Itu keputusan yang paling sihat saya buat - Stacy - Utusan Malaysia

Itu keputusan yang paling sihat saya buat – Stacy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, penyanyi, Stacy mengejutkan ramai pihak selepas membuat keputusan untuk menarik diri daripada terlibat dengan konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku.

Umum tahu, konsert tersebut turut menampilkan beberapa penyanyi wanita kelahiran Sabah seperti Adira Suhaimi, Marsha Milan, Nikki Palikat, Bella Astillah, Didi Astillah dan Wany Kayrie.

Sebelum ini, penyanyi lagu Pelangi Senja itu mengakui penarikan dirinya itu kerana ada beberapa syarat utama yang sudah ditetapkan tidak dipatuhi oleh pihak penganjur.

Enggan mendedahkan secara terperinci butiran tindakannya itu, Stacy bagaimanapun memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut dan menyifatkan itu merupakan keputusan yang paling sihat dibuatnya.

J: Keputusan penarikan diri daripada konsert itu sememangnya mengejutkan ramai pihak. Tapi boleh Stacy kongsikan apa perasaan Stacy selepas membuat keputusan itu?

S: Semua benda yang terjadi ini di luar kawalan saya. Sepanjang 16 tahun dalam karier menyanyi, saya jarang hal seperti ini berlaku. Saya sedar, perkara ini melibatkan ramai pihak terutamanya peminat. Sebab itu juga saya ambil pendekatan untuk bertindak tarik diri secepat mungkin supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak.

Bagi saya, perkara ini lebih kepada menjaga nama baik saya dalam industri. Saya harap perkara ini tidak mengganggu perancangan saya di masa akan datang. Saya rasa ini merupakan keputusan saya yang paling tepat dan sihat.

J: Apa sebenarnya punca Stacy nekad tarik diri? Walaupun Stacy pernah beritahu sebelum ini, tetapi ada yang cakap Stacy macam sembunyikan sesuatu?

S: Sebelum ini, saya pernah terangkan hal ini. Walaupun banyak perkara yang saya tahu, tapi saya ambil pendekatan untuk beritahu setakat itu sahaja. Sebenarnya, saya tak suka cetuskan sebarang kontroversi. Saya dari dulu pun cuba elak buat perkara yang orang akan bercakap.

Biasalah, kalau kontroversi ini akan ada orang yang suka dan tak suka. Cuma, saya bimbang kalau memberi kesan kepada keluarga. Saya juga dah lama dalam industri, jadi saya dah faham dengan tekanannya.

Jadi, biarlah saya sahaja yang tahu sebabnya dan saya pun tak mahu panjangkan cerita. Saya juga mendoakan yang terbaik untuk perancangan mereka untuk konsert ini dipermudahkan, Insya-Allah.


J: Ada yang kata penarikan diri Stacy dari konsert tersebut kerana penglibatan Bella Astillah, betul ke itu puncanya?

S: Saya sebenarnya teruja bila dapat peluang untuk bekerjasama Bella dalam konsert tersebut. Saya juga tidak pernah bersua atau berbual lama dengan dia sebelum ini. Bila mahu kerjasama pertama kali, saya gembira sebab dapat berjumpa dan berbual juga dengan Bella.

Pada saya, bila konsert yang melibatkan ramai pihak artis ini, masing-masing tahu kepentingan mereka. Jadi, bukanlah sebab saya rasa saya lebih dikenali, saya perlu lebih ke depan, tidak. Apa yang saya boleh katakan, saya ada klien dan jenama yang perlu dijaga.

J: Adakah Stacy mempunyai perancangan untuk membuat konsert sendiri dalam masa terdekat?

S: Sebenarnya, sebelum ditawarkan untuk terlibat dalam konsert ini saya sudah dalam proses persiapan untuk adakan konsert solo di Sabah. Saya memang sudah lama merancang untuk menjayakan konsert itu. Alhamdulillah, akhirnya ada juga pihak dari Sabah yang bersetuju untuk buat konsert itu.

Walaupun ada beberapa penganjur yang datang meminta saya untuk buat konsert di Kuala Lumpur, tapi saya ‘hold’ dulu sebab nak penuhkan impian peminat di Sabah dahulu. Alhamdulillah, rezeki dapat realisasikan untuk konsert tahun depan di sana.

J: Adakah Stacy terbuka untuk bekerjasama dengan Bella Astillah atau mana-mana penyanyi kelahiran Sabah yang lain di masa akan datang?

S: Saya terbuka sekiranya satu hari nanti saya diberi peluang lagi untuk bekerjasama dengan dia. Insya-Allah, ada rezeki nanti. Asalkan gerak kerjanya profesional.

Saya sangat berbesar hati bila ada pihak yang mahu satukan semua penyanyi wanita yang berasal dari Sabah seperti kami. Saya rasa idea itu sebenarnya sangat bagus. Cuma, saya harap perkara seperti ini tidak berulang lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya