BERBAKI lebih tiga bulan lagi penyanyi bertaraf legenda, Datuk Jamal Abdillah bakal menimang cahaya mata kelima hasil perkongsian hidup dengan isteri, Zai Izzati Khairuddin, 28.
Tentunya, Jamal menjadi antara insan yang paling menantikan momen bahagia tersebut yang akan diraikan
sekitar Januari tahun depan.
Meskipun mensyukuri kehadiran cahaya mata sedia ada, Jamal tidak mampu menolak ketentuan untuk menambah zuriat pada usianya yang sudah menjangkau lebih enam dekad.
“Soal zuriat, saya sebenarnya sudah lama mengalah. Di usia 65 tahun, bukan lagi fasa untuk saya membesarkan anak. Sepatutnya, saya berehat, tengok anak-anak menjadi dewasa, mendirikan rumah tangga.
“Bahkan, saya pernah berbincang dengan isteri, terfikir minta isteri lakukan proses ikat peranakan.
“Namun, sebaliknya yang berlaku. Isteri saya hamil lagi, menandakan saya masih perlu jaga anak yang masih kecil, pakaikan lampin dan bancuh susu. Semuanya saya kena buat sendiri.
“Tapi bila difikirkan semula, anak adalah antara rezeki yang Allah bagi. Wajib untuk saya jaga pemberian Tuhan dengan sebaiknya, besarkan dan beri mereka pendidikan. Mungkin ini juga penyucian dosa-dosa saya yang lalu. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan saya dan isteri,” katanya.
Dalam kebanyakan warganet bergembira dengan berita baik yang dikongsi Jamal dan isteri, ada juga yang
mengecam, mendakwa penyanyi itu sengaja membiarkan isterinya yang baru melahirkan awal tahun lalu,
hamil lagi tahun ini.
Kata Jamal, beliau tidak mampu menghalang orang bercakap.Beliau tetap bersyukur kerana masih dikurniakan zuriat pada usia lanjut.
“Orang kata saya tak rehatkan isteri daripada mengandung lagi. Cakaplah apa sahaja, kecamlah. Itu masalah mereka.
“Anak adalah pembawa rezeki. Kita fikir susah nak jaga mereka, tetapi sebenarnya tidak. Ini rezeki masing-masing.
“Mungkinkerana anak rezeki saya bertambah. Kalau ikutkan,saya ini sudahlanjut usia, siapa mahu ambil
menyanyi? Tapi lain pula yang berlaku, hampir setiap hari saya dapat tawaran menyanyi. Ini semua rezeki
anak. Saya hanya perantara,” kongsinya.
KEKAL ‘MENYENGAT’
Jamal adalah penyanyi lama yang masih ‘berbisa’, yang sampai ke hari ini kekal laris di pasaran. Hadirlah ribuan penyanyi baharu sekalipun, belum ada yang dapat menandingi beliau.
Dan sampai ke hari ini, penyanyi yang mendapat julukan Raja Pop Malaysia ini masih tidak menang tangan menerima undangan untuk membuat persembahan.
Setiap tahun, bukan sedikit konsert berskala besar yang beliau jayakan. Itu belum lagi undangan membuat persembahan di hujung minggu dan hari biasa.
Jamal bersyukur, susah payah membina nama, disiplin dalam bekerja akhirnya membuahkan hasil. Katanya, beliau sendiri sukar percaya, pada usia lebih enam dekad, bakat beliau masih masyarakat raikan.
“Alhamdulillah, pada usia 65 tahun, Allah kurniakan saya kesihatan dan kemampuan untuk menyanyi dengan baik. Malah, permintaan untuk membuat persembahan masih tinggi.
“Pada usia sekarang, saya kena selalu promosi diri setiap masa. Penampilan harus sentiasa dijaga dan jangan sombong, sentiasa bergaul dengan masyarakat.
“Tahap nyanyian juga perlu sentiasa diperbaiki. Ada rutin harian untuk jaga stamina dan kesihatan. Bila seorang penyanyi jaga semua ini, orang akan bertambah yakin untuk tawarkan untuk membuat persembahan,” katanya.
Ada waktunya, penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini terpaksa akur, beliau bukan mesin atau robot, turut diuji dengan sakit dan pelbagai kekurangan.
“Saya manusia, ada masa kesihatan tidak mengizinkan sehingga menjejaskan nyanyian. Bila berada dalam keadaan itu, saya nyanyi ikut kemampuan, bawa lagu yang mudah.
“Penyanyi kena bijak, harus pandai mengatur perjalanan kerjaya,” kongsinya.
KALIS KECAMAN
Perjalanan karier nyanyian Jamal Abdillah sepanjang lebih lima dekad banyak turun naik dan warna warninya.
Kerjaya seni beliau dilukis pelbagai kontroversi, meringkuk dalam penjara akibat penyalahgunaan dadah pada tahun 1984 selain terkait isu khalwat pada tahun 1986.
Pengalaman mematangkan. Kontroversi dilalui beliau menguatkan seorang Jamal. Penyanyi ini kalis kecaman.
“Zaman kontroversi memang memberi tekanan. Ibaratnya, kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipenjarakan, saya juga begitu. Saya tidak cipta kontroversi-kontroversi tersebut. Itu adalah proses kehidupan saya dan saya jalani sahaja.
“Dulu saya puas dihina, caci maki itu perkara biasa buat saya. Tapi, apa yang saya lalui dulu, menguatkan diri saya sekarang.
“Jamal Abdillah hari ini seorang yang tabah. Datanglah apa juga kecaman sekali pun, langsung tidak menggoyangkan saya,” katanya.
Jamal bagaimanapun tidak menolak kesan positif kontroversi kepada kerjaya seseorang artis.
“Kontroversi membantu melonjakkan nama artis. Ia menjadikan kita popular. Perkara itu terbukti,” katanya.
RAJA POP
“Saya tidak cari gelaran itu, orang yang bagi.” Begitulah jawapan Jamal saat dilayangkan pertanyaan mengenai gelaran yang dipegang beliau itu.
Kata anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini, gelaran tersebut tidak melahirkan rasa bangga atau tinggi diri, tetapi keinginan untuk sentiasa perbaiki diri.
“Raja Pop itu diberikan kepada saya oleh industri seni. Orang bagi, saya terima.
“Tetapi, ia datang dengan tanggungjawab. Kadang ada show yang saya tolak. Bukan kerana pilih bayaran, tetapi mutu persembahan.
“Sistem bunyi mengecewakan, pentas asal siap. Sebagai penyanyi yang mendapat gelaran Raja Pop, saya kena jaga mutu persembahan. Kena beri setaraf gelaran yang saya pegang.
“Tak mahulah orang kemudian hari persoal, macam inikah Raja Pop menyanyi?” ujarnya.
BUKAN KACANG LUPAKAN KULIT
Gara-gara meninggalkan syarikat rakaman WEA (kini Warner Music) pada tahun 1985, Jamal Abdillah pernah dilabel kacang lupakan kulit, tidak mengenang jasa.
Mungkin, pada zaman itu, tidak banyak penjelasan diberikan Jamal mengenai keadaan sebenar yang berlaku berikutan penarikan diri daripada syarikat tersebut.
“Ketika bernaung dengan WEA, saya diletakkan di bawah bimbingan Allahyarham Datuk Ahmad Nawab.
“Tindakan saya keluar WEA adalah kerana mengikut jejak beliau yang juga meninggalkan syarikat itu untuk menyertai label MRC. Itu sahaja.
“Dakwaan kacang lupakan kulit dan bermasam muka dengan Allahyarham adalah tidak benar sama sekali,” jelasnya.