AEDY ASHRAF mungkin adalah satu-satunya individu pernah bergelar pelakon cilik yang masih bertahan dalam industri lakon layar Malaysia. Anak seni seangkatannya baik Erin Malek, Elfira Loy, Nik Adruce, Fatin Afeefa, dan Syafie Naswip perlahan-lahan tenggelam timbul.
Aedy berusia enam tahun semasa melakonkan drama pertamanya. Sejak itu, set penggambaran sudah menjadi tempat permainan. Memandangkan banyak jam dihabiskan di set penggambaran, Aedy jarang mempunyai rakan sebaya. Pengarah serta abang-abang yang bertugas sebagai kru adalah kawannya sepanjang mendewasa.
Dibesarkan sendirian oleh ibu, Liza Zain, selepas bercerai, Aedy atau nama penuhnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi dipaksa cepat matang dan dewasa. Sejak kecil dia sudah pun mengambil peranan menggalas tugas untuk menjaga dan menafkahi keluarga.
“Waktu umur lapan tahun, saya sudah pun bekerja secara serius dan membayar sewa rumah. Ibu saya juga pelakon, jadi industri inilah mata pencarian kami. Saya harus akui, ini bukanlah perjalanan yang mudah.
“Pekerjaan ini bukan kerja tetap, semuanya bergantung kepada tawaran. Jika tiada tawaran, kita sudah mula gelisah. Kalau hidup tiga bulan tanpa gaji pun sudah terasa sesak, bayangkan saya pernah enam bulan tiada tawaran.
“Ketika itu usia saya 19 tahun. Penerbit tidak tahu nak posisikan saya dengan watak apa. Saya terlalu besar untuk watak remaja, tapi terlalu remaja untuk watak orang dewasa. Jadi, itulah masanya saya merasakan perjalanan saya sebagai anak seni sampai di sini sahaja,” dedah pemuda 30 tahun itu secara eksklusif kepada Pancaindera.
Lakonan cinta pertama
Demi memastikan keluarga mempunyai tempat berteduh dan cukup makan, Aedy mengambil keputusan drastik meninggalkan dunia hiburan dan mengambil lesen menjual insurans selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya sebenarnya sudah putus asa dengan kerjaya lakonan. Tawaran juga semakin sepi. Takkan saya mahu merayu setiap produksi yang ada untuk ambil saya bekerja. Fasa itu sangat menyakitkan.
“Jadi saya kerja sebagai penjual insurans. Harus diakui saya tiada jiwa langsung melakukan pekerjaan itu. Hampir setahun juga saya jual insurans. Kemudian saya buat keputusan untuk kembali.
“Saya ingat lagi, saya baru tukar nombor telefon bimbit ketika itu. Entah bagaimana ada produksi telefon tawarkan berlakon sebuah drama. Sejak itu saya bertekad tidak akan tinggalkan industri ini, saya akan kekal di sini walau seratus tahun lagi,” katanya.
Menurut calon Aktor TV Popular, Anugerah Bintang Popular 2023 itu lagi, walaupun sudah berlakon dalam 117 naskhah, dia mengakui tidak semua karya yang dijayakan membuatnya bangga.
“Tidak boleh tipu bahawa ada projek yang saya ambil kerana duit. Saya perlukan duit untuk sambung hidup. Selalunya saya akan jadi sangat penat setiap kali pergi ke set penggambaran. Suasana itu sangat tidak sihat.
“Namun semuanya berubah sehingga saya berjumpa Razaisyam Rashid yang mengarahkan Projek: Anchor SPM. Saya mula rasa inilah sebuah pembikinan filem yang sebenar.
“Kita tahu budaya dalam industri sudah semakin baik apabila kita tidak lagi dikerah bekerja lebih 12 jam dan pengarah hari ini terbuka mendengar idea baru daripada pendatang muda.
“Bayangkan dulu, waktu usia saya 16 tahun, saya pernah kerja sampai 28 jam. Sangat letih dan bahaya juga untuk kru jika tidak ada rehat yang cukup kerana mereka kerja angkat barang berat,” jelasnya.
Panggil saya encik Pengarah
Sudah 24 tahun bekerja sebagai pelakon, kini, Aedy Ashraf ceria ketika berkongsi bahawa dirinya sudah bersedia untuk bergelar seorang pengarah. Aedy dalam proses untuk menyiapkan filem pertamanya yang diarahkan bersama mentor juga rakannya, Razaisyam Rashid.
“Saya akan terbitkan dan arahkan sebuah filem sendiri tahun hadapan. Memang semua ini adalah cabang rezeki yang dibukakan Tuhan. Tapi juga, ini adalah peluang yang diberikan Razaisyam di mana mungkin dia nampak sesuatu dalam diri saya sebagai pengarah.
“Malah saya sendiri tidak sangka, dulu saya hanya tonton filem CEO arahannya, kini kami bakal jadi sepasukan dan bergandingan menghasilkan filem kesukanan bersama-sama.
“Dunia lakonan masih cinta pertama yang tidak mungkin saya lupakan. Tapi bidang kepengarahan adalah sesuatu yang ingin saya kembangkan kerana saya ada cerita yang mahu dikongsikan,” katanya yang kini masih di peringkat penyusunan jalan cerita dan penulisan skrip.
Ditanya apakah isi filem yang bakal diterbitkan tahun hadapan, Aedy tersenyum manis.
“Sedikit bayangan, memandangkan saya suka bola sepak. Jadi filem itu akan menceritakan sisi gelap sukan boleh sepak yang ramai tidak tahu. Selebihnya, tunggu tahun hadapan,” katanya menutup temu ramah.