TERKEJUT juga tatkala nama penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha tular di media sosial. Semuanya gara-gara dia meninggalkan komen di sesi siaran langsung anggota K-Pop, Stray Kids, Hyunjin.
Ada yang menganggap tindakan itu seperti terlalu terdesak untuk mempromosikan album baharunya, Lovelorn. Namun ada juga yang tidak merasakan apa yang dilakukan Daiyan itu satu perkara yang salah.
Lantas ada yang bertanya, tidak layakkah seorang artis untuk meminati artis lain? Adakah Daiyan tidak boleh mempromosikan album baharunya dengan cara sendiri? Apa salah Daiyan sebenarnya?
Daiyan, Jawablah!
J: Tahniah atas pelancaran album baharu, Lovelorn. Apa pengorbanan terbesar Daiyan dalam menyiapkan album baharu ini?
D: Daiyan rasa salah satunya ialah masa dan duit mungkin yang paling besar sekali. Sebagai artis yang bergerak sendiri, semua perbelanjaan untuk album ini, termasuk proses rakaman suntingan serta video muzik semua guna duit saya sendiri.
Saya juga ‘berehat’ setahun daripada menjalani sebarang penggambaran drama atau filem diberbakan mahu memberi fokus kepada album Lovelorn ini. Banyak juga tawaran yang terpaksa saya lepaskan, tetapi demi album kan. Setahun Daiyan tak masuk set berlakon untuk fokus album. Banyak juga tawaran lain yang terpaksa dilepaskan.
J: Adakah album ini bercerita tentang perjalanan hidup, cinta Daiyan yang mungkin selama ini Daiyan pendam sendiri?
D: Betul, semua lagu ditulis sendiri oleh saya. Kebanyakan lagu tentang cinta dan kisah hidup saya sendiri. Jadi kalau hendak kata perjalanan hidup, itulah saya menerusi lagu-lagu yang ada dalam album tersebut.
J: Bila Daiyan umum bersedia untuk mendirikan rumah tangga, mesti ramai yang mencuba nasib? Adakah Daiyan rasa status Daiyan sebagai selebriti, ramai peminat dan berjaya membuatkan ada lelaki yang takut mendekati?
D: Saya terima banyak pesanan terutama di media sosial, orang ajak kahwin. Kalau soal takut mendekati itu, kena tanya para lelaki itu semua. Saya sendiri tidak ada jawapan. Saya hanya jadi diri sendiri sahaja.
J: Baru-baru ni, ada pihak yang mempersoalkan tindakan Daiyan mempromosikan album dan lagu baru di siaran langsung anggota Stray Kids, Hyunjin. Kononnya Daiyan terdesdak mempromosi. Apa komen Daiyan?
D:. Saya cuma teruja untuk berkongsi sebab baru sahaja dilancarkan. Saya seperti berkongsi kegembiraan dan kejayaan dengan seseorang yang saya idolakan. Saya jadi manusia biasa sahaja, mengidolakan Hyunjin.
Saya rasa mereka (Stray Kids) sangat berbakat. Jadi saya seperti salah seorang peminat yang mahu kongsi kebahagiaan dengan mereka. Juga sebagai rakan pemuzik yang saling menyokong.
J: Adakah Daiyan terkejut dengan sikap toksik segelintir pengguna media sosial yang mungkin tersalah anggap tindakan daiyan itu?
D: Sebenarnya agak terkejut, sebab saya rasa apa yang saya buat itu tidak menyusahkan apatah lagi menganggu sesiapa. Lagipun ramai sangat yang ada dalam live tersebut, tak sangka komen saya juga jadi perhatian.
Tapi saya juga minta maaf jika ada peminat mereka, Stay yang menganggap tindakan saya itu tidak sesuai. Tetapi ramai juga Stay yang pertahan dan faham tindakan saya.
J: Berhubung kecaman itu, mungkin Daiyan ada penjelasan sendiri? Biasalah walaupun artis, masih ada idola sendiri kan.
D: Kadang-kadang mungkin mereka lupa yang saya ini pun manusia, ada minat artis lain, ada idola juga. Saya cuma fan girl je sebenarnya dalam live itu, tidak ada niat lain. I betul-betul kagumi Hyunjin sebagai seorang artis.