Kedua-dua artis ini bernama besar dan cukup popular. Bukan pasangan suami isteri tetapi sebelum ini pernah baik sehingga menghasilkan sebuah lagu popular bersama-sama.
Itu sahaja klu yang boleh Cik Bunga sebutkan. Nanti cari sendiri lah ya siapa yang Cik Bunga maksudkan.
Kisahnya, Cik Bunga diberitahu bahawa sebelum ini persahabatan dua penyanyi ini memang diketahui ramai dan akrab.
Tetapi entah macam mana, mereka kini sudah dingin sehingga artis lelaki itu bertindak tidak lagi mengikuti si penyanyi wanita berkenaan di media sosial.
Cik Bunga difahamkan, artis lelaki tersebut sebenarnya ‘terluka’ dengan tindakan penyanyi wanita berkenaan terlibat dengan satu kolaborasi acara yang tidak menyokong Palestin.
Sementara artis lelaki terbabit cukup lantang berbicara dan memperjuangkan nasib warga Palestin, dia yang bersahabat baik dengan penyanyi wanita tersebut dengarnya terkilan kerana perkara yang Cik Bunga sebutkan tadi.
Paling terkilan kerana kononnya, penyanyi wanita itu berdegar-degar sembang dan muat naik pasal Palestin di media sosial. Hujung-hujung, sanggup pula ambil ‘job’ kolaborasi dengan penyokong zionis.
Benganglah si kawan ini dengan menganggap wanita tersebut lebih fikirkan wang daripada perjuangan solidariti.
Dalam erti kata lain, si penyanyi lelaki tadi bagaikan sudah hilang hormatlah pada penyanyi wanita tersebut meskipun selama ini dia tak pernah lupa menyokong kerjaya seninya.
Tetapi betul juga ya, kalau cakap pasal solidariti Palestin ini, tempoh hari bukan main ramai artis kita muat naik pasal ini. Sekarang sudah ramai pula yang berdiam diri? Apakah sokongan juga secara bermusim?
Tunggu warganet cuit dan kuis baharulah nak muat naik lagi agaknya. Kalau Cik Bunga kata hipokrit, marah pula. Tetapi ramai sahaja yang jenis begini. Solidariti ikut-ikutan.