Officer Black Belt: menyengat cukup rencah - Utusan Malaysia

Officer Black Belt: menyengat cukup rencah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMA betul tidak nampak Kim Woo-bin menyarung jersi pelakon utama dalam mana-mana filem. Syukur kerana kansernya sudah hilang dan kita kembali mendapat Woo-bin di layar menerusi Officer Black Belt (OBB), sebuah naskhah yang kini sedang panas dibualkan di media sosial.

Mengisahkan tentang Lee Jung-do lakonan Woo-bin yang hidup biasa sahaja, tidak mempunyai makna hidup yang besar. Kehidupan sehariannya hanya bermain permainan video dan bekerja sebagai penghantar ayam goreng dari perniagaan bapanya.

Namun semuanya berubah ketika dia menyelamatkan seorang pegawai seni pertahankan diri daripada dibelasah oleh seorang bekas bantuan.

Saya sebenarnya baru tahu pekerjaan ini wujud di Korea Selatan iaitu pegawai yang ditugaskan untuk memerhati bekas banduan kes kriminal melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang memakai gelang penjejak elektronik.

Officer Black Belt Kim Woo-bin as Lee Jung-do in Officer Black Belt. Cr. Soyun Jeon/Seowoo Jung/Netflix © 2024

Perjalanan heroik sederhana dan indah

Baik, mari kita gali sedikit lebih panjang mengenai filem ini. Pertama, saya sebenarnya menyukai perjalanan heroik seperti watak Lee yang lebih dekat dengan kebanyakan orang.

Kita tidak perlu mempunyai sejarah terlalu hitam untuk menjadi sosok penting dalam masyarakat seperti naskhah sebelum ini. Seolah-olah hal ajaib dan indah hanya akan terjadi kepada orang yang bernasib sungguh sial.

Lee pada awalnya hanya mencari ruang, kesempatan dan pekerjaan yang membuat hidupnya lebih seronok seperti dialognya bersama pegawai Kim. Tapi semakin lama bergelar pegawai dan membantu masyarakat, Lee sedar bahawa kepuasan dalam hidup bukan didapati daripada keseronokan, tapi makna yang kita berikan dalam kehidupan.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa ritma (pace) filem ini perlahan untuk sebuah filem aksi. Namun saya berpendapat berbeza, saya yakin beberapa adegan perlu bergerak perlahan untuk menyuguhkan rasa seperti dialog Lee memujuk seorang bekas banduan daripada bunuh diri.

“Adakah awak melalui hari yang sukar hari ini? Saya yakin hari di mana awas bebas memakai gelang penjejak ini akan tiba. Saya berjanji akan temani awak sampai ke detik itu,” kata dialog itu lebih kurang begini. Sangat dalam, cermat dan tidak terasa plastik.

Aksi mantap, menyengat

Bukan itu sahaja, karakter Kim sebenarnya agak berat kerana dia perlu mahir tiga seni mempertahankan diri sekali gus iaitu taekwondo, kendo and judo.

Namun, Woo-bin berjaya meyakinkan kita bahawa dia sememangnya mempunyai tali pinggang hitam untuk kesemua aksi tersebut. Pujian harus saya berikan untuk aksi filem ini terutama adegan berlawan dengan patung yang sempurna, cukup debar dan rencahnya. Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana aksi filem ini tetap membawa unsur budaya Korea Selatan.

Bukan hanya menekankan seni bela diri daripada negara itu, malah latar adegan berlawan juga berlaku di tempat penyediaan dan sos gochujang siap bertempayan. Di kala aksi filem kita masih di pasar atau di bangunan terbiar entah mana-mana.

Cuma mungkin satu-satunya yang saya rasa kurang menyengat dalam naskhah ini ialah empat sahabat Lee tidak mendapat masa yang lebih banyak di skrin. Seandainya adegan dan pembabitan mereka lebih banyak, rasa setia kawan mungkin lebih mencengkam kita rasai sampai ke hujung filem.

Apapun, ini adalah cerita aksi yang haram anda ‘skip’ bulan ini. Silakan tonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya