JIKA Datuk Jamal Abdillah ialah Raja Pop Malaya, tidak keterlaluan jika ada yang mengangkat Joe Flizzow sebagai Raja Hip Hop Malaya. Karyanya mendunia, menjadikan dia sebagai idola dan inspirasi anak muda.
Peribadinya juga disenangi. Tidak pernah lagi peminat industri muzik terdengar cerita kurang manis tentang penyanyi seorang ini. Fokusnya kepada kerja, perjuangannya dalam dunia muzik tiada bersempadan.
Namun di tahapnya sekarang, ada yang beranggapan dia memilih persembahan atau konsert yang hanya bergred A. Ada yang dakwa, sukar untuk penganjur festival muzik kecil-kecilan mendekatinya. Benarkah?
Jawablah mendapatkan penyanyi Satu Malam Di Temasek ini. Joe, Jawablah!
J: Ketika ini, di era media sosial dan keterbukaan muzik, bagaimana Joe melihat penerimaan dan perkembangan genre hip hop terutama dalam industri seni tempatan?
J: Kita tidak perlu lihat jauh, data menunjukkan hip hop kini adalah satu genre yang diterima semua lapisan masyarakat. Tidak kira umur, jantina, kaum dan kepercayaan. Kita ada banyak lagu dan kumpulan hip hop yang berjaya.
Sebagai contoh PP Di Bukit Tabur yang berada di carta lima lagu popular dalam negara. Tanpa bantuan media mainstream skala besar pub lagu tersebut berjaya jadi yang popular untuk berminggu-minggu.
Banyak lagu genre hip hop yang berjaya. Ini membuktikan genre ini diterima. Mungkin dulu orang cakap hip hop ini budaya Barat, bawa impak negatif tetapi kita berjaya ‘meMalaysiakan’ hip hop secara positif.
J: Adakah selera pengdengar terhadap muzik sudah berubah kerana pengaruh media sosial dan keterbukaan muzik tanpa sempadan sekarang?
J: Ya, tepat. Hip Hop akan kekal sebagai muszik ‘orang muda’ tetapi sekarang kuasa membeli tidak hanya di pendengar usia 15 dan 16 tahun tetapi kanak-kanak usia empat dan lima tahun, mereka juga ‘juri muzik’
Evolusi muzik sekarang berbeza. Kalau budak usia empat tahun tak tahu, tak hafal lagu anda, itu belum kira hit sebenarnya. Demografik pendengar muzik juga berubah, sekarang sudah bermula usia tiga tahun sehingga 80 tahun.
J: Hampir tiga dekad, apa formula atau resipi Joe untuk bertahan dalam industri muzik? Macam Joe cakap, dulu orang pandang hip hop dari sudut negatif tetapi sekarang sudah berbeza 360 darjah.
J: Dari sudut muzik sendiri, hip hop berkembang dengan cukup besar. Penerimaan orang sekarang juga berbeza terutama kita boleh akses kepada muzik tanpa had. Pelbagai platform dan media sosial.
Tetapi secara peribadi, saya fikir untuk bertahan kita perlu punya peribadi yang disenangi. Sentiasa merendah diri, jangan rasa diri ‘besar’. Dari mula menyanyi sampai sekarang, saya tiada pengawal peribadi.
Saya rasa diri tidak ada musuh. Kita kena jaga hubungan dengan orang lain. Tidak kira sesiapa pun. Abang jaga lampu, pengawal keselamatan hatta yang jual air tepi jalan sekali pun. Semua ada peranan dalam hidup, kita tak boleh buat semua.
J: Maka di kedudukan seni Joe sekarang ini, benarkah tanggapan segelintir pihak yang Joe hanya menerima tawaran persembahan bergred A sahaja? Kalau festival atau majlis bukan berskala besar, Joe tidak pandang?
J: Tidak juga, salah tanggapan itu. Dua tahun kebelakangan ini, saya terima banyak konsert dan festival muzik tidak kira siapa barisan artis serta grednya. Tetapi saya rasa sebagai penyanyi, saya berhak memilih di mana dan apa persembahan yang ditawarkan.
Bukan sebab sombong atau apa. Nombor satu, adakah konsert atau tawaran persembahan itu kena dengan konsep muzik saya. Mungkin kedengaran menjaga eksklusiviti tetapi saya perlu menjaga ‘imej, kredibiliti dan muzik’ saya.
J: Maksudnya bukan pukul rata lah kan? Asal ada tawaran? Adakah juga Joe mengharapkan segmen penutup atau finale untuk setiap tawaran?
J: Tidak sama sekali, itu bukan saya. Saya sentiasa mengutamakan muzik dan pejuang scene hip hop. Jika ketika itu sebagai contoh K-Clique lebih popular, saya sendiri minta supaya mereka sebagai finale.
Saya sudah berada di satu kedudukan yang tidak perlu mengharapkan semua itu. Saya ada perjuangan muzik dan seni saya sendiri.