YOLO: Bukan sekadar filem perempuan gemuk, kurus - Utusan Malaysia

YOLO: Bukan sekadar filem perempuan gemuk, kurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA berasa ada satu kewajiban untuk menulis ulasan ini walaupun filem ini belum lagi tular atau dibincangkan hebat di laman sosial. YOLO mungkin bukanlah filem pilihan ramai jika anda hanya menilai naskhah berdasarkan kepada poster – perempuan berisi dalam pakaian sukan tinju.

Ia tidaklah terlalu istimewa dan menarik jika mahu dibandingkan dengan deretan poster di pawagam yang lain.

Namun, saya tidak menyangka YOLO yang diambil daripada ringkasan perkataan bahasa Inggeris ‘Yolo Only Live Once’ begitu memukau dan bukanlah cerita heroik sukan yang tipikal. Ia dibuka dengan Le Ying (lakonan Jia Ling) seorang perempuan berbadan besar dengan berat 100 kilogram tidak bekerja berbaring di dalam rumah.

Cukup tepat menggambarkan atau paling tidak membuat penonton menyangka betapa tidak bergunanya perempuan 32 tahun itu tiada matlamat hidup. Namun, Le Ying adalah yang paling berharta berbanding dua adiknya yang lain, kerana mempunyai sebuah rumah yang diwariskan atas namanya oleh arwah nenek.

Kemudian perlahan-lahan tanggapan itu pudar melalui siri kejadian yang tidak boleh saya ceritakan bagi mengelakkan spoiler.

Namun, cukup baik untuk membuatkan saya terfikir bahawa pengarah sekali gus pelakon utama filem ini, Jia Ling adalah tukang cerita yang menawan.

Kekuatan filem ini terletak kepada lakonan serta perjalanan plot yang sangat nyata. Selepas melakukan pembacaan, barulah saya tahu rupanya Jia Ling, memang mengambil inisiatif untuk menurunkan berat badan dan belajar bertinju untuk filem ini. Sebab itulah ia mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Pengorbanan Jia Ling

Jia Ling menurunkan berat badan kerana latihan intensif menjadi ahli tinju. Satu-satunya impian yang dia ada selepas beberapa tahun hidup dalam kelesuan dan mengorbankan hidup demi orang lain.

Perubahan yang dilakukan Le Ying bukanlah kerana dendam tidak mendapat cinta seorang lelaki. Tapi kerana tekadnya setelah dibeirkan hidup sekali lagi. Bahkan selepas dia kurus, penampilannya bukanlah tipikal bentuk badan model. Tapi sangat tegap, tegas sama seperti bentuk tubuh seorang atlet.

Namun, yang paling menarik perhatian saya ialah bagaimana Jia menggarap naskhah ini dengan simbolisme dalam sentuhan sinematografi. Misalnya ketika Le Ying dalam baju berwarna kuning memanjat tangga selepas pulang daripada rancangan televisyen.

Setiap kali Ling memanjat tangga dan kedudukannya semakin tinggi, tiba-tiba hujan lebih lebat turun seolah-olah menyatakan akan selalu ada musibah lebih besar setiap kali wanita itu mahu mengangkat kedudukannya.

Tambahan pula ketika itu dia menyarungkan baju kuning yang selalu ditafsirkan sebagai keadaan yang penuh ilusi. Boleh jadi adegan itu berdiri antara garis halus antara nyata dan tidak.

Memang Ling semalam malam hujan dan tragis itu sudah sangat putus asa, seolah-olah fikirannya tidak lagi waras ketika itu kerana perlu bertahan dalam kesakitan.

Namun apa mustahak tentang YOLO, ia bukanlah cerita tentang tinju akan perempuan dari gemuk menjadi kurus. Tapi tentang bagaimana kita memberi definisi kepada maksud kemenangan.

Juga, tidak keterlaluan untuk saya katakan, inilah filem mengenai mengenal dan mencintai diri sendiri yang sebenar. Dalam hidup yang serba tergesa-gesa dan kemaruk berlumba-lumba, YOLO, seolah-olah memberi jeda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN