penyanyi itu juga berkongsi tidak pernah menutup hati andai suatu hari bertemu jodoh dengan orang baru.
“Kalau bertemu orang baru, saya bukan mahu cari pengganti. Tetapi teman hidup jika sudah sampai masanya. Cuma kalau mahu berkahwin lagi, saya tunggu usia anak perempuan saya besar. Jika tidak, saya perlu ajar anak-anak menghadapi isteri baru.
“Berkenaan ciri-ciri pula, saya mencari seorang yang manja dan beragama. Ciri-ciri itu juga ada dalam diri bekas isteri saya,” tambahnya.
‘Eyeliner’ putih, berseluar pendek?
Bukan hanya soal hati chef selebriti ini sahaja yang mencuri perhatian ramai. Malah penampilannya dengan gaya berseluar pendek dan celak berwarna putih baru-baru ini turut diperkatakan.
“Sebenarnya saya merupakan duta selebriti untuk jenama sukan Victor. Pemakaian itu pula ditetapkan oleh pihak mereka untuk sebuah pertunjukan fesyen antarabangsa.
“Bukan hanya saya sahaja yang pakai sebegitu, malah atlet lain termasuk Lee Zii Jia juga mengenakan busana sama. Saya hanya menjadi model selain terlibat dengan banyak sesi penggambaran.
“Saya maklum ramai yang komen kurang senang dengan pemakaian itu tapi ia sudah ditentukan pihak penganjur. Sebelum ini pun saya pernah muat naik gambar tidak lebih kontroversial, tidak berbaju ketika latihan sukan Muay Thai.
“Tapi sekali lagi saya katakan. Saya sudah berada lama dalam industri ini, semuanya sudah saya telan,” katanya menutup temu ramah.