Sikap itu yang memusnahkan diri saya -Marsha Milan - Utusan Malaysia

Sikap itu yang memusnahkan diri saya -Marsha Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING mempamerkan gelagat manja disulami tawa-tawa besarnya sebagai tanda betapa dirinya mudah terhibur dengan jenaka-jenaka melucukan, Marsha Milan cukup disenangi ramai dengan karakter bersahajanya itu.

Juga merupakan seorang yang ‘gila-gila’ jika sudah selesa berbual rancak dengan individu yang dikenali, penyanyi kelahiran Sabah ini mungkin difikirkan sudah cukup bahagia dengan kehidupannya dengan bonus bebas masalah.

Pun begitu, siapa sangka, di sebalik hora horey dan glamornya diri bergelar seorang penyanyi yang hebat di pentas seni, Marsha juga sedang menyembunyikan satu hal yang baginya sukar untuk dikikis.

Bukan mahu ‘menjual’ kisah sedih, jauh sekali meminta perhatian orang, tetapi kata Marsha apa yang dikongsikan ini sekadar luahan sederhana yang mungkin dekat dengan mana-mana individu lain yang menjalani hal serupa.

“Kebanyakan orang melihat atau mengenali saya sebagai seorang Marsha yang ‘happy go lucky’. Suka bergelak ketawa dan mesra. Ya, memang tidak dinafikan itu memang diri saya jika berada dengan orang lain di luar.

“Tetapi apa yang orang tidak tahu, saya memiliki satu lagi sisi diri lain yang bagi saya, tidak berapa menarik untuk dikenali.

“Saya seorang individu yang terperangkap dengan sikap negatif iaitu terlalu berlebihan berfikir atau disebut sebagai overthinker,”katanya.

Anehnya, kata Marsha, dia tahu keadaan itu tidak bagus untuk kesihatan mentalnya namun sukar untuk membuang sikap tersebut yang datangnya tanpa diminta.

“Kalau saya bersendirian di rumah,itulah yang datang. Fikiran akan jadi kacau kerana terlalu memikirkan bermacam-macam benda. Malahan perkara yang belum terjadi pun.

“Namun ia membuatkan saya rasa ‘lost’ sebab tidak tahu bagaimana cara untuk menghentikannya.
Kemungkinan perasaan atau sikap ini muncul kerana saya wujudkan banyak persoalan di minda. Biasalah adakala kita pun rasa ‘down’ dengan kerjaya dan sebagainya.

“Padahal, ia tak ada benda pun atau perkara yang tidak penting tetapi ia berlegar-legar dalam kepala saya. Natijahnya masalah ‘overthinking’ ini atau sikap ini pada satu tahap akhirnya boleh merosakkan diri. Dan saya sedar akan hal itu,” luahnya.

Kongsi penyanyi lagu Cinta dan Hening Rindu ini lagi, dalam senario kacau bilau yang berlaku pada dirinya, syukur menjadi satu titik besar yang menarik semula dirinya keluar daripada ribut fikirannya itu.

“Mungkin apa yang terjadi ini kerana saya terlalu mendalam memikirkan sesuatu hal. Sebab itu, juga agaknya, Allah kurniakan suami saya, Mohamed Syaiful Nizam, hadir dalam hidup ini.

“Dia seorang yang sangat memahami. Dia juga yang mampu menyeimbangkan diri ini selain orang terdekat yang sayang dengan diri ini seperti keluarga dan sahabat.

“Saya akui adakala dihimpit dengan perasaan yang tertekan kerana keadaan itu sampaikan pada setiap kalinya saya susah tidur malam.

“Tetapi saya syukur sangat kerana dalam hiruk pikuk fikiran, saya tahu ada wajah-wajah tersayang yang akan menyuntik semangat dan positiviti,”katanya.

Bukan penakut

Mengaitkan keadaan tersebut dengan situasi di mana semakin ramai pengguna media sosial bersikap keterlaluan ketika melontar pendapat dan kritikan di ruangan maya, Marsha mengakui dia adalah antara artis yang sedaya boleh mahu ‘menyelamatkan’ diri daripada berada dalam kekacauan itu.

Baginya, berdepan dengan tajamnya kata-kata orang yang entah dari mana, tambahan pula mereka berani dengan menyorokkan identiti sebenar di sebalik akaun palsu, semua itu tidak betah buatnya.

“Saya ini jarang bermain Instagram atau Tik Tok, bukan sekadar tidak pandai sangat tetapi saya juga risau benda-benda begitulah. Sebab sesetengah orang bila dia guna media sosial, mereka sangat melampau dalam memberi komen.

“Saya lihat diri sebagai seorang yang tidak kuat untuk mengendalikan situasi seperti itu. Mungkin orang lain boleh tetapi tidak untuk saya. Ia boleh buat saya rasa sangat gementar untuk terus berada dalam industri seni.

“Tetapi saya faham, mahu atau tidak tetap kena hadapi. Cuma bagi saya, ‘bingitnya’ kata-kata itu adalah satu keadaan yang tak perlu jadi saya pilih untuk elak,”katanya.

Pun begitu, Marsha tidak menolak, adakalanya orang yang menulis di sebalik kata-kata tajam yang dilontarkan atas tiket komen atau pendapat,datangnya daripada individu yang tidak disangka-sangka.

“Sebagai contoh, boleh jadi kita akan terkejut bila tahu orang yang melakukan buli siber itu adalah seorang individu introvert atau remaja sekolah misalnya. Kita nak mahu keadaan itu.

“Bagi saya sepatutnya, media sosial ini digunakan untuk tujuan yang baik. Contohnya perkongsian yang bermanfaat, informasi, pendidikan dan untuk mencipta positiviti,”katanya.

Marsha juga tidak menolak bahawa dirinya pernah berdepan dengan situasi seperti itu namun lega kerana sama ada pengurus atau suaminya, banyak memberi nasihat dan membantunya mengawal keadaan.

“Pernah sahaja terjadi pada diri tetapi dua individu penting ini akan suruh saya padam sebarang hantaran yang mengundang kecaman supaya perkara itu tidak berpanjangan.

“Biarlah orang kata saya ini penakut atau apa, saya pilih untuk tak mahu melayan benda-benda yang membawa ke arah negatif atau tak seronok untuk dilihat.

“Bukan saya ini menafikan realiti, tetapi saya tidak mahu kerana tahu diri tak boleh nak kawal fikiran dan emosi,”katanya.

Langkah menjadi

Dalam pada itu, mengajaknya berbual mengenai progres kerjaya seninya yang kini semakin menampakkan hasil, kata Marsha, dia juga tidak menyangka banyak tawaran dan peluang datang kepadanya biarpun sebelum ini pernah hiatus sebentar dari dunia seni.

“Sebelum ini, tidak ada banyak sangat tawaran menyanyi sebab masa itu lakonan lebih menyerlah. Tetapi saya tetap menyanyi biarlah orang kata syok sendiri atau apa, saya buat saja.

“Saya juga hasilkan lagu pakai duit sendiri, dari situ mungkin orang nampak yang saya semakin berkembang. Memang tak dinafikan, ada satu masa pernah sahaja saya rasa macam nak putus asa.

“Sebab bila sudah keluarkan duit untuk terbitkan lagu bukannya mudah dan murah, satu lagu boleh sampai RM10,000. Kadang-kadang kita tutup mata sahajalah sebab minat dan nak ada lagu.

“Dulu, dalam setahun adalah satu lagu saya buat. Sekarang dalam setahun, dua atau tiga lagu saya buat, Alhamdulillah. Saya fikir, kalau kerjaya ini yang saya pilih meskipun tidak semuanya indah, kita jalani sahaja.

“Tentulah setiap perkara akan ada pengorbanannya dan buat kita rasa putus asa, tetapi apa yang selalu menjadi penguat semangat saya adalah peminat. Merekalah sumber kekuatan untuk saya terus berlagu,” katanya.

Pada masa sama, Marsha juga meluahkan rasa syukur kerana dalam tempoh empat tahun ini, kejayaan demi kejayaan diraihnya sekali gus mengukir rasa bangga di jiwa.

“Semua yang saya raih kini bukan satu perkara yang disangka-sangka. Alhamdulillah, saya akhirnya dapat platform yang sesuai sehingga pelbagai pihak daripada luar negara juga mahu bekerjasama dengan saya.

“Saya tahu kalau mahu lebih maju, saya tidak perlu takut untuk beri peluang untuk terus berkembang. Yang penting kena terus hasilkan lagu,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya