ADA bermacam pendapat bila bercakap tentang cinta lokasi. Beberapa selebriti berpandangan tidak wajar mencampuri urusan peribadi ketika bekerja kerana tindakan itu dianggap tidak profesional.
Namun perihal jodoh dan takdir tiada siapa boleh menghalang apatah lagi jika penggambaran memakan masa berbulan-bulan lamanya. Dalam tempoh itu, tidak mustahil sekiranya rasa sayang dan cinta mula berputik.
Berikut kami senaraikan lima pelakon popular Hollywood yang berjumpa pasangan di set penggambaran dan berakhir dengan perkahwinan.
Blake Lively, Ryan Reynolds
Siapalah yang tidak mengenali pasangan romantik popular Hollywood ini. Pada awalnya mereka berdua bergandingan dalam sebuah naskhah Green Lantern pada 2010. Ketika itu Ryan membawa karakter sebagai superhero manakala Blake menjadi kekasihnya. Tidak lama selepas penggambaran itu, bermulalah khabar angin bertebaran bahawa pasangan pelakon itu mula menjalin cinta.
Setahun selepas itu, mereka berdua membuat keputusan serius membawa perhubungan ini ke fasa perkahwinan. Dua tahun selepas itu mereka menimang anak pertama bernama, James.
Mila Kunis, Ashton Kutcher
Kisah percintaan pasangan ini dianggap sebagai ala sebuah cerita dongeng Hollywood. Pada awalnya, mereka berdua bertemu di sebuah set penggambaran That 70s Show menceritakan bagaimana dua orang menjalin hubungan sangat lama dengan pasangan mereka.
Selepas penggambaran tamat, Kutcher mengumumkan bercerai selepas enam tahun kahwin. Manakala Kunis mengakhiri percintaan selepas lapan tahun. Mereka kemudian bertemu kembali dan berkahwin pada 2015.
Rose Leslie, Kit Harington
Pasangan ini boleh dikatakan definisi sebenar cinta lokasi. Ketika penggambaran Game of Thrones musim kedua di Norway, mereka mengakui suasana tempat tersebut membuatkan mereka lebih mudah jatuh cinta lebih-lebih lagi dengan keindahan Northern Lights. Tambahan pula dalam naskhah itu mereka memang membawa karakter sebagai pasangan kekasih. Mereka kemudian mengumumkan berkahwin pada 2018.
Anna Paquin, Stephen Moyer
Sebenarnya, masing-masing sudahpun menyimpan perasaan semasa sesi bacaan naskhah True Blood lagi. Namun begitu, mereka saling mengendahkan perasaan itu kerana tidak mahu terpancing dengan perasaan yang sementara. Anehnya, selepas penggambaran tamat mereka tetap saling merindu antara satu sama lain.
Mereka kemudian memberanikan diri menyatakan perasaan dan berkahwin pada 2010.
Ginnifer Goodwin, Josh Dallas
Mereka berdua berjumpa pada 2011 dalam set Once Upon a Time ketika membawakan watak Snow White dan Putera Raja. Di belakang skrin, mereka berdua mula mengakui perasaan sudah berputik. Menariknya, kedua-dua pelakon ini bersetuju untuk menjadikan perhubungan mereka lebih serius. Setahun selepas itu mereka bertunang dan berkahwin pada April 2014.