DI Malaysia, gelaran Ratu Rock hanya dipegang Ella Aminuddin. Sampai saat ini, belum wujud individu lain yang mampu merampas gelaran tersebut daripada penyanyi ini.
Julukan yang diberikan kepada Ella bukan sekadar gelaran, tetapi satu pengiktirafan bagi segala pencapaian dan kejayaan yang dikecapi beliau sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni.
Dan tentunya perjalanan 41 tahun yang ditempuhi penyanyi asal Pulau Pinang ini sarat dengan warna warni dan turun naiknya.
Apa yang dikecapi Ella hari ini adalah bayaran dan balasan atas semua pengorbanan dan penat lelah beliau membina nama.
Mengimbau titik permulaan Ella memasuki dunia muzik tempatan awal era 80-an, perjalanannya bukan mudah.
Apatah lagi bergelar penyanyi Rock wanita dalam dunia muzik yang didominasi kaum lelaki, Ella tentu sekali di awal pembabitannya merasakan dirinya ketika itu, kerdil.
“Saya berumur belasan tahun ketika menyertai kumpulan Ella & The Boys. Bayangkan, pada usia yang masih mentah, macam mana saya mahu sesuaikan diri? Sertai pula kumpulan yang rata-ratanya lelaki. Memang saya akui saya seorang yang penakut masa itu.
“Apa pun saya berterima kasih kepada Lokman Idris atau Lord, yang mengajak saya masuk ke dalam kumpulan The Boys sebagai vokalis. Selepas itu barulah nama kumpulan itu bertukar kepada Ella & The Boys.
“Lord dan arwah isterinya, Lily banyak berjasa kepada saya. Dialah menumpangkan saya di rumahnya, sewaktu awal pembabitan saya dalam bidang muzik dan dia jugalah yang memberi tunjuk ajar mengenai perkara asas dalam bidang ini.
“Hubungan saya dengan Lord kekal baik sampai ke hari ini. Saya tidak melupakan jasanya dan sering melibatkan beliau dalam beberapa persembahan saya termasuk pada konsert saya di Axiata Arena, tahun lepas,” katanya.
Ella sedar, tanpa sokongan dan dorongan kedua ibu bapanya, Amibuddin Manap dan Yang Asmah Long, beliau tidak mungkin menjadi penyanyi yang berjaya.
Disebalik pencapaian Ella, muncul dua insan tersebut yang tidak pernah menghalang minat dan keinginan penyanyi ini.
“Ibu dan ayah tahu kecenderungan saya kepada muzik. Mereka sanggup bayar cikgu muzik untuk ajar saya main piano dan gitar.
“Kalau ditanya mengenai zaman remaja, saya akan jawab ianya adalah tempoh yang menggembirakan kerana waktu itu ibu bapa sudah pun memberi sokongan terhadap minat saya.
“Minatnya saya untuk belajar muzik sampaikan saya sanggup menaiki teksi dan bas untuk hadir kelas tersebut,” kata Ella.
Penyanyi berusia 58 tahun ini sedar yang beliau tidak boleh mensia-siakan kepercayaan yang diberikan orang tuanya.
Disebabkan itu, Ella tidak pernah memandang ringan soal muzik, sejak dulu beliau nampak masa depannya dalam bidang berkenaan.
“Saya harus membuat pilihan, antara muzik atau pelajaran. Keinginan saya lebih kepada muzik. Sebab itu sejak remaja lain saya mahu buktikan kepada ibu bapa saya yang saya serius dalam bidang ini.
“Alhamdulillah, perkara itu saya buktikan. Saya tidak bermain-main bila bercakap tentang minat dan keinginan,” jelasnya.
ELLA & THE BOYS
Ella akui, antara keputusan terbesar yang dibuat sepanjang kerjaya seninya adalah pada tahun 1988 apabila dia meninggalkan kumpulan Ella & The Boys untuk bergerak solo.
Banyak pencapaian diraih Elkah bersama kumpulan itu sejak era kegemilangan mereka pada tahun 1985.
Populariti Ella & The Boys turut meletakkan mereka sebaris kumpulan Rock ternama ketika itu seperti Search, Lefthanded, Sofea dan Rusty Blade.
“Bukan mudah untuk saya ambil keputusan meninggalkan kumpulan itu. Tapi saya pastikan betul-betul sedia.
“Saya kena juga buat keputusan, pada masa yang sama, saya takut kecewakan ahli kumpulan yang lain. Saya tak nafikan, tentu sekali ada antara mereka yang berkecil hati.
“Akhirnya saya tinggalkan Ella & The Boys tanpa mengguris hati sesiapa. Alhamdulillah, ahli lain akhirnya bersikap profesional dan menerima keputusan saya itu.
“Saya jaga hubungan kami sampai sekarang, lebih-lebih lagi abang Lord yang jasanya tak boleh saya ganti dengan wang ringgit,” kongsinya.
ELLA USA
Ternyata, Ella tidak mensia-siakan kepercayaan keluarga apabila dia memutuskan untuk menjadi penyanyi.
Boleh dikatakan, Ella antara penyanyi yang bernasib baik kerana material muzik yang diketengahkan beliau pada waktu itu bersesuaian dan disambut baik pendengar.
Kerana itu, jualan album-albumnya, antaranya Puteri Kota, Identiti laku terjual dan diterima baik.
Ella juga mampu tersenyum dengan kejayaan album Ella 30110 yang mencipta sejarah sebagai album pertama yang mencapai jualan tertinggi dalam tempoh yang singkat.
Di zaman kegemilangannya, Ella tidak pernah sepi daripada merekodkan pencapaian.
Pada tahun 1994, beliau terus menerus mencipta kejutan dengan penghasilan album Ella USA, yang mana menjadi beliau sebagai penyanyi Malaysia pertama merakam album penuh di Amerika Syarikat.
Ella USA mengulangi pencapaian Ella menerusi album sebelum ini dengan hasil jualan lebih RM350,000 dalam satu minggu dipasarkan.
“Saya bertuah, hasil jualan memberangsangkan album-album saya awal dahulu membuatkan saya berpeluang bekerja dengan orang-orang yang saya mahukan.
“Salah seorangnya adalah gitaris, penulis lagu dan penyanyi terkenal Jepun, Kyoji Yamamoto.
“Dalam album-album saya yang seterusnya pada ketika itu saya juga berpeluang menerima material dari pemuzik-pemuzik ternama antarabangsa seperti gitaris kumpulan Guns N’ Roses iaitu Saul Hudson atau Slash serta Richard Marx dan ramai lagi,” katanya.
VLADIMIR PUTIN
“Saya kenal Putin, tetapi saya tidak sedar beliaulah yang duduk sebelah saya ketika itu.”
Itu diceritakan Ella mengenai pengalaman bertemu empat mata dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin 14 tahun lalu.
“Ketika itu saya hadiri sidang media sempena acara yang berlangsung di Saint Petersburg.
“Saya tidak sedar bahawa beliau duduk sebelah saya. Ketika itu Putin asyik melihat telefonnya, lalu saya tutup telefonnya itu dan minta beliau beri tumpuan kepada acara.
“Saya agak terkejut selepas menyedari beliau adalah Putin. Risau pula saya ditahan pengawal peribadinya ketika itu,” seloroh Ella.