Saya pejuang keluar dari keganasan rumah tangga - Nelissa Nizam

Saya pejuang, keluar dari keganasan rumah tangga – Nelissa Nizam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU dihitung graf lonjakan namanya dalam industri seni hiburan, boleh dikatakan dia antara pelakon wanita yang semakin meningkat naik. Bakatnya mula diperakui namun populariti sedikit lambat memeluk diri.

Mungkin Nelissa Nizam bukan manusia yang memerlukan sensasi untuk mencipta populariti. Tetapi dia juga sedar pelayaran seninya akan bertambah jauh dan lama. Bukan mudah mencipta nama.

Apatah lagi, kehadiran pelakon baharu saban hari mungkin menambah kegusaran. Jika salah umpan, maka lama kelamaan namanya akan hanyut dibawa arus. Hidup sebagai anak seni, tidak boleh goyang kaki.

“Pernah juga saya melalui episod kecaman, terutama ketika bergandingan dengan Zul Ari n satu ketika dulu. Orang cakap saya tidak sesuai, tak cantik. Terlalu baharu untuk berlakon dengan hero Malaya itu.

“Tetapi saya bangga dengan diri sendiri. Bukan jenis melenting, menunjukkan rasa sedih dan tertekan depan orang. Saya melalui episod itu dengan tenang dan percaya, satu hari nanti saya mampu buktikan.

“Sekarang Alhamdulillah, tawaran itu sentiasa ada terutama selepas drama Di Bawah Payung Awan di Viu. Orang mula nampak bakat saya. Itu adalah naskhah yang saya tunggu sekian lama. Mencabar tetapi berbaloi,” ujarnya.

Namun sedar atau tidak, watak Hanan dalam drama tersebut memberi impak sangat besar dalam hidupnya. Dia sehingga sekarang sukar memisahkan diri dengan kehidupan dan kesengsaraan yang ditanggung watak tersebut.

Apatah lagi, dia sendiri pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga yang sehingga sekarang mungkin masih berbekas dalam hati dan fikirannya. .

“Memang itu adalah watak impian saya. Saya menunggu watak jahat yang mempunyai motivasi dan mesej tersirat. Memang susah hendak move on. Hanan sangat dekat dengan diri saya, beri impak yang besar.

“Saya sendiri mangsa keganasan rumah tangga. Saya membesar dengan keadaan yang sangat menyeksa jiwa dan raga. Saya tidak malu untuk bercerita, sebaliknya bangga sebab mampu keluar daripada keadaan itu.

“Saya lihat diri saya sebagai pejuang. Untuk bernafas di tahap ini juga sudah membuatkan saya bersyukur. Saya tahu ramai yang melalui keadaan sama. Kita semua pejuang. Saya tidak lihat diri saya sebagai mangsa lagi,” ujarnya.

BANGKIT MELAWAN DUNIA

SUKAR sebenarnya untuk dia membuka bicara tentang apa yang berlaku. Biarpun dia sudah berani bangkit namun pastinya ada trauma yang tersisa.

“Dari kecil, jiwa kami meronta untuk keluar dari rumah itu. Jiran kami menggigil sebab dengar kami dipukul setiap hari. Tetapi mungkin mereka takut sampai tidak ada seorang pun berani telefon polis.

“Keadaan itu berlanjutan sampai usia saya 15 tahun. Bila kami berjaya keluar rumah, saya rasa kehidupan ini baru sahaja bermula. Saya tidak ada penyesalan, apa yang berlaku mengajar kami semua sesuatu.

“Saya tidak akan sesekali kembali ke kehidupan sebegitu dan saya akan pastikan anak-anak saya kelak tak akan melalui itu. Sebab itu watak Hanan betul-betul dekat dan bermakna buat saya,” ujarnya.

Tambahnya, ramai peminat yang berkongsi kisah mereka sendiri yang samasama melalui episod keganasan rumah tangga ketika drama tersebut ditayangkan.

“Saya bersyukur, watak itu buka mata banyak pihak untuk berani bersuara, berkongsi beban trauma, derita yang ada dalam diri mereka.

“Tidak mudah sebenarnya, saya sendiri bertahun kumpul keberanian. Tetapi melalui watak itu, saya harap kita semua mula sayangkan diri dan percaya dengan kemampuan,” kongsinya.

Lantas bagaimana dia bangkit semula? Bagaimana dia melalui setiap satu tragedi yang pernah menimpa dirinya? Apatah lagi, lumrah seorang anak seni, tidak dapat lari dari kecaman dan kritikan?

“Tertekan? Pernah. Hampir kemurungan? Juga pernah. Saya juga pernah hilang diri sendiri. Malu hendak berhadapan dengan masyarakat. Banyak kunci diri dan tidak mahu keluar. Sangat reserved.

“Tetapi sekarang saya ada sistem sokongan yang sangat membantu dan sentiasa ada. Saya boleh dengar apa sahaja kritikan dan kecaman. Saya tidak respons apatah lagi membenarkan kata-kata melukakan hati.

“Itu akan mengambil masa. Tetapi saya banyak muhasabah diri, bersangka baik dengan Tuhan,” ujarnya.

NYANYIAN, LAKONAN

Mula mengalih perbualan ke arah yang lebih ceria, saya layangkan pertanyaan, di mana Nelissa Nizam lima tahun akan datang? Di balik relung matanya, terlihat keterujaan dan sinar impiannya.

“Lima tahun akan datang ya? Saya bukan hanya seorang pelakon yang mungkin ketika itu, berada di tahap yang berbeza dengan apa yang saya kecapi sekarang. Lebih matang dan ‘dewasa’ dalam membuat keputusan.

“Saya juga melihat diri sebagai seorang usahanita. Ya, saya mahu berjaya bukan sebagai anak seni sahaja tetapi usahawan yang dalam masa sama, membantu mereka yang memerlukan dan mencari rezeki.

“Tapi kalau tanya pasal cinta? Alamak, itu biarlah Tuhan yang menyusun atur. Saya belum terfikir lagi. Sekarang saya fokus dengan kerja. Cinta tunggu dulu ya,” selorohnya.

Tetapi tidakkah dia rindu untuk kembali menyanyi? Tidakkah dia melihat dirinya sebagai seorang penyanyi juga lima tahun akan datang? Sementelah, dia juga dikenali sebagai bekas anggota The Gadys.

“Oh saya memang rindu dengan dunia nyanyian, rindu hendak menari dan membuat persembahan di atas pentas. Tetapi dulu saya jiwa muda, semua benda nak buat dalam satu masa.

“Sekarang saya belajar untuk fokus dan kumpul tenaga dalam satu tujuan, lakonan. Saya mahu buat perkara (berlakon) yang saya suka dengan bersungguh-sungguh. Dulu bolehlah berangan nak buat semua.

“Tetapi jadual bersepah, jadi overwork, terlampau penat. Bila terjadi situasi itu, kerja jadi kelam kabut. Saya tak mahu itu terjadi lagi. Saya nak fokus lakonan terlebih dahulu,” kata pemegang trofi Artis Bintang Harapan Telenovela 2024 itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya