Cik Bunga faham, isu-isu rumah tangga ini memang sensitif kalau kita perkatakan atau bincangkan. Tetapi, tidak dinafikan, kebelakangan ini macam ramai pula kalangan rakan selebriti berdepan dengan ujian rumah tangga hingga akhirnya menyaksikan perpisahan adalah jalan terbaik buat mereka.
Di saat ramai masih tertanya-tanya apakah penghujung cerita pasangan Nur Fazura dan Fattah Amin yang bakal diketahui di mahkamah esok, sampai pula ke telinga Cik Bunga mengenai kisah pasangan sama cantik sama padan yang kononnya kini sudah tidak sehaluan lagi.
Dengar-dengarnya, hubungan mereka sudah retak dah agak lama, cuma masing-masing pandai ‘berlakon’ demi menyembunyikan ketidaksehaluan mereka itu sama ada di khalayak ramai termasuk di media sosial.
Sebenarnya ada dua versi yang Cik Bunga dengar, satu mereka bakal bercerai dan satu lagi mereka didakwa sudah pun bercerai cuma masih duduk serumah demi ‘lakonan’ tadi.
Untuk tidak mengeruhkan keadaan, Cik Bunga anggap sahaja mereka di ambang perceraian, makna kata, belum bercerai lagi.
Tetapi memang betul, kalau tengok mereka ini, andai terjumpa di acara-acara hiburan, memang nampak bahagia sangat. Tambahan pula sudah ada anak, Cik Bunga anggap anak itulah yang melengkapkan lagi kesempurnaan rumah tangga mereka.
Nampaknya, Cik Bunga salah. Bahagia yang ditonjolkan hanyalah wayang gambar sahaja. Hendak tahu betul atau tidak apa yang Cik Bunga katakan ini, nanti dengar-dengarkanlah berita mengenai pengumuman mereka ini tidak lama lagi.
Khabarnya, mereka akan umumkan mengenai perkara ini tidak lama lagi. Kita tunggu dan lihat sahajalah. Semoga yang baik-baik sahaja walau apa sekali pun keputusan yang dibuat oleh mereka.